Assalamualaikum wbt.
اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ
لَااِلٰهَ اِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 183:
“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, agar kamu bertakwa.”
Setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT kita ucapkan kerana diberi kekuatan menunaikan tanggungjawab melaksanakan kewajipan ibadah Ramadan.
Telah sebulan kita berpuasa, menahan lapar dan dahaga, bermujahadah melawan nafsu sambil menyemai sifat keinsafan serta belas kasihan terhadap golongan yang kurang bernasib baik, yang diuji dengan kesusahan hidup. Kini, fajar Syawal hadir menyinsing, setelah terbenamnya mentari Ramadan 1439 Hijrah.
Umat Islam di seluruh dunia menyambut hari kemenangan, iaitu perayaan Aidilfitri yang mulia ini, dengan penuh rasa syukur dan suasana harmoni.
Dan sebaiknya, kita menyambut hari ini dengan memperbanyakkan amalan bertasbih, bertahmid, bertahlil serta bertakbir membesarkan serta memuji dan memuja Allah SWT, bersyukur atas kemenangan keimanan dan ketakwaan yang dianugerahkan-Nya.
Alhamdulillahi Rabbil Alamin, sebelum Ramadan sekalian rakyat Malaysia menghadapi situasi pilihan raya. Sesudah Ramadan, umat Islam menyambut Aidilfitri pula.
Rakyat Malaysia telah mendapat kerajaan Malaysia yang baharu. Maka kita juga perlulah membantu serta memberikan sokongan terhadap usaha-usaha baik yang dilakukan pihak kerajaan bagi membangunkan Malaysia yang lebih baik.
Saya menyeru kepada semua ahli IKRAM khususnya dan umat Islam amnya agar melakukan ibadah solat sunat Aidilfitri bersama kaum keluarga dan mengambil peluang melakukan kunjungan antara kaum Muslimin tanpa mengira latar belakang kerana semua Muslimin adalah bersaudara.
Selain itu, hubungan kekeluargaan dan jalinan kasih sayang antara suami isteri dan antara anak-anak dengan ibu bapa perlu dipertingkatkan.
Tidak terkecuali, hubungan antara para pemimpin IKRAM sama ada di peringkat pusat mahupun di peringkat negeri dan kawasan dengan ahli terus diikat dengan jalinan ukhuwah dan mahabbah fillah kerana ini semua adalah rahsia dan asas kekuatan jemaah kita ini.
Seharusnya, kita saling mendoakan dan bermaafan pada bulan yang mulia ini. Syawal adalah bulan pengukuhan persaudaraan dan perpaduan ummah. Marilah kita hulurkan salam persaudaraan dan kasih sayang. Lupakan persengketaan lama dan jalinkan kembali ukhuwah dan kasih sayang sesama kita.
Hari sambutan Aidilfitri ini adalah hari kegembiraan dan kebahagiaan bagi semua orang yang beriman dan bertakwa yang telah berjaya menunaikan kewajipan yang diperintahkan Allah SWT.
Kita kembali kepada fitrah yang suci setelah melalui pentarbiahan madrasah Ramadan melawan dorongan hawa nafsu dan menundukkan jiwa kepada mentaatati Allah. Mudah-mudahan ia berjaya menjadikan hati-hati kita kembali bersih dengan keimanan dan mampu menjana daya juang baru dalam pelbagai relung dan medan amal.
Pada bulan yang penuh kemuliaan ini, kita juga tidak harus melupakan golongan yang memerlukan, yang ditimpa bencana, anak-anak yatim, ibu tunggal yang memerlukan bantuan dan fakir miskin yang menuntut pembelaan.
Kita juga seharusnya mendoakan secara berterusan agar negara Malaysia dipimpin sebagaimana yang Allah dan Rasul-Nya perintahkan berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah serta terus memperjuangkan kebenaran dan keadilan.
Tidak dilupakan juga, saudara Islam kita di bumi Palestin yang masih ditindas di bumi sendiri, saudara-saudara kita di bumi Syria yang terus bergolak dan bermandi darah, nasib umat Islam Rohingya di Myanmar, di Iraq, Yaman dan di seluruh dunia yang sedang dirundung malang.
Marilah kita melakukan yang terbaik bagi menjayakan seluruh agenda pembaikan dan pengislahan ummah dan masyarakat dalam negara Malaysia sebagaimana kehendak syariah serta membangunkan Malaysia sebagai Negara Rahmah, Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur.
Tingkatkan azam dan usaha ke arah memperbaiki situasi umat, masyarakat dan negara ke satu tahap perkembangan dan kemajuan yang lebih baik. Semoga seluruh amal kebaikan yang kita lakukan diterima Allah SWT, menjadi jariah kebaikan yang berpanjangan walaupun setelah kita tiada nanti.
Salam Aidilfiri 1439H.
تقبل الله منا ومنكم
من العائدين و الفائزين
اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ
لَااِلٰهَ اِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ
Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia