Tiada tanda-tanda ketegangan. Dari terminal, anggota misi Aqsa2Gaza2 dibawa ke Hotel Hilal yang berkongsi bangunan dengan Hospital Hilal yang dimiliki oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin.
Petangnya, sebahagian anggota misi di hotel mendengar satu letupan yang disahkan sebagai serangan di kawasan Jabaliya. Sebelum Maghrib, anggota misi bermesyuarat tentang agenda kedatangan mereka dan kaedah pembahagian wang derma rakyat Malaysia yang berjumlah RM1.1 juta.
Hampir Maghrib, anggota misi bersiap untuk iftar di Khan Younis di mana terletaknya pejabat rakan NGO tempatan Aqsa Syarif, Pertubuhan EMAAR. Cadangan projek EMAAR yang sepatutnya dibentang selepas iftar dan solat Maghrib terpaksa ditangguh keesokannya kerana sebahagian anggota amat keletihan setelah perjalanan memasuki Gaza.
Hari kedua – Isnin 22 Ogos 2011
Semasa sahur, anggota misi disajikan dengan tiga jenis buah dan sayuran, berserta roti dgn ‘halawah’ dan ‘jubnah’. Anggota misi turut diiringi oleh dua petugas keselamatan yang muda dan segak sepanjang perjalanan mereka. Anggota misi menunaikan solat Subuh di Masjid Ar-Rahmah di Khan Younis, tempat kelahiran Asy-Syahid Dr Abdul Aziz Rantisi. Beliau pernah bertugas sebagai imam di masjid ini. Masjid hampir penuh dengan jamaah yang mana kelihatan seperti bilangan jamaah solat Jumaat di Malaysia.
Sebelah pagi, anggota misi menziarahi rumah seorang ibu yang mana dua anaknya telah syahid. Kemudian rumah kedua diziarahi di mana terdapat seorang ibu yang bekerja untuk menyara keluarga kerana si bapa mengalami penyakit. Aqsa Syarif akan memberi sumbangan untuk beliau memulakan kedai jahitan. Anggota misi meneruskan perjalanan dengan melawat kedai membaiki alatan eletrik yang uzur keadaannya milik seorang peniaga. Aqsa Syarif akan menyumbang sebanyak RM5,985 (USD2,000) untuk mengembangkan perniagaan beliau.
Rumah sebuah keluarga fakir beranak tujuh turut diziarahi, di mana mempunyai hanya satu bilik, atap bertanda bekas air yang sentiasa bocor dan palang atap adalah paip plastik. Mereka adalah antara penerima sumbangan keluarga miskin yang dikumpul daripada rakyat Malaysia. Pada tengahari, anggota telah menziarahi pejabat Nasaem Amal, persatuan kebajikan wanita. Aqsa syarif akan menaja 10 anak yatim selama setahun melalui persatuan tersebut.
Sebelah petang pula, anggota misi berada di Basma Centre, pusat pemulihan untuk kanak-kanak cacat pendengaran yang dilatih sehingga mereka boleh membaca. Sebahagian penghuni adalah anak yatim. Anggota misi kemudian melawat pejabat Markaz Amal, sebuah NGO wanita yang disusun bersama Mercy Malaysia untuk sokongan keluarga. Anggota misi kemudian kembali ke pejabat pertubuhan EMAAR dan menyempurnakan tandatangan perjanjian persefahaman (MoU) untuk projek Mikrokredit berjumlah RM250,000 dan projek “Back to School” berjumlah RM100,000.
Untuk hari kedua, anggota misi telah menghadiri iftar yang ditaja Aqsa Syarif di Masjid Jami’ As-Syafi’i, salah sebuah masjid di Khan Younis. Selepas iftar dan solat Maghrib, anggota misi turut diberi taklimat tentang aktiviti masjid, komuniti dan perancangan masjid yang akan datang. Selesai solat tarawih, anggota Aqsa2Gaza2 dikerumuni jamaah masjid untuk bersalam, bertanya khabar dan menyatakan penghargaan atas sokongan Aqsa Syarif dalam membantu rakyat Palestin.
Hari ketiga – 23 Ogos 2011
Pagi hari ketiga, anggota misi telah menunaikan solat Subuh di masjid yang lain. Imamnya menyebut kehadiran anggota misi dalam kuliah Subuhnya. Menurutnya, bukan isu berapa nilai duit yang aqsa Syarif bawa atau projek apa yang akan laksanakan, tetapi mereka amat menghargai ukhuwwah dan sokongan yang ditunjukkan rakyat Malaysia.
Jam 8.00 pagi, anggota misi meninggalkan Khan Younis ke Gaza City untuk beberapa siri lawatan di bandar Gaza dan Jabaliya. Sampai di sana, mereka dibawa menginap di sebuah hotel, 100 meter berhampiran pantai. Kemudian, anggota berada di pejabat Islamic Society of Jabaliya (ISJ), rakan NGO yang mengendalikan beberapa projek Aqsa Syarif seperti kilang roti dan penternakan lembu tenusu, hasil sumbangan rakyat Malaysia. Mereka memberikan pembentangan tentang perkembangan projek-projek yang sedang berjalan.
Anggota misi dibawa ke tempat projek ternakan lembu yang mana sebanyak RM150,000 duit derma rakyat Malaysia telah digunakan. Kini lebih 60 ekor lembu telah mengeluarkan 1.5 tan susu sehari kepada penduduk Gaza. Ladang lembu ini terletak di Abed Rabo Street, salah satu kawasan yang paling teruk musnah semasa serangan ke atas Gaza pada 2009. Penduduk enggan menyerah, lantas membina semula kawasan tersebut dengan sumbangan antarabangsa.
Pada tengahari, anggota misi menyertai program pengagihan ‘Ramadhan Gift Pack’ oleh Aqsa Syarif. Setiap pek bantuan 10 kg tersebut mengandungi barangan makanan, minyak masak, tepung, ikan segar dan lain-lain, yang diagihkan sebanyak 1000 pek.
Sebelah petangnya, anggota turut dibawa melawat ke beberapa tempat projek ISJ seperti kilang pengeluaran keju, kedai runcit dan kedai makan. Anggota juga diberi penghormatan melawat Datuk Bandar daerah Jabaliya, Essam M Joudah. Kemudian anggota misi dibawa melawat kolam projek ternakan ikan air tawar berhampiran dengan pantai. Aqsa Syarif menyerahkan peruntukan tambahan RM12,000 yg disumbang oleh Koperasi Muslimin Malaysia.
Diiringi oleh Essam, anggota A2G2 diberi kejutan oleh ISJ dengan upacara rasmi pembukaan kilang roti tajaan Aqsa Syarif diiringi dengan berkumandangnya lagu Negaraku. Kilang yang dibina dengan kos RM630,000 sumbangan rakyat Malaysia, dikendalikan secara automatik dan turut mengeluarkan pelbagai jenis pastri, selain produk utama, roti yang dihasilkan 13,000 keping sehari. Perancangan Aqsa Syarif seterusnya ialah membina kilang roti kedua di Khan Younis.
Anggota misi juga diberi kejutan seterusnya semasa iftar apabila mereka dihidangkan dengan ikan bakar daripada projek ternakan ikan air tawar yang ditaja rakyat Malaysia melalui Aqsa Syarif. Pengusaha ikan tersebut ingin menunjukkan bahawa projek itu telah berjaya dan membuahkan hasil. Selepas solat tarawih, anggota menjadi tetamu dalam satu majlis anak yatim. Majlis tersebut dipenuhi acara kanak-kanak untuk memberi kegembiraan kepada mereka yang beada di tengah tekanan hidup di Gaza.
Hari keempat – 24 Ogos 2011
Anggota misi memasuki kawasan Beit Lahya, salah satu tempat yang diserang Israel beberapa hari lalu. Mereka dibawa melawat tapak projek “Afnan and Agsan Kindergarten”. Projek ini disumbang oleh Pertubuhan Mawaddah Malaysia (Mawaddah). Aqsa Syarif menyalurkan sumbangan Mawaddah yang berjumlah RM25,000.
Anggota misi juga berbesar hati dijemput menemui Dr Ghazi Hamad, Timbalan Menteri Luar Palestin di pejabat beliau. Kemudian mereka melawat Hospital Al-Karamah, Beit Lahya menyampaikan bantuan sebanyak RM29,945 (USD10,000) oleh IKRAM Health (Medical Interest Group – MIG).
Anggota misi turut diberi penghargaan berjumpa dengan Speaker Parlimen Palestin, Dr Ahmad Bahar di pejabat Parlimen. Turut hadir lapan Ahli Parlimen termasuk Menteri Hal Ehwal Wanita. Selepas itu, mereka kembali ke Kementerian Kesihatan berbincang keperluan perubatan dan kaedah terbaik penghantaran bantuan perubatan. Kemudian, anggota misi ke pejabat Aqsa Syarif yang baru di Gaza, yang digunakan untuk membantu koordinasi perancangan masa depan Aqsa Syarif yang lebih baik di Gaza di samping mengetahui keperluan sebenar penduduk di sana.
Petangnya, anggota misi melawat Universiti Islam Gaza, disambut oleh Presiden Universiti, Dr. Kamalain Sha’th dan kakitangannya di bilik persidangan. Tujuan lawatan tersebut adalah untuk mewujudkan kerjasama dalam program pendidikan dan aktiviti mahasiswa. Salah seorang anggota misi adalah Muhammad Mus’ab Muzahar, Presiden MPP Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Kemudian, mereka bermesyuarat dengan anggota Yayasan Belia Khatwa di bangunan Persatuan Jurutera tentang beberapa kertas cadangan projek untuk dilaksanakan bersama Aqsa Syarif. Beberapa gambar tersusun di lobi, bukan gambar bekas-bekas Presiden, tetapi gambar para syuhada’ di kalangan jurutera yang membela tanahair Palestin. Anggota misi turut melawat Hospital Dr Rantisi untuk menyampaikan RM50,000 sumbangan Mawaddah untuk membina tempat permainan kanak-kanak yang akan dilaksanakan oleh Yayasan Belia Khatwa.
Selepas iftar dengan hidangan nasi arab dan kambing, anggota misi menunaikan solat Isyak dan tarawih di Masjid Ash-Shati’, milik Perdana Menteri Palestin, Dr Ismail Haniyeh. Anggota misi lelaki Aqsa2Gaza2 ditempatkan di saf pertama belakang imam. Solat Isyak dan tarawih diimamkan oleh Ismail sendiri setiap hari. Masjidnya besar, berhawa dingin dan berdekatan dengan rumah beliau. Sesiapa sahaja bebas keluar masuk tanpa banyak protokol.
Selepas tarawih, anggota misi diperkenalkan oleh Ismail Haniyeh kepada jemaah dan Dr Zin Kandar diberi peluang untuk berucap. Semasa berbincang dalam kumpulan kecil bersama Ismail Haniyeh dan jemaah masjid, beliau menerima pesanan ringkas bahawa dua orang syahid dalam satu serangan terbaru Israel. Perbincangan tersebut disingkatkan oleh petugas keselamatan dan anggota misi bergerak ke hotel.
Hari kelima – 25 Ogos 2011
Anggota misi turut bertemu dengan beberapa wakil golongan Orang Kurang Upaya (OKU) menyampaikan sumbangan Aqsa Syarif kepada mereka. Menurut anggota misi, mereka kudung tangan bukan kerana merempit, atau kudung kaki kerana kencing manis, atau buta mata kerana terlebih makan (seperti di Malaysia) tetapi mereka diuji Allah kerana menyerahkan diri mempertahankan Masjidil Aqsa, demi akidah yang mereka yakini, cedera parah atau lumpuh dalam perjuangan menentang Yahudi.
Anggota misi seterusnya berada di pejabat baru Aqsa Syarif untuk menyerahkan 1,000 beg ‘Back to School’, lengkap dengan uniform dan alatulis yang akan diedarkan. Sumbangan kepada anak yatim turut diserahkan untuk diuruskan oleh pejabat baru Aqsa Syarif di Gaza. Sumbangan berjumlah RM100,000 itu sebagai sebahagian daripada peruntukan rutin untuk anak yatim. Berikutan kejayaan kilang roti pertama, anggota misi melawat premis cadangan untuk satu lagi kilang roti, yang bersaiz dua lot kedai akan disewa yang terletak di bandar Gaza.
Tepat jam 3.00 petang waktu tempatan, setelah melalui pihak imigresen Palestin dan Mesir, anggota misi kemanusiaan Aqsa2Gaza2 merentasi sempadan Rafah dengan seribu kesyukuran kerana menjayakan misi kemanusiaan di bumi barakah dan perjuangan, Gaza.
Gambar ihsan: Facebook Aqsa Syarif