SHAH ALAM – Dengan memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah, Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad memulakan ucapan perasmian Majlis Pelancaran IKRAM Siswa di Dewan Universiti Selangor (UNISEL) pada Sabtu, 19 Januari 2013.
“Syukur kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang mempertemukan kita semua dalam majlis bersejarah ini iaitu Majlis Pelancaran IKRAM Siswa, yang mana ia akan menjadi satu majlis yang sentiasa diingati dan dikenangi oleh para mahasiswa-mahasiswi Pertubuhan IKRAM Malaysia.”
“Majlis ini adalah satu occasion (peristiwa) yang dengan izin Allah akan melonjakkan gerak kerja mahasiswa bagi membangunkan diri, organisasi dan ahli-ahli agar mampu ikut serta dalam membangunkan kembali umat Islam, masyarakat dan negara Malaysia.
“Generasi yang cerdas dan sihat adalah generasi yang kaya dengan berbagai-bagai potensi, memiliki ilmu pengetahuan, berpeluang memenangi kepakaran, sudah bersedia untuk memikul tanggunggung jawab Islam, berpeluang memenangi kedudukan-kedudukan penting dalam negara dan sebagai pelapis kepimpinan IKRAM, kepimpinan masyarakat dan negara pada masa hadapan,” demikian ujar beliau dalam ucapan awal dengan menyentuh perkara-perkara utama yang perlu ada pada mahasiswa-mahasiswi dalam takungan pertubuhan IKRAM.
Menurut beliau, apa yang perlu mereka lakukan ialah terus-menerus mengangkat kualiti diri, meningkatkan aktivisme dan sentuhan dakwah, memperluas capaian serta menggerakkan lingkungan rakan sebaya, generasi muda dan masyarakat umum serta massa.
“Kita berharap agar mereka akhirnya menjadi generasi penggerak perubahan, pembawa panji Islam yang sebenar, golongan yang akan memperkasakan perjuangan pada masa hadapan, menjadi penjana kemenangan serta penegak arus Islam dalam negara dan di tengah-tengah dunia,” tegasnya.
Pada hari yang cukup bermakana buat IKRAM Siswa itu, Dr Mohd Parid menggariskan beberapa perkara yang wajar menjadi pegangan semua, dengan katanya, “Matlamat perjuangan kita semua ialah Allah, keredhaan-Nya dan kitaran amal perjuangan kita adalah dakwah, tarbiah, tanzim dan jihad.
“Bagi mahasiswa dan mahasiswi: kegiatan-kegiatan dakwah akan diikuti dengan tajmi’, kegiatan-kegiatan tarbiah atau perkaderan pula akan diikuti dengan aktiviti luaran (activism), tanzim pula bermaksud membangunkan susunan haraki dalam kalangan mereka serta susunan organisasi,” jelas Dr Parid.
“Jihad pula bermaksud penglibatan di medan-medan amal,” jelasnya di hadapan kira-kira 1,200 hadirin, kebanyakannya mahasiswa yang datang dari seluruh pelosok negara.
“Kitaran amal ini juga mereka fahami sebagai aktiviti-aktiviti membangunkan manusia, membangunkan negara dan membangunkan tamadun.”
Menurut beliau, kesemua kegiatan ini berkait rapat dengan fasa-fasa perjuangan IKRAM.
“Fasa-fasa perjuangan kita adalah:
1) Fasa pertama: Pembangunan diri
2) Fasa kedua: Pembangunan organisasi; pembangunan wahana IKRAM
3) Fasa ketiga: Pembangunan masyarakat dan rakyat umum
4) Fasa keempat: Pembangunan muassasah, institusi dan agensi
5) Fasa kelima: Pembangunan negara
6) Fasa keenam: Menangani dunia antarabangsa, alam Islam dan bukan Islam, juga negara-negara musuh, dan ikut serta membangunkan Islamic World Order, order Islam bagi dunia antarabangsa,” beliau menghuraikan.
Dewasa ini, katanya, Fasa IKRAM ialah fasa ketiga iaitu membangunkan masyarakat dan rakyat umum.
“Lantaran itu ia beroperasi sebagai “wahana massa” dengan “dakwah zahirah”.
“Bukan setakat itu sahaja. Ia sudah mula digerakkan ke dalam fasa-fasa seterusnya, fasa keempat, kelima dan keenam dan pada masa yang sama tetap mengekalkan operasi-operasi bagi fasa-fasa sebelumnya, fasa pertama dan fasa kedua, terus aktif membangunkan keupayaan, kekuatan dan pengaruh, juga menimba pengalaman,” terang beliau lagi.
Begitulah IKRAM, ujarnya. Ia sepatutnya difahami sebagai pertubuhan dakwah, NGO massa, gerakan Islam yang digerakkan dan dikembangkan ke dalam semua fasa secara dinamik, berkadar, terselaras dan berimbangan secara relatif agar ia dapat memenangkan aspirasi ummah dengan gagah.
“Apa yang perlu kita semua lakukan dalam negara kita dewasa ini adalah:
- Memulihkan kembali ummah
- Menggerakan generasi pelopor
- Membangunkan generasi baru
- Berdakwah kepada yang bukan Muslim
- Membangunkan Malaysia baru.”
Untuk itu, tegas beliau, pendekatan yang perlu diikuti ialah memperkasakan kitaran amal menerusi pemerkasaan amal jama’i.
“Ingat, tabiat perjuangan kita ialah “membina, membina, membina, menyatukan, memperbaiki dan berkorban.” Dan sebagai mahasiswa/mahasiswi IKRAM, apa yang kita inginkan daripada anda semua adalah berusaha dengan gigih agar menjadi mahasiswa dan mahasiswi yang:
- cemerlang sebagai ‘abid atau hamba Allah yang taat.
- memiliki penguasaan ilmu dan kecemerlangan peribadi
- berpegang kepada konsep ilmu bersepadu bersumberkan wahyu dan akal
- memiliki gabungan ilmu syariah dan sains serta berpegang dengan gabungan ilmu dan amal
- soleh dan musleh, memiliki integriti dan akauntabiliti
- memiliki kesedaran yang tinggi, kefahaman yang dalam, menguasai ilmu dengan kepakaran dan kebijaksanaan
- menjadi generasi penggerak (pelopor) kepada pembaikan dan perubahan negara serta pembaikan kehidupan rakyat pada masa hadapan
- generasi yang terasuh dengan disiplin ilmu dan akhlak
- menghimpunkan dakwah dan tajmik; tarbiah dan aktivisme; dakwah dan ijazah
- menjadi generasi Rabbani, generasi kemenangan
- menjadi kader-kader IKRAM yang sudah dipersiapkan untuk memperjuangkan agenda ummah, memenangkan Islam di tanah air dan di persada dunia antarabangsa
- menjadi sebagai sebahagian daripada calon-calon saf pimpinan pelapis, golongan pakar, pemikir-pemikir, tokoh-tokoh masyarakat, umat dan negara pada masa hadapan.”
Dr Mohd Parid turut memetik ayat-ayat al-Quran dari surah Al-Furqan ayat 63 hingga 76, yang menjelaskan ciri-ciri hamba Allah yang istimewa yang dikenali sebagai ‘ibadur-Rahman.
Beliau menyifatkan ahli-ahli IKRAM Siswa sebagai bunga-bunga yang menyebarkan haruman, srikandi dan perwira di medan perjuangan, pembawa obor yang menerangi perjalanan dan pendukung-pendukung setia perjuangan, lantaran ada pada mereka kejelasan fikrah, visi dan misi perjuangan di samping iman, semangat, kesabaran, tekad serta keazaman.
Presiden IKRAM sempat bermadah:
“Kamu adalah:
Masa depan umat Muhammad
Sebagai roh baru baginya
Tarbiah membesarkan kamu
Dakwah mematangkan dirimu
IKRAM meletakkanmu di posisi yang terbaik
Mengolahmu menjadi sebaik-baik ummah
Laluanmu:
Laluan aman
Memikul tanggungjawab
Berjuang dan berkorban
Menjana kemenangan
Bekalanmu:
Semangat waja
Perasaan takwa dalam dada
Sinaran iman dan ilmu
Kebijaksanaan daripada para guru
Pengalaman dari sejarah lalu.”
Pada akhir ucapannya, beliau berkata dengan pelancaran IKRAM Siswa secara rasmi ini, wujudlah satu platform rasmi yang akan menyatukan serta menaungi semua mahasiswa yang berada dalam susunan organisasi dan tarbiah Pertubuhan IKRAM Malaysia selama ini.
“Kita berharap mahasiswa/mahasiswi ini akan dapat diperkasakan agar mampu memenangi sokongan mahasiswa/mahasiswi di seluruh pusat pengajian tinggi dalam negara, seterusnya membawa mereka ikut serta bergerak aktif membangunkan umat dan negara ke arah perubahan, kesempurnaan kebaikan, kemajuan dan kemakmuran.”