Mengimpikan sebuah negara yang aman, maju dan makmur serta rakyatnya sejahtera, adalah impian semua manusia di dunia.
Tidak kira apa pun bangsa keturunan mahupun anutan rakyat Malaysia, mereka mahukan negara yang tercinta ini menjadi sebuah negara yang lebih baik, sebuah negara mithali kepada masyarakat dan dunia.
Namun, usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah Negara Rahmah ini tentunya tidak boleh diusahakan sendiri oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dalam merealisasikannya.
Bahkan, ia adalah usaha bersama kesemua mereka yang berkongsi wawasan ini termasuk kerajaan Malaysia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan masyarakat madani (CSO), golongan profesional, pihak industri dan rakyat keseluruhannya.
Tentunya, proses transformasi negara sehingga menjadi sebuah Negara Rahmah adalah proses yang panjang dan tidak mudah.
Oleh itu, apa yang penting ialah usaha yang akan menghasilkan kemajuan ke arah yang lebih baik ini terus dilakukan setiap tahun bagi menjadikan Malaysia Negara Rahmah sebuah kenyataan.
Masihkah kita ingat titah Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-14 pada 2019 lalu?
Dalam istiadat tersebut, Agong bertitah:
“Beta amat menyokong usaha kerajaan untuk mempromosikan nilai dan budaya Islam melalui pendekatan Rahmatan Lil Alamin dan maqasid syariah berdasarkan ajaran Islam yang sebenar yang diterjemahkan melalui tingkah laku dan keperibadian unggul rakyat Malaysia.”
Maka, prinsip rahmah ini wajar diterima oleh semua pihak tanpa mengira fahaman politik dan agama untuk mencapai status negara maju yang menyerlahkan kesyumulan Islam yang sesuai sepanjang zaman.
Konsep Rahmatan Lil Alamin telah dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran melalui ayat 107, Surah al-Anbiyaa’ yang bermaksud:
“Tidaklah Kami mengutuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam.”
Ayat ini dengan terang menjelaskan bahawa Nabi Muhammad SAW diutus untuk membawa mesej rahmah meliputi semua makhluk, manusia, jin, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan lain-lainnya.
Manakala, rahmah sebagaimana dibincangkan ulama bermaksud kasih sayang dan belas ihsan yang mana jika sifat tersebut ada pada diri seseorang, ia akan menghindarkannya daripada menganiaya atau menzalimi orang lain.
Memetik saranan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 11 Disember 2022 dalam ucaptama Program Pertemuan Mahabbah Perdana Menteri bersama Ulama dan Asatizah di Seri Perdana, berkata:
“Ulama, umara dan guru agama wajar mendidik serta menyebarkan dakwah kepada umat Islam, pada masa sama mempertahan tradisi ilmu dan akliah, seterusnya seluruh sejarah Islam dididik dengan kefahaman serta ditambah dengan kasih sayang.”
Beliau berkata, setiap pimpinan negara sama ada Perdana Menteri mahupun menteri-menteri, tidak boleh lepas daripada kerja asas untuk menunjukkan kasih sayang kepada orang Islam dan bukan Islam.
“Dalam kalangan fahaman Islam yang saya faham, kekuatan Islam sebenar adalah menyeluruh iaitu merentasi bukan sahaja manusiawi, haiwan, pohon-pohon, bukit-bukau dan juga bumi. Umat Islam yang seimbang adalah umat yang mempertahan kesederhanaan,” jelasnya.
Beliau berkata, kesederhanaan itu juga merangkumi mereka yang tidak terburu-buru dengan kemarahan, menjatuhkan hukuman dan mengkafirkan serta merendahkan darjat orang lain dan memfitnah.
Tentunya, untuk mencapai sebuah Negara Rahmah, ia perlu dilakukan dengan kefahaman yang jelas dan membina. Maka, ciri-ciri yang disasarkan IKRAM bagi menjadikannya realiti wajarlah diketahui semua.
Usaha wujudkan Negara Rahmah
Justeru, 12 ciri Negara Rahmah yang digariskan berikut adalah faktor-faktor penting dalam usaha untuk mewujudkan sebuah negara yang stabil, sejahtera dan bergerak mampan yang didukungi kepimpinan dan rakyat yang mengutamakan kasih sayang, kedamaian dan penyatuan.
1. Kepimpinan negara yang kompeten dan berintegriti
Negara yang mempunyai ciri kepimpinan ini memiliki kemampuan untuk memimpin, kecekapan mentadbir kerajaan, mengambil keputusan yang tepat dan mengelola sumber daya negara dengan efektif.
Lingkungan kuasa yang dimiliki kepimpinan ini dalam kerajaan tidak akan membuatkannya memanipulasi kedudukan sehingga ia benar-benar menjadi pemerintah yang benar-benar menyantuni kepentingan rakyat.
Kepimpinan ini proaktif memerangi rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan korupsi lain yang berlaku bagi meningkatkan integriti kerajaan, penjawat awam dan agensi-agensi di bawahnya.
Kepimpinan negara yang kompeten dan berintegriti mampu mengangkat negara dan rakyat untuk maju ke hadapan.
2. Sistem pemerintahan yang berasaskan semak dan imbang yang berkesan
Negara dengan ciri ini memiliki sistem pemerintahan berteraskan pengasingan kuasa dan menjamin kebebasan kehakiman, eksekutif dan legislatif.
Sistem ini memberi ruang kepada pembangkang yang bertanggungjawab untuk memainkan peranan dalam menyeimbangkan kuasa pemerintahan.
Dalam pada itu, pandangan masyarakat sivil dan badan bukan kerajaan turut diambil kira dalam proses membuat keputusan dan tindakan yang terbaik untuk negara.
3. Tadbir urus yang baik
Kerajaan dengan tadbir urus yang baik perlulah melaksanakan semua amalan, peraturan dan prosedur yang digunakan dalam mengelola sumber daya dan menyediakan perkhidmatan awam.
Ia mesti didasari prinsip, cekap, telus, melibatkan penyertaan awam dan bersifat akauntabiliti, sekali gus dapat menghindari penyalahgunaan kuasa dan rasuah.
Tadbir urus yang baik melibatkan pembahagian peranan secara saksama, pelantikan pegawai yang amanah, mahir dan cekap, serta pembentukan jentera pentadbiran yang mampu menggalas tanggungjawab.
4. Undang-undang yang adil
Ia melibatkan peruntukan undang-undang yang adil, saksama, tidak menindas serta menjamin hak dan kesejahteraan rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang.
Kehadiran undang-undang yang adil dapat membantu membina kepercayaan dan kestabilan dalam masyarakat.
5. Masyarakat yang berilmu, berakhlak dan penyayang
Negara Rahmah memerlukan masyarakat yang berpengetahuan, berakhlak, penyayang dan seimbang dari segi fizikal, minda, emosi dan spiritual serta saling bekerjasama menjalankan tanggungjawab berfungsi sebagai masyarakat yang akan menggerakkan negara maju ke depan.
Mereka juga memiliki disiplin dan kualiti masyarakat yang progresif, terasuh dengan nilai-nilai kehidupan yang mulia dan sentiasa berbekal dengan maklumat yang benar.
6. Institusi keluarga yang utuh
Institusi keluarga yang utuh berasaskan ikatan suci perkahwinan saling menyokong antara satu sama lain dalam merealisasikan kesejahteraan fizikal, fikiran dan rohani melalui pendidikan ilmu, amal dan akhlak yang mulia.
Keutuhan keluarga berupaya membentuk sebuah masyarakat penyayang, progresif dan prihatin dalam membina generasi pewaris kepimpinan negara pada masa hadapan.
7. Hubungan etnik dan penganut agama yang harmoni
Hubungan yang harmoni antara agama, kaum dan etnik yang hidup bersatu padu, saling menghormati dan melindungi serta berinteraksi akan mempercepatkan usaha dalam mencapai sebuah negara majmuk yang aman dan sejahtera.
Kepelbagaian kaum, agama, bahasa dan budaya adalah satu keunikan rakyat Malaysia yang sepatutnya dihormati dan diiktiraf keberadaannya.
8. Ekonomi yang mampan
Keperluan asasi masyarakat akan dipenuhi apabila wujudnya ekonomi yang kukuh dan stabil melalui pertumbuhan dan pembangunan yang wajar melalui dasar-dasar yang proaktif dan berupaya mengenal pasti sumber baharu yang lestari dan berdaya saing.
Ekonomi negara yang mampan hanya akan lahir daripada usaha-usaha pembangunan ekonomi yang menyeluruh oleh rakyat yang aktif dan komitmen kerajaan untuk menjayakannya.
9. Agihan kekayaan yang saksama
Dasar pengagihan kekayaan negara perlu diberi secara tepat, adil dan saksama, khususnya kepada golongan memerlukan bantuan peningkatan taraf hidup sehingga mampu membasmi kemiskinan dan mewujudkan sebuah masyarakat yang bebas dan sejahtera.
Kekayaan negara tidak boleh hanya berlegar dalam kalangan sekumpulan kecil masyarakat, agar tidak wujud jurang yang besar antara golongan kaya dan miskin.
10. Pembangunan yang lestari
Kesejahteraan rakyat dapat dinikmati melalui pembangunan ekonomi, fizikal dan sosial secara cekap dan lestari dengan menekankan keseimbangan sumber alam dan sumber baharu, di samping menangani kesan perubahan iklim global.
Pembangunan dan pemanfaatan sumber negara perlu dilaksanakan tanpa mengakibatkan kerosakan kepada alam sekitar, pencemaran atau pembaziran.
11. Kebajikan, kesihatan dan keselamatan rakyat terpelihara
Dasar kebajikan, kesihatan dan keselamatan negara yang berkesan seharusnya dapat dinikmati semua golongan rakyat tanpa mengira geografi, kaum dan latar belakang bagi menjamin persekitaran sosial yang sejahtera, sihat dan selamat.
Kebajikan rakyat pula terpelihara merangkumi keperluan asas kehidupan yang mencukupi, rumah kediaman, kemudahan kesihatan, pengangkutan dan pendidikan yang sebaiknya.
12. Menerajui usaha keamanan dan kesejahteraan sejagat
Negara menerajui usaha kedamaian di peringkat antarangsa secara berterusan dan memacu kesejahteraan negara dan dunia berteraskan prinsip keamanan, keadilan dan kemanusiaan.
Hubungan yang baik dan sikap saling menghormati antara negara-negara dunia perlu dibina dan dikukuhkan bagi mewujudkan suasana setiakawan, saling membantu demi kemakmuran bersama.
Bersama Realisasikan
Usaha menjadikan Malaysia sebuah negara Rahmah seharusnya bersama direalisasikan dengan penghayatan nilai Islam yang murni dan universal.
Kemajuan dan kemakmuran yang ingin dicapai itu saling berkait. Ketika kita meraikan kepelbagaian bangsa dan agama dalam negara, syiar Islam berkembang pesat dan menjadi pemangkin kepada kemajuan yang diimpikan.
Tentunya sasaran Negara Rahmah dijadikan sebagai dasar pentadbiran Islam Model Malaysia berteraskan maqasid syariah iaitu yang bersifat inklusif, telus dan menyantuni, bertepatan dengan suasana, adat serta budaya bangsa Malaysia itu sendiri.
Apabila ciri Negara Rahmah yang dilaksanakan dalam segala aspek difahami, tentunya ia mampu memberi impak positif kepada negara dalam meningkatkan kesejahteraan sosial, kemakmuran dan perpaduan hidup masyarakat berbilang kaum dan agama.
Hakikatnya, Islam adalah yang membawa rahmah kepada seluruh manusia dan alam sangat meraikan kepelbagaian serta perbezaan sesama manusia. Islam juga turut mengangkat darjat manusia ke satu tahap yang mulia dengan menegakkan keadilan tanpa diskriminasi kaum atau kepercayaan.
Dengan kemuliaan akhlak dan persaudaraan insan, umat Islam mempunyai peranan penting untuk menyuburkan perpaduan seterusnya menjadi contoh kepada kaum-kaum lain di negara ini.
Toleransi dan nilai-nilai murni yang dikongsi bersama di negara ini boleh dijadikan asas bagi merealisasikan Negara Rahmah. Sikap tolak ansur, bekerjasama dan saling menghormati haruslah dipupuk dan dibudayakan, selaras dengan prinsip kesopanan dan kesusilaan dalam Rukun Negara.
Namun, cabarannya adalah untuk menterjemah dan merealisasikan usaha-usaha perpaduan dalam kehidupan seharian secara konsisten dan berterusan melalui inisiatif-inisiatif yang inovatif serta kontemporari.
Oleh yang demikian, peranan semua pihak terutamanya kerajaan untuk merangka polisi dan inisiatif yang bersesuaian, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) pula mestilah diberi peranan sewajarnya berdasarkan sumber serta bidang kepakaran masing-masing.
Rakyat pula berperanan penting untuk melengkapkan diri sebagai masyarakat yang faham dan celik ilmu bagi merealisasikan sebuah negara yang diimpikan, Negara Rahmah.
Impian Kita
Malaysia Negara Rahmah adalah impian kita semua, sebuah negara yang aman, makmur, maju, sejahtera dan memelihara kelestarian alam sekitarnya.
Di bawah naungannya, rakyat hidup bahagia, saling mengasihi, menghormati dan bekerjasama untuk membangunkan negara dalam kepelbagaian agama, bangsa, latar belakang dan budaya.
Inilah Negara Rahmah yang kita semua impikan, insya-Allah.
Atriza Umar & Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia