Memupuk perpaduan generasi muda melalui pemahaman tingkah laku

“Jika kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya hari ini.” (Kata hikmah)

 

Kata-kata di atas menggambarkan bahawa masa depan sesebuah negara sangat bergantung kepada sejauh mana peranan pemuda pada hari ini. Peranan yang dimaksudkan dalam kata-kata ini ialah peranan yang dimainkan pemuda dalam pembinaan sesebuah negara yang aman, progresif dan makmur.

 

Pesanan ini walaupun disampaikan lama dahulu pada zaman dan konteks yang berbeza, masih sangat relevan dalam dunia moden pada hari ini, termasuklah di Malaysia.

 

Menurut satu kajian yang dilaksanakan oleh penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM, 2018) terhadap remaja yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Kuala Lumpur, enam daripada 10 responden (59.8 peratus) mempunyai semangat perpaduan yang sederhana sahaja.

 

Dapatan ini menunjukkan terdapat jurang antara realiti semasa dan aspirasi perpaduan negara seperti yang digariskan oleh Dasar Perpaduan Negara.

 

Walaupun kajian ini terhad kepada responden di Kuala Lumpur sahaja, namun sedikit sebanyak ia memberi petunjuk kepada tahap perpaduan dalam kalangan generasi pemuda yang bakal mewarisi negara ini pada satu hari nanti.

 

Dapatan daripada kajian ini tentunya menimbulkan kerisauan dalam kalangan pucuk pimpinan negara, pemegang taruh dan masyarakat umum kerana sekiranya tiada intervensi yang dilaksanakan, maka hasrat untuk mencapai perpaduan nasional berkonsepkan Perpaduan Dalam Kepelbagaian seperti yang dinyatakan dalam Dasar Perpaduan Negara mungkin tidak akan dapat dicapai.

 

Persoalannya, apakah bentuk intervensi yang perlu dilaksanakan untuk menangani jurang ini selain daripada inisiatif-inisiatif sedia ada?

 

Dapatan daripada bidang pemahaman tingkah laku (behavioural insights) iaitu satu alat dasar yang telah diterima dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RM-12) menunjukkan perpaduan boleh dibentuk dengan lebih berkesan dengan mengambil kira aspek-aspek psikologi manusia.

 

Dua bentuk intervensi tingkah laku (behavioural intervention) dicadangkan untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda di negara kita. Intervensi-Intervensi yang dicadangkan berikut adalah berdasarkan kajian yang dilaksanakan oleh Behavioural Insights Team, satu badan yang menasihati kerajaan United Kingdom dan beberapa negara lain berhubung polisi-polisi awam.

 

1) Menggalakkan perkongsian identiti

 

Walaupun identiti kaum atau agama seseorang itu adalah kekal dan tidak dapat dihapuskan, bukti menunjukkan perkaitan seseorang individu dengan sesuatu kumpulan boleh dibentuk.

 

Sebagai manusia, kita boleh mengaitkan identiti kita dengan beberapa kumpulan pada masa yang sama. Intervensi ini dapat dilaksanakan dengan mengetengahkan ciri-ciri identiti yang dikongsi bersama. Sebagai contoh, ‘kumpulan bapa’ yang merentasi pelbagai kaum dan agama.

 

Boleh juga diwujudkan kumpulan atau kelab peminat sukan, kerana sedia maklum sukan merupakan satu wadah yang dapat menyatukan manusia yang pelbagai.

 

2) Menyokong imej dan kepercayaan sendiri

 

Remaja yang mempunyai keyakinan terhadap imej dan kepercayaannya sendiri adalah kurang bersifat defensif dan lebih terbuka untuk menerima kepelbagaian pandangan. Dengan mengukuhkan keyakinan terhadap imej dan kepercayaan sendiri, prasangka terhadap kumpulan-kumpulan lain (sama ada rakan-rakan dari bangsa atau agama lain) dapat dikurangkan.

 

Bukan itu sahaja, pengukuhan ini dapat mengurangkan dua kesan negatif psikologi, iaitu bias pengesahan (confirmation bias) dan fikiran kumpulan (group-think).

 

Bias pengesahan ialah kecenderungan untuk mencari, membaca, mendengar atau memberi lebih perhatian kepada maklumat yang mengesahkan pandangan kita yang sedia ada.

 

Fikiran kumpulan pula merujuk kepada kecenderungan sesuatu kumpulan untuk mencapai kata sepakat berdasarkan pandangan kumpulannya sahaja. Fenomena psikologi ini boleh mengakibatkan keputusan yang tidak rasional atau kurang wajar dibuat.

 

Dua bentuk intervensi di atas boleh dilaksanakan melalui program-program yang dirangka dan dilaksanakan di peringkat sekolah dengan mengambil kira realiti dan konteks setempat.

 

Rumusannya, isu perpaduan dalam kalangan generasi muda hendaklah diberi perhatian sewajarnya oleh pihak kerajaan dan juga pemegang-pemegang taruh lain dalam masyarakat demi mencapai aspirasi Dasar Perpaduan Negara.

 

Dalam hal ini, pendekatan inovatif yang mengambil kira aspek psikologi berdasarkan pendekatan pemahaman tingkah laku menawarkan satu solusi baru demi mewujudkan masa depan Malaysia yang aman, progresif dan makmur.

 

Badlishah Sham Baharin, Timbalan Presiden IKRAM
Mohammad Abdul Hamid, Perunding Polisi Awam

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia