Mengapa Perlunya Keseimbangan Ekonomi dan Sosial?

Mengapa Perlunya Keseimbangan Ekonomi dan Sosial? | IKRAM

Dimensi pembangunan ekonomi sering dilihat dalam beberapa perspektif seperti kapitalis, komunis juga Islam. Menurut perspektif ekonomi kapitalis, pembangunan ekonomi hanya merujuk kepada pembangunan kebendaan dan fizikal serta mengesampingkan pembangunan nilai-nilai moral serta spiritual manusia.

Perspektif ekonomi komunis pula melihat pembangunan ekonomi sebagai suatu konsep kebendaan semata-mata. Berbeza dengan kedua-dua perspektif tersebut, Islam meletakkan asas pembangunan yang lebih jelas dan komprehensif iaitu pembangunan yang meliputi aspek akhlak, kerohanian dan kebendaan.

Komponen-komponen ini tidak boleh dipisahkan jika ingin mencapai objektif kejayaan yang lebih jauh sebagaimana yang dititikberatkan oleh ajaran Islam, iaitu objektif al-falah yang bermaksud kejayaan dunia dan akhirat.

Peperangan tarif yang berlaku hari ini telah menyebabkan banyak herotan dalam kehidupan manusia dan secara tidak langsung turut melibatkan umat Islam. Gangguan tersebut menyebabkan pelanggaran beberapa prinsip asas ekonomi yang sekali gus menjejaskan kesejahteraan umat Islam.

Manusia sebagai pelaku ekonomi seharusnya menyedari tanggungjawab mereka agar semua pelaku ekonomi lain dapat turut terlibat dalam aktiviti ekonomi tanpa sebarang penindasan dan kezaliman.

Namun, realiti semasa menunjukkan bahawa pembangunan ekonomi kini turut dicemari isu salah laku, penindasan dan kezaliman akibat ketamakan serta sikap mementingkan diri.

Al-Maududi pernah menegaskan bahawa sistem ekonomi Islam tidak memisahkan nilai-nilai moral daripada penetapan dan pengagihan sumber daya. Bahkan, tujuan teori ekonomi Islam adalah penanaman nilai keadilan, kebaikan, persaudaraan dan disiplin sebagai asas mewujudkan kehidupan yang harmoni.

Oleh itu, penting untuk menegaskan konsep tauhid, kepercayaan kepada Allah SWT dan hari akhirat, sebagaimana yang digariskan oleh Syed Nawab Haider Naqvi bahawa kepercayaan tersebut mendorong seorang Muslim bertindak secara beretika dalam setiap perilaku ekonominya.

Panduan pelaku ekonomi dan kesan-kesannya 

Islam melarang umatnya daripada bersikap malas atau menganggur sedangkan mereka mampu bekerja, kerana bekerja merupakan tanggungjawab, khususnya bagi ketua keluarga. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Seseorang cukup dikatakan berdosa jika dia melalaikan orang yang wajib diberikan nafkah.” (Riwayat Abu Dawud)

Pekerjaan yang dilakukan secara bersungguh-sungguh juga mendapat pujian Allah SWT sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a. yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah SWT mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia melaksanakannya dengan tekun.” (Riwayat al-Tabrani)

Dengan wujudnya peluang pekerjaan dan usaha mewujudkan peluang tersebut oleh pihak kerajaan secara konsisten, ia mampu membuahkan hasil ekonomi yang baik, seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan rakyat juga negara.

Untuk mencapai keberhasilan ekonomi yang optimum, pelaku ekonomi perlu memenuhi ciri-ciri penting yang digariskan oleh al-Quran seperti yang disebut dalam surah al-Qasas ayat 26, iaitu al-qawi dan al-amin.

Al-qawi merujuk kepada kecekapan, kepakaran dan kemampuan dalam melaksanakan sesuatu tugas, manakala al-amin pula merujuk kepada sifat amanah dalam melaksanakan tanggungjawab.

Penerapan ciri-ciri ini akan memastikan produktiviti ekonomi yang tinggi serta menjamin kesejahteraan yang mampan. Malah, ia juga dianggap sebagai jihad ekonomi apabila dilaksanakan secara ikhlas dan mematuhi prinsip halal serta tidak melalaikan kewajipan asas.

Majikan dan tanggungjawab mereka 

Perkara yang kerap menjadi isu adalah kecuaian majikan dalam menunaikan tanggungjawab terhadap pekerja. Teori asas ekonomi menyatakan bahawa apabila wujud perbelanjaan dalam kehidupan masyarakat, ia akan mendorong peningkatan tahap ekonomi secara keseluruhan.

Namun, apabila pekerja tidak menerima pendapatan sewajarnya akibat kecurangan majikan, pusingan ekonomi akan terjejas. Nabi Muhammad SAW memberikan amaran tegas terhadap majikan yang cuai sebagaimana hadis riwayat al-Bukhari yang bermaksud:

“Allah SWT berfirman; terdapat tiga jenis orang yang aku menjadi musuh mereka pada hari kiamat; seorang yang bersumpah atas nama-Ku lalu mengingkarinya, seseorang yang menjual orang yang telah merdeka lalu memakan hasilnya, dan seseorang yang menggajikan pekerja lalu pekerja itu menyelesaikan pekerjaan tetapi dia tidak membayar upahnya.”

Herotan ini menggambarkan sikap tidak bertanggungjawab dan mengambil kesempatan atas kelemahan orang lain. Islam menuntut pusingan ekonomi berlaku secara adil demi menjamin keharmonian pembangunan ekonomi dan sosial secara seimbang.

Penegasan Islam terhadap penghapusan diskriminasi merupakan sebahagian daripada prinsip keadilan sosial yang ditetapkan untuk melindungi hak-hak setiap manusia. Allah SWT menegaskan dalam Surah an-Nahl ayat 90 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah SWT menyuruh kamu berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat dan melarang daripada perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Allah memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.”

Ayat ini jelas menyeru manusia bertindak adil dalam semua urusan kehidupan termasuk dalam hubungan antara majikan dan pekerja.

Keperluan pembangunan sosial seiring pembangunan ekonomi 

Selain pembangunan ekonomi, aspek pembangunan sosial juga amat kritikal bagi menjamin kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh. Kesejahteraan sosial merujuk kepada keadaan setiap individu mempunyai peluang yang adil untuk menikmati kualiti hidup yang baik, hak pendidikan yang saksama, penjagaan kesihatan yang mencukupi dan kehidupan bermasyarakat yang harmoni.

Pembangunan sosial yang seimbang memastikan manfaat ekonomi diagihkan secara adil kepada semua lapisan masyarakat, sekali gus mengurangkan jurang ketidaksamaan yang menjadi punca kepada ketegangan sosial.

Kestabilan sosial dapat dicapai apabila nilai-nilai seperti saling menghormati, empati, solidariti dan tanggungjawab sosial dihayati sepenuhnya oleh masyarakat. Dalam Islam, konsep pembangunan sosial ini selari dengan konsep ukhuwah Islamiah (persaudaraan Islam), takaful (saling membantu) dan solidariti sosial yang disyariatkan.

Pelaburan dalam bidang pendidikan, penjagaan kesihatan, keselamatan sosial dan pembentukan komuniti berdaya tahan perlu diberi keutamaan setara dengan pelaburan dalam infrastruktur fizikal dan pembangunan ekonomi.

Hal ini demikian kerana tanpa kesejahteraan sosial yang kukuh, pembangunan ekonomi tidak akan mampu bertahan dalam jangka masa panjang dan akhirnya tidak membawa manfaat sebenar kepada masyarakat secara keseluruhannya.

Kesimpulannya, kesejahteraan ekonomi hanya benar-benar bermakna apabila ia disertai dengan pembangunan sosial yang seimbang.

Islam sebagai sistem kehidupan yang lengkap menegaskan bahawa pembangunan ekonomi haruslah beriringan dengan pembangunan moral, akhlak, kerohanian serta sosial.

Nilai-nilai seperti keadilan, amanah, integriti dan tanggungjawab perlu sentiasa dihayati oleh pelaku-pelaku ekonomi dan majikan agar kesejahteraan rakyat terjamin.

Hanya dengan keseimbangan pembangunan ekonomi dan sosial yang mantap, kesejahteraan ummah yang mampan serta kejayaan dunia dan akhirat dapat direalisasikan.

Dr. Wan Mohd Al Faizee Wan Ab Rahaman
Koordinator MBA & MiBD
Arshad Ayub Graduate Business School
UiTM Shah Alam

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia