Musibah sebagai muhasabah

Bencana besar yang terjadi pada masa ini bukan sahaja melanda negara Malaysia, malah negara-negara lain juga turut merasainya.

 

Begitu hiba kita melihat individu-individu yang terkesan dengan musibah ini. Kelaparan, kesejukan, kekurangan pakaian dan seumpamanya menjadi pemandangan sehari-hari di ruangan media sosial. 

 

Adalah tindakan tidak wajar apabila kita saling menuding jari atas musibah yang berlaku ini, padahal sepatutnya kita masing-masing harus muhasabah diri.

 

Apatah lagi kita sebagai orang Islam, kita percaya bahawa tidaklah Allah menurunkan sesuatu musibah melainkan ada sebab-musababnya.

 

Kita jangan seronok memandang dosa orang lain sedangkan kotoran di hati sendiri kita tidak berupaya membersihkannya. Umat Islam diajar oleh Rasulullah SAW untuk saling menasihati dan bersama-sama dalam memperbaiki diri, bukannya sibuk mencerca. 

 

Apa pun musibah yang Allah datangkan, ia merupakan satu peringatan kepada sekalian hamba-Nya, sama ada ia sebagai penghapus dosa bagi mereka yang selama ini lalai terhadap perintah dan larangan Allah, ataupun sebagai ujian bagi meningkatkan lagi darjat orang-orang yang beriman. 

 

Tidakkah kita mahu cermin diri dan mengambil pengajaran? Allah menyatakan bahawa:

“Dan musibah apa pun yang menimpa kamu adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan banyak (daripada kesalahan-kesalahanmu).” (Asy-Syura: 30)

 

“Tidak ada sesuatu musibah yang menimpa (seseorang) kecuali dengan izin Allah; dan barang siapa beriman kepada Allah, nescaya Allah akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (At-Taghabun: 11)

 

Manakala Rasulullah SAW pula bersabda:

“Tidaklah kelelahan, penyakit, gelisah, duka dan kesedihan menimpa seorang Muslim bahkan sekadar duri yang menusuk kulitnya, melainkan Allah menjadikan semua itu sebagai penebus kesalahan-kesalahannya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

“Tidak ada satu pun musibah (cubaan) yang menimpa seorang Muslim berupa duri atau yang semisalnya, melainkan dengannya Allah akan mengangkat darjatnya atau menghapus kesalahannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

 

Sebagai hamba Allah yang bertakwa, marilah kita memperbaiki ibadah kita kepada Allah, ibarat kita ‘reset’ semula apa yang silapnya pada diri ini.

 

Berazamlah untuk mulai menjaga solat, rutin berpuasa sunat, rajin bersedekah walaupun sedikit, menjaga lisan dan kemaluan, dua anggota tubuh badan ini yang selalu menghancurkan manusia.

 

Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat. Mudah-mudahan Allah menerima taubatan nasuha kita. Jagalah Allah nescaya Allah akan menjagamu. 

 

Bagaimanakah cara untuk kita menjaga Allah? Ia bermaksud kita berusaha sedaya-upaya mengerjakan setiap perintah-Nya dengan benar sesuai sunnah Rasulullah SAW dan ikhlas dalam mengamalkannya, serta menjauhi semampu yang mungkin segala apa yang Allah larang, sebagaimana kita benci dan mahu jauhkan diri daripada api neraka. 

 

Muhasabah diri bukan bermakna kita mahu menggores hati individu-individu yang terkesan dengan musibah tersebut, namun tidak salah bukan untuk kita saling mengingati? Bukankah agama ini adalah nasihat?

 

Jangan bongkak ketika ditegur tapi bersyukurlah masih ada insan yang mahu berkongsi pesanan-pesanan yang baik. Boleh jadi ia juga sebagai perantara yang Allah hantar supaya kita lebih memperbaiki diri untuk masa hadapan. 

 

Kita berharap dan memohon kepada Allah semoga asbab amal kebaikan dan taubat kita, Allah angkat wabak dan bencana yang berlaku di tanah air kita, tanah kaum Muslimin di mana pun mereka berada.

 

Meirose

Bonda Nor atau nama sebenarnya Norli binti Madlan adalah anak kelahiran Melaka yang kini menetap di Terengganu. Beliau seorang penulis, novelis, kolumnis majalah, penceramah dan pengasas Kaedah Membaca Ekspres-i.

ARTIKEL BERKAITAN

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia