Misi bantuan ini telah menyalurkan sumbangan rakyat Malaysia yang berjumlah RM60,000 kepada pelarian Rohingya di kem-kem sekitar Cox’s Bazar.
“Bantuan kemanusiaan ini merangkumi set kelengkapan kebersihan diri, selimut, perkakas memasak, kelambu dan pek makanan,” ujar Rose2Rose.
Dalam pada itu, sebanyak 500 pek makanan seberat 20 kg telah diedarkan kepada 500 buah keluarga di kem Kutupalong, yang terdiri daripada minyak masak, bawang, kunyit, cili, beras, kacang dal, garam, kentang dan lain-lain.
“Portable ultrasound pula telah diberikan kepada Dato’ Dr. Musa dan Brigadier General Dr. Adnan daripada Malaysia Field Hospital untuk dimanfaatkan bagi merawat pesakit Rohingya.”
Dalam perkembangan berkaitan, ahli misi juga telah melawat beberapa tempat untuk mengumpul maklumat bagi menubuhkan Pusat Wanita Rose2Rose serta pengambilan penajaan anak yatim Rohingya.
Misi diteruskan pada hari kedua di kem Balukhali dengan penyaluran sumbangan yang berupa baldi, selimut, kelambu, periuk, dan tikar kepada 500 buah keluarga.
“Ahli misi juga sempat menceriakan kanak-kanak Rohingya dengan mengagihkan biskut oat dan coklat kepada 200 kanak-kanak di kem tersebut sebelum pulang.”
Pada hari seterusnya, ahli misi berada di Madrasah Abdullah Ibnu Abbas al-Islamiyyah dan Madrasah Ilmi di Cox’s Bazar untuk menjalankan rawatan dan aktiviti psikososial kepada kanak-kanak Rohingya.
“Antara aktiviti yang dijalankan adalah main belon, skipping rope, lumba lari, hands print dan penyaluran sumbangan alat tulis.”
Dr. Fauziah pula menyertai rombongan doktor dari CSBD (Charitable Society Bangladesh Doctors), IMARET, FIMA dan ICR untuk memberikan rawatan O&G di pedalaman Kem Tengkali, yang telah menyantuni 340 orang pesakit dan 60% daripadanya adalah ibu hamil.
“Jelas kelihatan keriangan di raut wajah-wajah anak Rohingya, para ibu juga turut gembira kerana masih ada yang sudi untuk melihat keadaan mereka.”
Rose2Rose, MyCARE mewakili saudara-saudara Rohingya turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penyumbang yang terus-menerus membantu dan menyalurkan sumbangan.
Pada tahun ini, MyCARE telah menyalurkan bantuan pertama bernilai RM80,000, bantuan kedua bernilai RM150,000, bantuan ketiga bernilai RM100,000 dan kini bantuan bernilai RM60,000.
Foto-foto Misi