Syariat Islam diturunkan untuk memberikan makna kepada episod-episod perjalanan hidup manusia. Kata orang, dunia seperti ladang, kitalah petani yang mengusahakannya, hasilnya dituai di akhirat kelak.
Jika dilihat kepada sifat semula jadi manusia yang mempunyai ‘instinct’ untuk meneruskan kehidupan, manusia dengan sendirinya akan berusaha untuk menyelamatkan diri daripada bahaya dan kemudaratan.
Akal kurniaan Allah SWT mempunyai keupayaan luar biasa, namun masih perlukan panduan dari ‘langit’ untuk melengkapkan pilihan untuk bertindak di dunia.
Syariat yang diturunkan untuk difahami dan dilaksanakan berperanan menjadi tempat rujukan serta panduan manusia menjalani kehidupan. Syariat memberi makna kepada setiap detik yang dilalui oleh manusia, sekiranya diisi dengan ketaatan, akan dianggap sebagai pahala.
Begitu juga, syariat memberi makna pada usia manusia, jika dihabiskan untuk kebaikan, maka akan menjadi aset bekalan mendiami syurga Allah di akhirat kelak. Panduan-panduan kehidupan yang dianjurkan oleh Islam memberikan nilai tambah kepada harta yang manusia cari di dunia.
Sekiranya dibelanjakan ke jalan yang baik dan murni, maka ia akan bertukar menjadi sumber pahala amal jariah yang berpanjangan. Begitu juga Islam memberikan makna kepada kematian manusia.
Kematian yang baik dengan pengakhiran yang diredai sentiasa menjadi impian orang yang beriman, kerana ia hampir dekat dengan Allah SWT dan syurga-Nya.
Pergantungan Tidak Berbelah Bahagi
Hubungan yang rapat dan erat seorang hamba dengan Allah SWT dapat diterjemahkan melalui pergantungan serta pengharapan yang tidak berbelah bahagi. Ia merupakan kunci ketenangan seorang hamba di dunia.
Realitinya kehidupan manusia ialah setiap hari, manusia berinteraksi dengan pelbagai kelompok dan jenis manusia lain yang mempunyai pelbagai kerenah juga tuntutan.
Hal ini boleh menimbulkan ketegangan dan tekanan yang kadangkala tidak terkendalikan. Seperti pelampung keselamatan ketika belayar, Allah SWT sentiasa ada sebagai tempat rujukan juga pergantungan.
Namun, hubungan dengan Allah SWT juga mempunyai cabaran. Syurga harganya mahal, namun tidak mustahil untuk diraih. Memiliki hubungan yang baik dengan Allah SWT seharusnya menjadi sasaran hidup setiap orang yang beriman.
Selain syaitan yang berikrar untuk menggoda manusia untuk menjauhkan mereka daripada daerah keimanan dan ketaatan, nafsu juga kehendak manusia yang tidak berjaya dipandu oleh iman juga akan menyebabkannya hubungan tersebut renggang dan kadangkala jauh daripada Allah SWT.
Bagaimana cara ingin mengukur hubungan kita dengan Allah SWT?
Tali hubungan dengan Allah SWT ialah takwa. Takwa menjadikan seorang hamba mengikhlaskan dirinya dalam menjalani kehidupan sebagai hamba. Takwa yang dipupuk melalui ibadah-ibadah yang wajib seperti solat dan puasa menjadi penanda aras tahap hubungan dengan Allah SWT.
Bukan Semua Salah Syaitan
Ketika Allah SWT mengingatkan kita tentang peranan syaitan yang akan terus menyesatkan manusia dengan segala cara, Allah SWT juga mengingatkan tentang cara untuk menyelamatkan diri daripada belenggu syaitan tersebut iaitu dengan memiliki keikhlasan sebagai hamba.
Allah SWT telah berfirman:
قَالَ رَبِّ بِمَآ اَغْوَيْتَنِيْ لَاُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِى الْاَرْضِ وَلَاُغْوِيَنَّهُمْ اَجْمَعِيْنَۙ اِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِيْنَ
Ia (Iblis) berkata, “Tuhanku, kerana Engkau telah menyesatkanku, sungguh aku akan menjadikan (kejahatan) terasa indah bagi mereka di bumi dan sungguh aku akan menyesatkan mereka semua, kecuali hamba-hamba-Mu yang terpilih (kerana keikhlasannya) antara mereka.” (Surah al-Hijr 39-40)
Bagaimana pula mendidik ikhlas di dalam diri?
Menelusuri makna ikhlas pada sudut bahasa Arab, ia merujuk kepada perbuatan membersihkan, menyucikan, menjernihkan daripada sebarang kekotoran dan pencemaran. Manakala menurut istilah ulama, ikhlas ialah membersihkan hati supaya semua perbuatan yang dilakukan semata-mata kerana Allah SWT.
Sementelah kepentingan ikhlas dalam kehidupan seorang Muslim, para ulama telah memberikan huraian tentang konsep Ikhlas. Antaranya ialah Fudhail bin Iyadh yang menyifatkan ikhlas sebagai beramal hanya semata-mata kerana Allah SWT.
Jika seseorang meninggalkan amalan kerana manusia, ia dianggap sebagai riyak. Manakala orang yang beramal kerana manusia adalah menghampiri syirik. Menurut beliau, ikhlas berada antara dua situasi tersebut.
Mendidik Ikhlas
Ini bermakna ikhlas adalah suatu sikap yang menjadikan niat melakukan sesuatu, sama ada ibadah mahupun tindakan seharian hanya untuk Allah SWT. Jadi, amalan ketaatan tersebut dilakukan dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah SWT bukan kepada pujian daripada manusia.
Contoh daripada kewujudan sikap ikhlas lainnya adalah ketika memberi atau berkorban demi kepentingan orang lain, maka dianjurkan melakukannya dengan penuh Ikhlas, menuruti panduan yang telah digariskan syarak dan hanya mengharap reda daripada Allah SWT.
Dalam hal ini, penghargaan dan pengiktirafan manusia bukan lagi menjadi kepentingan utama.
Sirah dan sejarah terdahulu merakamkan pelbagai kisah yang menginspirasikan. Sahabat Rasulullah SAW yang tidak asing lagi iaitu Bilal bin Rabah, sanggup bertahan di bawah terik matahari dihempap batu yang besar, namun beliau tetap mengungkapkan, “Ahadun ahadun (Tuhan yang Esa…Tuhan yang Esa)..,” betapa ikhlas beliau menyerahkan jiwa raganya kepada Allah dan tidak sekali-kali mensyirikkan Allah Azzawajalla.
Beliau tidak mungkin dapat bertahan dalam keadaan yang sangat menyeksakan tersebut jika hatinya tidak ikhlas hanya kerana Allah SWT.
Jelasnya, keikhlasan yang tulus akan menerbitkan ketaatan yang tidak berbelah bagi meski cabarannya getir dan perit. Ketaatan yang diikhlaskan akan melorongkan pengorbanan yang sanggup mengetepikan kepentingan diri atau dunia semata-mata.
Maka, berkorban sama ada berbentuk harta mahupun tenaga adalah latihan untuk mengikhlaskan diri dalam tindakan dan amalan.
Ibadah Korban Tanda Kepatuhan
Bulan Zulhijjah ialah bulan korban bagi umat Islam, bulan yang signifikan dengan dua peristiwa besar umat Islam iaitu ibadah haji di Makkah dan ibadah korban sepanjang hari tasyrik dirayakan di merata dunia.
Ibadah korban disyariatkan sebagai tanda bersyukur terhadap Allah SWT atas segala nikmat-Nya dan menjadi salah satu ukuran takwa seorang hamba kepada yang Maha Esa.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) daripada orang yang bertakwa.” (Surah al-Maidah, ayat 27)
Firman-Nya lagi yang bermaksud:
“Daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredaan) Allah, tetapi ketakwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya.” (Surah al-Hajj: 37)
Ibadah korban bukanlah perayaan peluang untuk memakan makanan yang mewah (bagi sesetengah golongan yang susah) semata-mata, tetapi merupakan latihan untuk beribadah dengan Ikhlas.
Mereka yang melakukan korban perlu mengikhlaskan diri dan menjauhi riyak untuk bermegah-megah. Selain memberi kegembiraan kepada golongan kurang berkemampuan, ibadat korban sebenarnya adalah manifestasi kepatuhan hamba kepada perintah Allah SWT.
Berkorban seekor lembu mungkin mudah untuk yang berharta, tetapi keinginan untuk melakukan korban bukanlah dimiliki oleh semua.
Hakikatnya, keinginan untuk beribadah ialah tuaian ketakwaan kepada Allah Yang Maha Esa.
Justeru, semangat ingin berkorban demi kecintaan dan kepatuhan sewajarnya dihayati oleh setiap Muslim dalam kehidupan mereka.
Dr Hamidah Mat
Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Open University Malaysia (OUM), Penasihat ILMAN dan Du’at Al Falah Pembimbing Malaysia Madani 2023