Mengembalikan Kewibawaan Pengajian Tinggi

Pada 14 Januari 2019, Yang Berhormat Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik telah menyampaikan amanat tahun baru beliau. Walaupun sebahagian besar daripada amanat berkenaan adalah tentang sistem pendidikan secara amnya, Yang Berhormat Menteri telah menggariskan beberapa inisiatif untuk mengembalikan wibawa pengajian tinggi. Secara khususnya, pihak Kementerian telah menggariskan empat hala tuju khusus untuk pengajian tinggi awam dan swasta iaitu (1) Kualiti, (2) Autonomi, (3) Kolaborasi dan (4) Pengantarabangsaan.

IKRAM Academia mengalu-alukan dan menyokong penuh usaha yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan di bawah pimpinan Yang Berhormat Menteri dalam usaha untuk mengembalikan wibawa pengajian tinggi ini.

Dalam usaha untuk memastikan usaha ini berjaya, IKRAM Academia mencadangkan pelan tindakan bagi dua daripada empat hala tuju tersebut, iaitu kualiti dan autonomi.

(1) Kualiti

Kualiti institusi pendidikan tinggi bergantung kepada pentadbir yang berkualiti, sistem penyampaian yang berkualiti dan input yang berkualiti.

Pertama, bagi memastikan pentadbir yang berkualiti, IKRAM Academia mengusulkan supaya pihak Kementerian memperkenalkan satu tatacara pelantikan pentadbir utama universiti awam dan swasta yang telus. Kita bersetuju bahawa perlantikan Pengerusi dan ahli Lembaga Pengarah Universiti boleh terdiri daripada tokoh perniagaan dan masyarakat, tetapi pentadbir utama universiti awam atau swasta hendaklah terdiri daripada ahli akademik yang cemerlang kerana ahli akademik yang cemerlang sahaja akan dapat memastikan kecemerlangan institusi berkenaan.

Kedua, dalam usaha untuk memastikan sistem penyampaian yang berkualiti, semua kakitangan akademik dan pentadbiran perlulah diberikan latihan yang berkualiti. Tujuan ini dapat dicapai dengan memperkasakan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) sebagai institusi latihan pendidikan tinggi yang cemerlang.

Ketiga, usaha yang bersungguh-sungguh perlu dilakukan bagi memastikan kemasukan ke institusi pengajian tinggi adalah seragam dan berkualiti. Untuk itu, IKRAM Academia mencadangkan supaya pihak Kementerian mengguna pakai sistem 12+4 yang telah diterima sebagai piawai antarabangsa. Melalui sistem ini  semua pelajar melalui 12 tahun pendidikan sekolah sebelum melalui empat (4) tahun pendidikan tinggi. Dengan menggunakan sistem ini, semua kemasukan ke institusi pendidikan tinggi akan melalui sistem penilaian yang seragam dan dapat mengelakkan kecelaruan sistem pendidikan yang diamalkan di negara kita pada masa ini.

(2) Autonomi

Autonomi sebuah universiti dan institusi pendidikan tinggi sama ada swasta atau awam adalah penting bagi memastikan kualiti pendidikan yang ditawarkan. Yang Berhomat Menteri telah memberikan penekanan kepada dua aspek iaitu dengan penilaian semula petunjuk prestasi (KPI) dan pemerkasaan mahasiswa. Selain daripada itu, IKRAM Academia ingin mengusulkan supaya pihak Kementerian mengambil langkah-langkah berikut:

Pertama, memastikan kesemua universiti awam diberikan peruntukan berasaskan suatu formula yang sesuai. Kita mencadangkan supaya peruntukan ini diberi berasaskan suatu kontrak yang jelas antara pihak kerajaan dan pihak universiti. Universiti awam seterusnya dibenarkan untuk mengambil tindakan dalam hal pengurusan sumber manusia dan pengurusan kewangan bagi memastikan pencapaian kontrak tersebut.

Kedua, memperkasakan peranan senat bagi universiti awam dan swasta bagi membolehkan senat memainkan peranan yang berkesan. Pihak Kementerian perlu memastikan senat universiti awam dan swasta terdiri daripada ahli akademik yang berwibawa dan bebas untuk membuat keputusan akademik. Oleh itu, perlu ada suatu pemisahan yang jelas antara peranan Lembaga Pengarah yang mengendalikan urusan perniagaan dan Senat yang mengendalikan urusan akademik.

Peranan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sebagai badan pemantau kualiti perlu diperhati semula supaya ia berperanan sebagai fasilitator dan bukannya badan penguatkuasa. Bagi universiti awam dan swasta, penilaian berasaskan institusi adalah diberi lebih keutamaan berbanding dengan penilaian berasas program.

Ketiga, IKRAM Academia amat bersetuju dengan cadangan penubuhan kembali kesatuan pelajar yang bebas dalam usaha untuk membina barisan kepimpinan negara masa hadapan. Peranan Bahagian Hal Ehwal Pelajar hendaklah diteliti semula supaya ia lebih berperanan untuk membimbing perkembangan pelajar dan bukannya sebagai pengawal kegiatan pelajar.

 
Prof Dato’ Dr Mohd Ali Hassan
Pengerusi
IKRAM Academia

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia