Menggalakkan rakyat berhutang bukan penyelesaian masalah perumahan

Menurut beliau, ini akan membantu rakyat untuk memiliki rumah kerana mereka sekarang mempunyai alternatif selain pinjaman daripada sektor perbankan. Beliau juga mengumumkan rakyat boleh meminjam ke tahap 100% harga rumah pada kadar bunga antara 12% hingga 18%. 

Pengumuman beliau adalah sesuatu yang sangat memeranjatkan kerana seolah-olah menunjukkan beliau bukan sahaja tidak memahami ajaran Islam, bahkan juga tidak memahami bidang ekonomi dan kewangan. Di samping itu, ia menunjukkan beliau juga tidak membaca laporan yang dikeluarkan oleh satu organisasi milik kerajaan sendiri yang disegani iaitu Khazanah Research institute (KRI). Ini kerana, laporan KRI yang baru saja dikeluarkan memberi amaran bahawa hutang isi rumah sebanyak hampir 90% dari KNK negara adalah pada tahap membimbangkan.

Komponen terbesar dari hutang isi rumah pula ialah hutang perumahan iaitu lebih daripada 40%. Oleh sebab itulah Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan beberapa peraturan untuk mengawal pertumbuhan hutang dalam komponen ini.

BNM berbuat demikian kerana menyedari risiko kepada ekonomi negara jika komponen hutang ini terlampau besar. Risiko ini ialah dalam bentuk wujudnya suasana ‘balon hartanah’ (property bubble) yang besar yang akan disusuli dengan kemelesetan ekonomi yang teruk apabila ‘balon hartanah’ ini pecah dan harga jatuh mendadak.

Ini kerana, ramai peminjam akan menghadapi suasana di mana nilai pasaran hartanah mereka adalah lebih rendah dari jumlah hutang perumahan mereka. Apabila ekonomi meleset, ramai dalam kalangan rakyat mungkin akan kehilangan kerja atau gaji mereka dipotong. Tetapi mereka tidak akan dapat menyelesaikan masalah kewangan mereka dengan menjual rumah mereka dan ini akan membuat mereka tersepit.

Sebenarnya perkara ini bukan sesuatu yang baru. Ia telah berulang kali berlaku di negara kita dan juga di negara lain. Contoh yang paling baik ialah kes ‘Subprime Crisis’ di Amerika Syarikat pada tahun 2008 dan juga kes ‘Market Crash’ di Jepun pada tahun 1989. Ia juga telah berlaku di Sepanyol pada tahun 2013.

Sekarang ini di merata dunia, jumlah hutang rumah masih tinggi kerana sektor perbankan di serata dunia menggalakkan rakyat berhutang. Berikut adalah sedutan daripada laporan dari sebuah organisasi perundingan terkenal McKinsey:

“In many others, household debt-to-income ratios have continued to rise. They exceed the peak levels in the crisis countries before 2008 in some cases, including such advanced economies as Australia, Canada, Denmark, Sweden, and the Netherlands, as well as Malaysia, South Korea, and Thailand. These countries want to avoid property-related debt crises like those of 2008. To manage high levels of household debt safely, they need more flexible mortgage contracts, clearer personal-bankruptcy rules, and tighter lending standards and macroprudential rules.”

Sumber: http://www.mckinsey.com/global-themes/employment-and-growth/debt-and-not-much-deleveraging

(Terjemahan: “Di banyak negara lain, nisbah hutang isi rumah berbanding pendapatan masih terus meningkat. Ianya telah melebihi tahap semasa krisis berlaku di negara yang terlibat sebelum 2008 dan dalam beberapa kes ia termasuk negara berekonomi maju seperti Australia, Kanada, Denmark, Sweden dan Belanda, dan juga Malaysia, Korea Selatan dan Thailand. Negara-negara di atas sepatutnya berusaha mengelak daripada krisis yang berkait dengan sektor hartanah seperti yang berlaku pada tahun 2008. Untuk mengurus tahap hutang rumah yang tinggi dengan selamat, mereka perlukan kontrak hutang perumahan yang lebih anjal, peraturan berkenaan isu muflis yang lebih jelas, dan piawaian hutang yang lebih ketat dan peraturan hutang yang lebih berhemah.”)

Menurut laporan itu lagi, kes negara Cina yang paling membimbangkan kerana jumlah hutang di semua sektor sekarang ialah lebih dari USD28 trilion pada tahun 2014 dengan nisbah kepada KNK sebanyak 282 peratus. Jika ‘balon hartanah’ di negara China pecah, maka kejatuhan harga hartanah yang mendadak mungkin berlaku di sana dan ini akan menghasilkan kemelesetan ekonomi di negara tersebut.

Jika ianya berlaku, maka negara kita juga akan terkesan kerana China adalah antara destinasi eksport utama negara kita. Suasana di negara kita akan menjadi sangat menakutkan jika ramai dalam kalangan rakyat berada di bawah beban hutang yang tinggi. Ramai mungkin akan menjadi muflis.

Seterusnya, ini akan memberi tekanan kepada sektor perbankan. Akibatnya sektor perbankan mungkin akan mengurangkan pinjaman dan ini akan membuat ekonomi negara menguncup dengan cepat dan membuat kitaran ganas (vicious cycle) kemelesetan menjadi lebih teruk.

Sebenarnya, punca kepada semua masalah di atas adalah kerana negara kita dan negara lain beramal dengan amalan riba yang menggalakkan semua orang berhutang untuk pelbagai tujuan termasuk membeli rumah, kereta dan lain-lain. Ini juga adalah punca sebenar kenapa harga rumah sentiasa menjadi lebih mahal dari tahun ke setahun. Selagi sistem riba tidak dihapuskan, masalah ini tidak akan dapat diselesaikan.

Oleh itu, langkah jangka panjang adalah masyarakat mesti hapuskan sistem riba ini. Dalam jangka pendek pula, kita perlu menggalakkan ahli masyarakat untuk mengelak daripada berhutang. Dalam kes perumahan, dalam jangka pendek, kerajaan sepatutnya membangunkan prasarana termasuk peraturan yang sesuai untuk menggalakkan rakyat terutama golongan muda supaya menyewa rumah dan bukan berhutang untuk membeli rumah. Kerajaan perlu mendidik rakyat akan bahaya hutang dalam apa-apa bentuk.

Namun malangnya, kerajaan sendiri mempunyai sikap enteng terhadap bahaya hutang ini. Buktinya ialah syarikat 1MDB milik kerajaan sendiri berhutang hampir RM50 bilion pada awal tahun 2016. Kerajaan sendiri berhutang sebanyak lebih daripada RM600 bilion dan membayar faedah lebih daripada RM20 bilion setahun.

Peribahasa Melayu “Seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul” sangat sesuai untuk digunakan dalam kes sekarang jika kerajaan menggalakkan rakyat berhemah dan mengelak daripada berhutang. Ini adalah satu keadaan yang sangat menyedihkan.

Prof. Dr. Mohd Nazari Ismail
Ketua Biro Penyelidikan IKRAM
10 September 2016

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia