Mungkin Zulhijjah terakhir

Bulan Zulhijjah merupakan antara bulan yang penting dalam kalendar umat Islam selain bulan Ramadan yang mulia.

 

Padanya terdapat kelebihan pahala berlipat kali ganda yang Allah tawarkan kepada umat akhir zaman. Malangnya, kita lebih mengetahui fadilat bulan Ramadan berbanding fadilat kelebihan yang ada dalam bulan Zulhijjah.

 

Kelebihan beramal dan tawaran pahala yang berlipat kali ganda dalam bulan Zulhijjah ini sering dilupakan dan tidak ramai yang mengetahuinya. Ini kerana umum lebih mengetahui ganjaran yang ditawarkan ketika bulan Ramadan, 10 hari terakhir dan lailatulqadar.

 

Ini telah disebutkan melalui firman Allah SWT dan hadis Rasulullah SAW. Daripada Ibnu Abbas RA, Nabi SAW bersabda:

 

“Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini iaitu: 10 hari terawal Zulhijjah.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya? “Baginda bersabda, “Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.” (Hadis Riwayat Bukhari [969], Abu Daud [2438], Ibn Majah [1727], Tirmidzi [757])

 

Allah SWT berfirman, yang bermaksud, “Demi waktu Fajr dan malam yang sepuluh.” (Al-Fajr: 1-2)

 

Jumhur mufassirin berpegang pada pandangan sahih yang mengatakan bahawa maksud 10 malam ialah 10 hari yang terawal pada bulan Zulhijjah.

 

Mungkin ada daripada kita yang terlepas peluang untuk mengaut peluang beramal semasa bulan Ramadan. Maka, Allah SWT kembali membuka peluang tawaran tersebut pada bulan Zulhijjah ini, malah dengan pahala yang berlipat kali ganda.

 

Peluang yang datang ini mungkin yang terakhir sebab tiada jaminan untuk kita bertemu kembali tawaran serupa ini pada tahun akan datang. Maka, peluang sudah di depan mata, apa tindakan kita? Tepuk dada, tanya iman.

 

Menguak acara kemuncak Zulhijjah

 

Bulan yang menjadi penutup kalendar umat Islam ini menyaksikan banyak peristiwa penting untuk umat Islam ingati dan mengambil iktibar daripadanya. 

 

Dalam bulan inilah juga menjadi perhimpunan terbesar umat Islam untuk melaksanakan haji. Tanpa mengira bangsa, warna kulit atau kedudukan, umat Islam berhimpun dengan pakaian yang sama dan dalam acara yang sama untuk mengejar puncak pengabdian kepada Yang Esa. 

 

Dalam masa yang sama, sunnah yang terbesar yang telah dilakukan sejak zaman Nabi Adam AS dan termaktub dalam al-Quran iaitu ibadah korban. Inilah sunnah paling afdal yang sangat dituntut dilakukan pada Hari Raya Aidiladha. Peristiwa penyembelihan agung, Nabi Ibrahim AS ke atas puteranya, Nabi Ismail AS dirakamkan dan menjadi peristiwa penting dalam kalendar umat Islam. 

 

Hadis daripada Ummul Mukminin Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

“Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada reda Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).” (Hadis Riwayat Tirmidzi [1493])

 

Akhirnya, kemuncak bulan Zulhijjah ini adalah pada 9 Zulhijjah iaitu Hari Arafah. Inilah hari yang disunnahkan bagi yang tidak mengerjakan haji untuk melakukan puasa. Puasa pada hari ini dapat menggugurkan dosa-dosa selama dua tahun iaitu dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. 

 

Daripada Abu Qatadah, Rasulullah SAW bersabda, “Puasa hari Arafah – aku berharap daripada Allah- dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya dan juga tahun sesudahnya.” (Hadis Riwayat Tirmidzi [680]) 

 

Siapa yang dapat memberi jaminan akan dapat hidup lagi pada tahun hadapan? 

 

Inilah peluang terakhir yang Allah SWT berikan kepada umat akhir zaman pada bulan terakhir dalam kalendar Islam untuk merebut peluang diampunkan dosa selama dua tahun. 

 

Boleh jadi Allah memberi kesempatan beramal tahun ini untuk menutup kekurangan masa lalu sehingga sempurna saat kita kembali bertemu Allah SWT. 

 

Marilah kita sama-sama merebut peluang yang masih berbaki dalam 10 awal Zulhijjah ini untuk melakukan amal ibadah dan kebaikan dengan sebanyak-banyaknya. 

 

Mudah-mudahan dengan amal-amal kita tersebut, Allah SWT meredai dan mengampuni dosa-dosa kita, insya-Allah. 

 

Khyrul Hycal Hadi
Aktivis IKRAM Muda Sabah
Institut Penyelidikan Produk Halal, UPM

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia