Setiap tahun pada 8 Mac, kita menyambut Hari Wanita Antarabangsa, satu peringatan bahawa perjuangan kesaksamaan gender masih berterusan.
Tahun ini, Malaysia mengangkat tema “Wanita Beraspirasi Membina Legasi”, satu aspirasi yang menggambarkan betapa pentingnya peranan wanita dalam membentuk masyarakat yang lebih seimbang dan inklusif.
Namun, di sebalik kemeriahan sambutan, sejauh mana suara wanita benar-benar didengar? Adakah dasar yang diumumkan hanya sekadar janji di atas kertas, atau benarkah impaknya terasa hingga ke akar umbi?
Hari Wanita Antarabangsa mempunyai sejarah panjang dalam perjuangan hak wanita. Pada tahun 1908, lebih 15,000 wanita berarak di New York, Amerika Syarikat, menuntut gaji lebih baik, pengurangan waktu bekerja dan hak mengundi.
Tahun berikutnya, Hari Wanita Kebangsaan pertama diisytiharkan di Amerika, dan pada tahun 1910, seorang aktivis bernama Clara Zetkin mencadangkan sambutan tahunan bagi memperjuangkan hak wanita.
Sambutan pertama pada tahun 1911 diadakan di Austria, Denmark, Jerman dan Switzerland dengan penyertaan lebih sejuta orang. Sejak tahun 1977, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) secara rasmi mengiktiraf Hari Wanita Antarabangsa, menjadikannya satu perayaan global untuk memperkasakan wanita.
Dasar Wanita Negara 2025-2030 telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada majlis perasmian Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Tahniah, dasar ini memberi tumpuan kepada empat aspek utama iaitu Ekonomi dengan meningkatkan penyertaan wanita dalam pekerjaan dan keusahawanan, Kepimpinan dengan memastikan lebih ramai wanita terlibat dalam peranan pengurusan dan pentadbiran, Keselamatan dengan mengukuhkan perlindungan terhadap keganasan domestik dan diskriminasi, dan Kesejahteraan dengan menyediakan akses yang lebih baik kepada perkhidmatan kesihatan dan sokongan sosial.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, menekankan bahawa dasar ini bertujuan untuk menutup kelemahan dalam dasar-dasar terdahulu, khususnya dalam aspek perlindungan wanita.
Kerajaan juga berusaha memperkukuh pelaksanaan undang-undang sedia ada dengan bekerjasama rapat dengan polis dan agensi lain bagi memastikan keberkesanan perlindungan wanita.
Buat pertama kalinya, Sambutan Hari Wanita Antarabangsa turut merangkumi aktiviti prasambutan di lima zon utama iaitu Zon Borneo, Zon Timur, Zon Selatan, Zon Tengah dan Zon Utara bagi memastikan penglibatan lebih menyeluruh.
Program ini melibatkan 500 hingga 1,000 peserta di setiap lokasi dengan pelbagai aktiviti seperti kempen kesedaran, forum dan sesi dialog bersama pemimpin wanita serta pakar industri.
Selain itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga memainkan peranan penting dalam memperkasakan wanita. Sebagai contoh, Women in Logistics and Transport (WiLAT) dan The Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT) Malaysia cawangan Pahang dengan kerjasama Majlis Kebajikan Masyarakat negeri Pahang telah menganjurkan Jelajah Logistik Kemanusiaan di Kolej Komuniti Bera.
Seramai 32 peserta ibu tunggal berkongsi pengalaman dan cabaran mereka dalam sesi luahan rasa. Program sebegini perlu dijalankan secara berkala untuk memastikan kumpulan fokus wanita mendapat sokongan berterusan sehingga mereka mencapai kejayaan.
Teori Peranan Sosial menunjukkan bagaimana norma masyarakat masih mengaitkan wanita dengan tugas penjagaan dan kerja domestik. Wanita di Malaysia bukan lagi sekadar penghias organisasi tetapi peneraju dalam pelbagai sektor.
Berdasarkan Laporan Survei Tenaga Buruh Suku Tahun Kedua 2024 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) wanita di Malaysia telah mencapai 56.2%.
Walaupun terdapat peningkatan, penyertaan wanita dalam tenaga kerja masih lebih rendah berbanding lelaki, yang mencatatkan kadar penyertaan lebih tinggi.
Usaha untuk meningkatkan keupayaan wanita dalam membuat keputusan serta kesedaran mengenai kesaksamaan gender terus diperkukuh melalui program latihan dan advokasi.
Program Advokasi Kepekaan Gender melibatkan sesi ceramah dan latihan oleh pakar dalam pelbagai bidang untuk meningkatkan pengetahuan mengenai hak serta peluang wanita.
Modul Kesaksamaan dan Kepimpinan Kendiri disemak secara berkala bagi memastikan program yang ditawarkan relevan dengan cabaran semasa. Teori Modal Manusia menekankan bahawa pelaburan dalam pendidikan dan latihan boleh meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja.
Selain itu, isu tenaga buruh dan isu keselamatan masih menjadi cabaran utama untuk wanita. Kes keganasan rumah tangga terus meningkat dan gangguan seksual di tempat kerja masih belum dapat dihapuskan sepenuhnya.
Walaupun pelbagai undang-undang telah digubal, pelaksanaan yang lemah sering kali membuatkan keadilan sukar ditegakkan.
Salah satu acara tahun ini ialah FemForward: Forum Wanita Antarabangsa dan Anugerah 2025, yang akan berlangsung pada 7 Mei 2025 di Kuala Lumpur.
Acara ini dianjurkan dengan kerjasama pelbagai pihak seperti Synergy Connect Holdings, The Women in Trade and Industry (WITI) di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Women in Logistics & Transport (WiLAT), The Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT) Malaysia, Wanita SAMENTA, dan Balai Ikhtisas Malaysia.
Matlamatnya adalah untuk menghimpunkan wanita daripada pelbagai industri bagi berkongsi pandangan mengenai kepimpinan, inovasi dan pemerkasaan wanita serta memberikan penghargaan kepada mereka yang telah mencipta impak dalam bidang masing-masing.
Acara ini dijangka dirasmikan oleh Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, mantan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Pengerusi Jawatankuasa Konsultatif Women in Trade and Industry (WITI) di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan HAWA Malaysia.
Sambutan Hari Wanita Antarabangsa seharusnya lebih daripada sekadar acara tahunan. Ia perlu menjadi pemangkin kepada perubahan sebenar dalam memperkukuh hak wanita dalam semua aspek kehidupan.
Wanita bukan sekadar memerlukan dasar, tetapi tindakan nyata yang membawa perubahan.
Kini masanya untuk kita semua turun padang iaitu kerajaan, sektor swasta, NGO dan masyarakat dengan bekerjasama untuk memastikan suara wanita bukan sahaja didengar, tetapi juga diberi perhatian serius dan diimplementasikan.
Dengan usaha bersama, kita dapat memastikan wanita bukan sekadar membina legasi, tetapi juga membentuk masa depan yang lebih cerah dan seimbang.
‘‘Jadilah wanita yang tidak hanya menunggu perubahan, tetapi yang mencipta perubahan.”
Selamat Hari Wanita 2025!
Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw FCILT
Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia &
Pengerusi Women in Logistics and Transport (WiLAT) Malaysia
Kredit foto: Anwar Ibrahim