Menilai Menu Rahmah Melalui Kebijaksanaan Syariah

Menilai Menu Rahmah Melalui Kebijaksanaan Syariah | IKRAM

Pelancaran Menu Rahmah pada harga RM5 untuk makan tengah hari dan malam menerima sambutan yang amat baik dalam kalangan masyarakat, terutamanya golongan yang miskin dan memerlukan.

Malah, para pengusaha makanan yang berjiwa besar turut menyambut baik inisiatif ini walaupun hakikatnya mereka akan memperolehi keuntungan yang sedikit kerana menyediakan menu dengan harga lebih rendah daripada asal.

Bai’ Wadhiah

Menu Rahmah mengingatkan kepada pensyarah saya dalam bidang fiqh muamalat di Universiti Jordan, Prof. Dr Abdullah al-Soifi yang pernah membicarakan topik Bai’ Wadhi’ah.

Bai’ Wadhi’ah bererti seorang penjual menjual barangnya dengan memberitahu harga modalnya, tetapi barang itu dijual pada harga yang lebih rendah daripada harga asal. 

Beliau yang juga Presiden Rabitah Ulama’ al-Urdun (Ikatan Ulama Jordan) berkata, hukum-hakam dalam fiqh muamalat Islam perlu dihalakan untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik.

Bai’ Wadhi’ah atau apa jua jenis muamalat jual beli yang dapat merendahkan harga barang keperluan untuk golongan yang susah sebenarnya dapat membantu mereka, termasuk yang mahu memelihara air muka mereka dan tidak reda untuk meminta-minta atau meminta sedekah secara percuma, sedangkan golongan ini ramai.

Bahkan al-Quran mengingatkan kita tentang golongan ini.

يَحْسَبُهُمُ ٱلْجَاهِلُ أَغْنِيَآءَ مِنَ ٱلتَّعَفُّفِ تَعْرِفُهُم بِسِيمَـٰهُمْ لَا يَسْـَٔلُونَ ٱلنَّاسَ إِلْحَافًۭا

“Mereka itu disangka serba cukup oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta-minta kepada orang ramai dengan mendesak-desak.” (Al-Baqarah: 273)

Dalam kes Menu Rahmah, ada yang bertanya, “Bagaimana kita ingin pastikan yang akan beli menu ini hanya golongan B40?”

Saya kata, kalau ia dihadkan kepada golongan B40, pasti prosedurnya akan jadi lebih payah, kerana hal ini sukar dipastikan kecuali dengan protokol yang pelbagai.

Bahkan akan ada daripada kalangan golongan B40 sendiri yang akan mengelak daripadanya kerana ia menyusahkan, ataupun dirasakan sebagai menjatuhkan air muka mereka.

Apabila memikirkan suatu pilihan, kebijaksanaan fiqh Islam menyuruh kita membandingkan antara mudarat dan manfaat yang terhasil. Dalam kes ini, mudarat mana lebih besar?

Golongan selain B40 turut mendapat manfaat daripada Menu Rahmah, ataupun ramai golongan yang susah mengelak daripada menerima bantuan yang mahu diberikan kerana menyusahkan atau menjatuhkan air muka mereka?

Bahkan jika diletakkan prosedur yang pelbagai, maka lebih ramai peniaga tidak berminat dengan inisiatif ini, kerana persediaan prosedur-prosedur ini hanya akan menyusahkan mereka. 

Bahkan tanpa prosedur yang ketat ini, peniaga itu mendapat imej mesra pengguna dan dianggap peniaga yang prihatin kepada masyarakat, di samping doa yang bertali arus.

Ada pula yang berkata, “Kawasan aku sudah ada menu harga begini, bahkan lebih murah juga ada. Tidak perlu pakai nama Rahmah pun.” Tetapi isunya, itu di kawasannya, sedangkan di banyak kawasan lain, perkara ini tiada. Orang miskin dan susah bukan di kawasannya sahaja. 

Isu kemiskinan itu meluas dan berada di tangga prioriti yang tinggi dalam ajaran Islam. Hinggakan Surah al-Maa’uun menamakan golongan yang tidak menggalakkan memberi makan kepada orang miskin sebagai pendusta agama.

Surah al-Muddaththir pula menyebut, keengganan memberi makan kepada orang miskin sebagai antara sebab orang dicampakkan ke dalam neraka Saqar bersama orang-orang yang tidak solat.

Mungkin ada yang mempersoalkan, bukankah kos yang digunakan untuk sekali hidang pada Menu Rahmah cukup untuk membeli bahan makanan murah yang boleh memberi kekenyangan berkali-kali lebih banyak? Mari kita melihat pelaksanaan ibadah korban.

Korban dan Kebijaksanaan Syariah

Ibadah korban yang dilakukan setiap Hari Raya Aidiladha menyuruh untuk menyembelih haiwan ternakan sama ada unta, lembu, ataupun kambing, untuk diagih-agihkan kepada fakir miskin. 

Satu persoalan yang menarik untuk difikirkan ialah, mengapa daging? Bukankah daging itu lazimnya lebih mahal berbanding makanan ruji seperti beras dan gandum, seperti yang dilakukan zakat fitrah? Apatah lagi daging unta, lembu, ataupun kambing?

Bukankah setiap kilo daging ini, harganya menyamai berkilo-kilo makanan ruji seperti beras dan gandum? Tidakkah hal ini kelihatan tidak efisien?

Antara hikmahnya, Allah mahu mengajar yang fakir miskin serta golongan susah berhak mendapat makanan yang lebih baik, sedap dan mahal seperti juga golongan yang lain. Bukankah sedekah itu lebih utama apabila diberikan barang yang lebih bermutu?

Orang miskin mempunyai kemuliaan insan, dan Allah Yang Maha Penyayang tidak reda mereka hanya diberikan sedekah daripada barang yang paling murah dan tidak bermutu sahaja. Allah berfirman melarang hal tersebut.

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَنفِقُوا۟ مِن طَيِّبَـٰتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّآ أَخْرَجْنَا لَكُم مِّنَ ٱلْأَرْضِ ۖ وَلَا تَيَمَّمُوا۟ ٱلْخَبِيثَ مِنْهُ تُنفِقُونَ وَلَسْتُم بِـَٔاخِذِيهِ إِلَّآ أَن تُغْمِضُوا۟ فِيهِ 

“Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan daripada bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (untuk didermakan), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu, kecuali dengan memejamkan mata padanya.” (Surah al-Baqarah: 267)

Bahkan disuruh untuk disembelih haiwan ternakan yang comel dan dikasihi itu bagi menegaskan makna kemuliaan insan ini, betapa orang miskin itu lebih mulia di sisi Allah daripada unta, lembu dan kambing yang dikasihi pemiliknya itu.

Orang miskin itu lebih mulia di sisi Allah berbanding wang beribu-ribu ringgit yang dibelanjakan untuk ibadah korban itu. Lalu adakalanya, Allah Yang Maha Bijaksana menjadikan hal yang kurang mulia itu dikorbankan demi menegaskan kemuliaan hal yang lebih mulia.

Daging unta, lembu, dan kambing juga lazimnya dianggap makanan yang lebih sedap dan mewah berbanding kebanyakan makanan lain.

Antara hikmahnya, Allah mahu supaya orang miskin dapat merasai nikmat makanan yang lazat dan mewah, supaya mengangkat moral dan menghiburkan perasaan mereka, betapa mereka juga manusia yang memiliki kemuliaan.

Bukankah antara hikmah dan maqasid ibadah-ibadah berbentuk sedekah ialah menghilangkan perasaan benci orang miskin kepada orang yang lebih bernasib baik? 

Manusia itu makhluk emosi dan jiwa juga, bukan makhluk perut sahaja seperti haiwan ternakan. Mereka memiliki maruah, perasaan dan kemuliaan. Islam memberi perhatian kepada kesejahteraan psikologi bukan sahaja dari sudut individu, tetapi juga dalam konteks masyarakat.

Apabila golongan susah dalam masyarakat merasakan mereka diraikan dan dihormati, masyarakat akan lebih tenteram dan ketidakpercayaan antara strata masyarakat akan berkurangan. 

Sejarah Eropah dengan revolusi demi revolusi yang berdarah, bahkan apa yang berlaku di Timur Tengah beberapa tahun lepas antara contoh ekstrem apabila golongan susah tidak mampu lagi menahan kemarahan mereka atas struktur masyarakat yang dilihat menghina mereka.

Setiap kali hal ini berlaku, ribuan nyawa akan melayang. Syariat Islam sudah mengisyaratkan supaya hal ini dicegah lebih awal, tetapi apakah para Muslimin sedar akan hakikat agama mereka sendiri?

Melihat sisi-sisi positifnya, inisiatif Menu Rahmah mempunyai nilai-nilai sepunya seperti yang digambarkan dalam suruhan-suruhan syariat yang dikupas tadi.

Pertamanya, muamalat dihalakan untuk memberi kemudahan kepada orang yang susah, termasuklah mereka yang segan untuk meminta-minta kerana menjaga air muka.

Kedua, ia meluaskan usaha memberi makan kepada orang miskin, khususnya di daerah-daerah yang mempunyai harga makanan lebih tinggi dari di tempat lain.

Ketiga, ia memudahkan mereka untuk merasa makanan yang enak, salah satu perkara yang memberi manfaat kepada kesejahteraan psikologi manusia dan meraikan kemuliaan insan. 

Keempat, ia memberi mesej bahawa masyarakat yang mana golongan miskin tinggal di dalamnya, prihatin kepada mereka dengan cara masing-masing, sama ada kerajaan, para peniaga, para hartawan dan sebagainya, lalu hal ini mententeramkan perasaan mereka.

Kritikan Perlu Konstruktif

Sudah tentu, seperti apa jua inisiatif manusia, Menu Rahmah perlu terbuka kepada kritikan dan penambahbaikan sama ada dari segi teori ataupun operasi.

Kritikan itu mestilah bersifat konstruktif, yang dapat menjadikan pelaksanaan lebih baik, ataupun memberi alternatif yang lebih baik.

Jika tidak, kritikan itu hanya kritikan yang membawa mafsadah (kerosakan), kerana ia mahu membatalkan suatu maslahat dan tidak menggantikannya dengan maslahat yang lebih baik. 

Menurut falsafah maqasid syariah, menghapuskan maslahat itu, walaupun sebahagian daripadanya, adalah sejenis mafsadah.

Allah mengecam golongan yang selalu berdolak-dalih mendakwa mahu memberikan maslahat, sedangkan hakikatnya mereka mahu membawa mafsadah, bahkan ia disebut Quran sebagai antara ciri kemunafikan (akhlak).

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ لَا تُفْسِدُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ قَالُوٓا۟ إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ ١١

“Dan apabila dikatakan kepada mereka: ‘Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan (mafsadah) di muka bumi,’ mereka menjawab: ‘Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan (maslahat).’” (Al-Baqarah: 11)

Kerana itu, syariah mengajar falsafah dan prinsip betapa tidak sepatutnya memansuhkan suatu kebaikan kecuali jika ia digantikan dengan sesuatu yang setaraf ataupun lebih baik.

مَا نَنسَخْ مِنْ ءَايَةٍ أَوْ نُنسِهَا نَأْتِ بِخَيْرٍۢ مِّنْهَآ أَوْ مِثْلِهَآ

“Apa sahaja ayat keterangan yang Kami mansuhkan (batalkan), atau yang Kami jadikan ia dilupakan, Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya, atau yang sebanding dengannya.” (Baqarah: 106)

Kritikan itu mestilah bertujuan mencari solusi, kebenaran, dan menambah kebaikan. Syarak mengutuk mentaliti golongan yang hanya suka berdebat demi memenangkan ego mereka, sedangkan mereka melupakan kebaikan atau kebenaran yang sepatutnya ingin dicapai daripada perdebatan.

مَا ضَرَبُوهُ لَكَ إِلَّا جَدَلًۢا ۚ بَلْ هُمْ قَوْمٌ خَصِمُونَ

“…mereka tidak mengemukakan perbandingan itu kepadamu melainkan kerana membantah semata-mata (bukan kerana mencari kebenaran); bahkan mereka itu adalah kaum yang suka sekali mengemukakan bantahan.” (Al-Zukhruf: 58)

Prinsip ini amat mudah dicuaikan dalam kehangatan berpolitik. Realitinya, tidak kira parti mana pun yang sedang bertembung, pasti akan wujud golongan yang mengkritik dengan tujuan menafikan kebaikan pihak lawan, dan bukan untuk memperbaiki kerosakan atau keadaan.

Mungkin setiap Muslim dan warganegara sudah elok berhenti dengan mentaliti memikirkan mengapa parti aku lebih baik daripada parti lawan semata-mata.

Ia sepatutnya turut bermuhasabah, adakah ia daripada golongan yang baik dan membawa kebaikan dalam iklim politik tanah air? Apatah lagi sekiranya ia seorang Muslim yang beriman setiap perbuatan dan ucapannya dicatat dan bakal dihisab di hadapan Allah kelak. 

Seorang Muslim yang berakhlak buruk dan selalu membawa kerosakan akan mendapat dosa besar tidak kira parti mana pun yang disokongnya. Memilih parti apa sekalipun tidak akan memadamkan dosa itu ataupun menyelamatkannya di akhirat daripada dosa itu.

Sedangkan seorang Muslim yang berakhlak baik dan selalu memperbaiki keadaan, beliau akan mendapat pahala daripada hal itu.

Dan sekiranya ia tersalah memilih parti sekalipun hasil daripada suatu ijtihad yang ikhlas, moga-moga ia mendapat satu pahala ijtihad di sisi Allah, dan Allah tidak akan mensia-siakan akhlak baik dan usahanya itu.

Berkaitan Menu Rahmah, selain kebaikan-kebaikannya yang tidak boleh dinafikan, barangkali ada beberapa sudut pandang yang boleh dianalisis.

Menilai Menu Rahmah

Beberapa aspek Menu Rahmah wajar dinilai agar ia terus relevan untuk membela golongan yang susah dan memerlukan.

1. Kemandirian (Independence)

Pelaksanaan program Menu Rahmah ini masih bergantung kepada kesudian para peniaga dan entiti-entiti perniagaan yang berasaskan keuntungan.

Sudah ada antara mereka yang menyebut untuk tidak akan meneruskan inisiatif ini untuk jangka masa panjang sekiranya mereka merasakan ia tidak lestari dari sudut kosnya berdasarkan kemampuan mereka.

Program ini juga bergantung kepada semangat politik semasa yang disandarkan kepada kerajaan sekarang, gabungan politiknya dan YAB Perdana Menteri. Jika kehendak politik ini sudah tiada, adakah ia akan diteruskan, sedangkan keperluan kepadanya akan berterusan?

2. Kelestarian (Sustainability)

Kemampuannya untuk bertahan bagi jangka masa yang panjang masih belum pasti, seperti yang diakui oleh Datuk Ameer Ali Mydin bahawa Menu Rahmah di Mydin mampu bertahan jika kos makanan kekal sama.

Tetapi jika kos makanan meningkat, pelaksanaannya tidak akan mampu untuk diteruskan lebih tiga bulan. Dan kebergantungannya kepada semangat dan kehendak politik semasa juga tidak menjamin ia akan bertahan sampai bila-bila.

Mungkin antara cadangan yang boleh dikemukakan ialah kerajaan mengadakan mekanisme pelepasan cukai atau pemotongan cukai buat premis-premis perniagaan ataupun individu yang menaja jualan ala Menu Rahmah ini.

Misalnya, iktiraf entiti-entiti utama yang beraudit untuk pemotongan cukai ini, supaya resitnya diterima oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk pemotongan cukai.

Selain itu, mengambil kira pendekatan syariah yang mengadakan ibadah kebajikan bermusim, mungkin elok distrategikan gagasan memeriahkan pendekatan Menu Rahmah ini secara bermusim dan berkala.

Misalnya, ia dilaksanakan sempena hari perayaan, bulan Ramadan dengan fadilat bersedekahnya ataupun pada hujung bulan pada hari-hari terakhir sebelum para penjawat awam menerima gaji.

Ia boleh dilaksanakan tidak kira sama ada dengan memakai jenama Menu Rahmah atau tidak, dan dilakukan oleh pihak kerajaan, pembangkang, organisasi bukan kerajaan, entiti perniagaan ataupun individu.

3. Unsur politik (Political element)

Menu Rahmah ini dikaitkan dengan kerajaan dan gabungan politiknya. Kerana keterikatannya kepada imej politik ini, ia dikhuatiri tidak akan bertahan lama jika semangat politik yang melancarkannya sudah pudar atau tiada.

Imej politik ini juga menyebabkan sebarang hal berkaitannya cenderung untuk dipolitikkan. Misalnya, ia dijadikan sasaran serangan oleh lawan politik, hingga ada kalanya dalam bentuk yang tidak berasas ataupun tidak berakhlak.

Ataupun, ia menyebabkan sesetengah entiti perniagaan berasa segan untuk turut serta dalam inisiatif sebegini kerana tidak mahu dianggap sebagai penyokong parti kerajaan, ataupun mereka sendiri menyokong pembangkang.

Ia juga barangkali menyebabkan pihak pembangkang segan untuk melakukan inisiatif serupa kerana tidak mahu dituduh penyokong kerajaan sebagai meniru sahaja apa yang dilakukan kerajaan.

Namun begitu, tidak dinafikan penjenamaan ‘Rahmah’ yang dikaitkan dengan imej kerajaan yang diketuai YAB Perdana Menteri itu menyebabkan inisiatif ini lebih meluas dan popular berbanding inisiatif-inisiatif semisalnya yang dilakukan pihak-pihak lain sebelum ini.

4. Tuduhan eksploitasi imej kebajikan untuk populariti

Tuduhan ini dihalakan sama ada kepada kerajaan ataupun entiti korporat yang terlibat. Ini soal niat, bukan soal polisi.

Secara amnya, seandainya tuduhan ini benar sekalipun, setakat ini ia tidak kelihatan menjejaskan impak polisi ini dan pelanggan masih kekal sebagai pihak yang untung daripadanya, lebih-lebih lagi golongan yang susah.

5. Tuduhan menekan para peniaga, terutamanya peniaga kecil

Setakat yang kelihatan ketika ini, tiada sesiapa yang ditekan kerana ia dilaksanakan secara sukarela. Dakwaan mereka didesak ataupun dipaksa perlu mendatangkan bukti.

Ia sama seperti mana-mana galakan bersedekah oleh kerajaan, bahkan parti-parti politik di pihak kerajaan dan pembangkang, kedua-duanya menggalakkan sumbangan buat parti mereka dengan mekanisme yang serupa.

“Menu Rahmah hanya penyelesaian skala kecil kepada masalah-masalah besar yang mengakar dalam ekonomi negara ketika ini,” dan tuduhan ia dijadikan sebagai penutup kepada kelemahan-kelemahan dan kesalahan-kesalahan kerajaan.

Kelemahan dan kesalahan yang didapati pada suatu kerajaan perlu dibetulkan, dan begitu juga masalah-masalah yang perlu diberi perhatian.

Tetapi cara untuk menangani kelemahan-kelemahan kerajaan bukanlah dengan menyerang inisiatif yang baik, yang serangan itu akhirnya tidak mengurangkan kelemahan itu pun.

Adakah menyerang Menu Rahmah akan menghilangkan kelemahan dan kesalahan yang didakwa itu? Sepatutnya jika kelemahan dan kesalahan yang dimaksudkan tidak berkaitan dengan Menu Rahmah, maka tiada keperluan untuk melibatkan Menu Rahmah sekali.

6. Penyahpolitikan isu Menu Rahmah (depoliticisation)

Bagi para pembangkang, adalah lebih baik untuk mereka berhenti menyerang inisiatif ini, kerana ia menyebabkan mereka segan untuk melakukan inisiatif serupa, sedangkan bukan negeri-negeri di bawah naungan parti kerajaan sahaja yang memerlukan manfaat daripada inisiatif begini.

Menutup satu pintu kebaikan semisal ini hanya kerana mahu memelihara ego politik adalah tindakan yang bercanggah dengan semangat agama Islam yang menjadikan keengganan memberi makan kepada orang miskin sebagai antara asbab seseorang dimasukkan ke dalam neraka.

Banyak isu lain yang lebih berkesan untuk mendapatkan sokongan rakyat berbanding isu ini. Bahkan jika pembangkang turut menggalakkan mekanisme jualan makanan pada harga lebih rendah ini, sepatutnya rakyat akan lebih gembira dan memiliki persepsi yang lebih baik terhadap mereka.

Fikir Mekanisme Efektif

Untuk semua warga Malaysia, mereka perlu berfikir cara menjadikan mekanisme ini sebagai trend jangka masa panjang, melangkaui musim dan semangat politik.

Ia tidak sepatutnya dihadkan kepada peranan kerajaan ataupun entiti politik tertentu semata-mata. Ia inisiatif yang bersifat malar segar yang akan kekal relevan selagi kemiskinan menjadi isu serius dalam masyarakat.

Nama dan jenama Menu Rahmah, Menu Rakyat 1Malaysia  ataupun Menu Keluarga Malaysia, itu semua tidak penting kerana ahli politik datang dan pergi.

Yang penting adalah mekanisme pelaksanaannya. Banyak universiti misalnya, menyediakan kafeteria ataupun restoran yang menggunakan mekanisme sama untuk para mahasiswa.

Salah satu entiti yang perlu dan berpotensi besar meneruskan inisiatif semisal ini adalah NGO Kebajikan dan Wakaf. 

Institusi-institusi semisal ini memiliki tradisi yang panjang dalam ketamadunan Islam dalam memberi makan kepada warga miskin. Negara Islam silam masyhur sebagai negara berkebajikan, antaranya kerana hal ini.

Di samping memberi makanan percuma, apa kata mereka memikirkan pembiayaan menu kos rendah untuk warga miskin yang segan untuk meminta-minta atau menerima bantuan percuma, begitu juga masjid-masjid, syarikat-syarikat korporat, atau apa jua institusi lain yang mahu mencari asbab keberkatan ataupun turut serta dalam kebajikan sosial sebegini.

Bahkan lebih menarik, ia juga dapat dilakukan di peringkat akar umbi oleh individu dan tidak semestinya oleh seorang peniaga ataupun individu bertaraf jutawan. Bayangkan dialog ini:

“Encik Peniaga, set makanan ini anda jual pada harga RM20, bukan?”

“Ya, betul.”

“Saya ada RM1,500 yang saya mahu belanjakan fisabilillah. Saya mahu tempah 100 set makanan ini dan anda jual pada harga RM5, boleh? Anda tidak rugi sedikit pun.”

Menarik bukan?

Ustaz Muhammad Irfan Bahrin, Ketua Unit Kajian Pertubuhan Ilmuwan Dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia