Mengurus kebimbangan semasa wabak COVID-19

Peningkatan demi peningkatan kes positif dan jumlah kematian akibat wabak ini sudah pasti meningkatkan lagi kebimbangan dan rasa panik dalam kalangan penduduk dunia.

 

Bagaimanakah caranya seseorang itu menangani kebimbangan dalam menghadapi situasi kritikal ini? Berikut adalah beberapa langkah untuk mengurus kebimbangan semasa wabak COVID-19:

 

1. Berlatih untuk menerima ketidakpastian 

Kajian ketika wabak H1N1 menunjukkan bahawa ketidaktoleransi terhadap ketidakpastian meninggikan risiko mengalami kebimbangan di luar kebiasaan.

 

Solusi:

Beransur-ansur belajar untuk menerima ketidakpastian dalam kehidupan dengan mengurangkan tingkah laku mencari kepastian. Contohnya, jangan terus mesej rakan untuk mendapatkan jawapan kepada satu persoalan. Setelah kita terlatih dari segi toleransi terhadap ketidakpastian, kita boleh mengurangkan waktu dalam sehari untuk memeriksa Internet untuk mendapatkan berita terkini tentang wabak COVID-19.

 

2. Menangani paradoks kebimbangan

Lagi kita cuba lawan kebimbangan, lagi meningkat tahap kebimbangan. Ada yang cuba makan berlebihan, ada yang menonton TV berlebihan, ada yang asyik bertanya soalan kepada keluarga, rakan, atau doktor dan ada yang asyik memeriksa portal-portal berita untuk mendapatkan maklumat terkini tentang wabak COVID-19 untuk mengelak daripada perasaan bimbang. Walaupun aktiviti-aktiviti ini boleh mengurangkan kebimbangan secara sementara, ia boleh meningkatkan lagi kebimbangan dalam jangka panjang.

 

Solusi:

Menerima rasa kebimbangan itu sebagai satu proses semula jadi yang diciptakan oleh Allah supaya kita lebih berhati-hati. Labelkan perasaan itu secara objektif tanpa penilaian, kurangkan merujuk kepada berita-berita mengenai wabak COVID-19 kecuali daripada sumber yang sahih dan teruskan kehidupan senormal mungkin untuk mengurangkan impak kebimbangan.

 

3. Alihkan perhatian kepada kebimbangan berbentuk makna kehidupan

Berhadapan dengan kemungkinan kematian boleh meningkatkan kebimbangan.

 

Solusi:

Fikirkan kembali tentang peranan kita dalam kehidupan. Bagi orang Islam, lakukan refleksi peranan kita sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi. Carilah kekuatan daripada amalan solat, membaca al-Quran, zikir, doa, malah aktiviti tafakur tentang kejadian alam. Perkuatkan hubungan dengan Allah melalui ibadah. Perkuatkan hubungan dengan manusia dengan sikap rahmah.

 

4. Yakini keupayaan manusia untuk bangkit semula daripada ujian

Otak manusia memang suka meramal perkara yang buruk: “Bagaimana jika aku dijangkiti di tempat kerja, sekolah atau masjid? Bagaimana kalau aku kena kuarantin? Bagaimana kalau bisnes aku rugi?”

Tapi hakikatnya, manusia biasanya berlebih-lebihan dalam membuat penilaian tentang kesan buruk sesuatu kejadian dan kurang mengiktiraf bagaimana ramai manusia berjaya mengharungi satu-satu kepayahan dengan jayanya.

 

Solusi:

Bacalah kisah mereka yang berjaya bangkit semula daripada dugaan hidup. Bagi orang Islam, baca kisah Nabi-nabi AS dan Sahabat-sahabat RA terdahulu bagaimana sebahagian besar mereka berjaya bangkit daripada ujian yang mereka hadapi. Semaikan sifat-sifat mahmudah (terpuji) seperti yakin dan tawakal, sabar dan reda, cinta dan harap, yang boleh mengurangkan perasaan kebimbangan.

 

5. Elakkan berlebih-lebihan dalam menanggapi ancaman

Ya, COVID-19 boleh jadi berbahaya dengan 1.4 hingga 2.3 peratus kadar kematian. Langkah pencegahan jangkitan memang perlu.

 

Tapi, psikologi manusia cenderung untuk berlebih-lebihan dalam persepsi mereka terhadap ancaman luar biasa berbanding ancaman biasa seperti kemalangan jalan raya ataupun jangkitan semasa musim banjir. Informasi berlebihan daripada media biasanya menyebabkan rasa takut yang melampaui batas.

 

Solusi:

Kurangkan pendedahan kepada berita COVID-19 kepada 30 minit sehari. Pendedahan berlebihan kepada situasi yang tidak pernah dialami sebelum ini boleh menyebabkan kebimbangan luar kawalan. Dan kebimbangan luar kawalan boleh menjejaskan kesihatan mental kita.

 

6. Perbanyakkan aktiviti penjagaan kendiri

Tahap tekanan/stres yang di luar kemampuan kita mengurusnya boleh membawa kepada kebimbangan luar kawalan dan boleh menjejaskan sistem imun badan.

 

Solusi:

Perlu tidur yang cukup, senaman yang berkala, aktiviti-aktiviti ketara sedar (mindfulness), bertafakur tentang alam semula jadi dan teknik pernafasan/relaksasi yang betul ketika berada dalam keadaan tertekan/stres. Bagi orang Islam, ia boleh ditambah dengan memperbanyakkan amalan-amalan sunat yang boleh memberi rasa ketenangan kepada diri.

 

7. Dapatkan bantuan profesional, jika perlu

Mereka yang sudah ada atau berisiko untuk mengalami kecelaruan berkaitan kebimbangan (anxiety-related disorder) akan merasai kebimbangan yang lebih daripada biasa ketika berlaku wabak. Mereka mungkin mengalami simptom yang boleh menjejaskan pembelajaran, pekerjaan, hubungan kekeluargaan dan aktiviti dalam masyarakat.

 

Solusi:

Rujuk doktor dan pakar seperti ahli psikologi klinikal dan doktor psikiatri untuk mendapatkan terapi yang sesuai.

 

Moga kita berjaya mengharungi cabaran wabak COVID-19 ini dan bangkit semula menjadi insan yang lebih baik.

 

Penulis: Dr Alizi Alias, ahli psikologi organisasi

Adaptasi daripada sumber: http://theconversation.com/7-science-based-strategies-to-cope-with-coronavirus-anxiety-133207

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia