Memperkasa Ibadah Korban Melalui “Taksonomi Bloom”

Ibadah korban merupakan antara ibadah tertua yang dilaksanakan dengan menonjolkan dua watak utama iaitu Habil dan Qabil yang merupakan anak-anak kepada Nabi Adam a.s.  Surah al-Maidah ayat 27 menceritakan bagaimana Allah SWT menerima korban Habil yang merupakan pemilik kambing dan menolak korban Qabil yang merupakan pemilik kebun.

Habil memilih kambing paling bernilai, paling gemuk dan yang terbaik yang dimilikinya untuk dijadikan korban, manakala Qabil memilih hasil tanaman yang paling buruk dan tidak elok untuk dikorbankan.

Hal ini jelas menunjukkan bahawa dalam menunaikan ibadah korban, syarat yang penting untuk memastikan ibadah korban diterima Allah SWT adalah memberikan yang terbaik dengan hati yang penuh keikhlasan.

Dalam usaha mendidik masyarakat memahami konsep sebenar ibadah korban sehingga mencapai maqasid syariah ibadah tersebut, ia boleh difahami dalam rangkuman rangka kerja “Taksonomi Bloom” yang terdiri daripada enam fasa iaitu pengetahuan, kefahaman, aplikasi, analisis, sintesis dan penilaian.

Pelaksanaan ibadah korban bukan sekadar penyembelihan binatang ternak pada Hari Raya Aidiladha dan hari-hari Tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijah. Ia bahkan merupakan manifestasi pengabdian seorang hamba kepada Allah SWT dengan hati yang tulus suci.

Fasa pertama: Pengetahuan dan kefahaman

Pada fasa ini, seseorang Muslim perlu diberi pengetahuan dan kefahaman berkaitan fakta-fakta asas mengenai ibadah korban seperti sejarah korban, hukum-hakam  serta dalil-dalil yang berkaitan.

Sejarah ibadah korban telah dirakam oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: “(Ibrahim berkata), ‘Wahai anakku, sesungguhnya aku telah melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelih kamu, maka telitikanlah apa pandangan kamu.’ (Ismail berkata), ‘Wahai bapaku, lakukanlah apa yang telah diperintahkan kepadamu. Nescaya kamu akan mendapati bahawa aku ini, insya-Allah, tergolong dari kalangan mereka yang sabar.’” (As-Soffat: 102)

Hukum melaksanakan ibadah korban adalah sunat muakkad iaitu sunat yang sangat dituntut. Allah SWT memerintahkan ibadah korban dalam firman-Nya yang bermaksud: “Maka kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai bersyukur.” (Al-Kauthar: 2)

Selain itu, terdapat banyak juga hadis yang menggalakkan pelaksanaan ibadah korban. Antaranya Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Aku diperintahkan dengan menyembelih korban dan ia adalah sunat ke atas kamu.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Pada peringkat ini, pengetahuan dan kefahaman tentang ibadah korban adalah amat penting bagi memastikan setiap Muslim mengetahui asas hukum sesuatu syariat yang telah ditetapkan.  Namun fasa ini tidak sempurna tanpa ditingkatkan kepada fasa yang kedua iaitu aplikasi dan analisis.

Fasa kedua: Aplikasi dan analisis

Pada peringkat aplikasi, individu menggunakan pengetahuan dan kefahaman mereka untuk melaksanakan ibadah korban dengan cara yang betul. Ini termasuk memilih haiwan yang sesuai, memastikan proses penyembelihan memenuhi syarat-syarat syariat serta membahagikan daging korban kepada golongan yang berhak. Mengaplikasikan ilmu yang diperoleh memastikan bahawa ibadah korban dilakukan secara sah dan diterima di sisi Allah SWT.

Syarat penting dalam memastikan amalan diterima ialah keikhlasan. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa daripada kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.” (Al-Hajj: 37)

Ayat ini menjelaskan tentang pentingnya niat yang ikhlas dalam melakukan ibadah korban sehingga ia membawa kepada peningkatan syukur dan membesarkan Allah SWT dalam kehidupan.

Pada peringkat analisis, ibadah korban dikaji dengan lebih mendalam dengan melihat hikmah-hikmah yang terkandung di dalamnya. Ini termasuk menganalisis nilai-nilai spiritual dan sosial seperti meningkatkan rasa kesyukuran, memperkukuh hubungan silaturahim dan membantu golongan yang memerlukan.

Analisis ini juga melibatkan pemeriksaan terhadap keberkesanan ibadah korban dalam menyemai sifat keikhlasan, ketakwaan dan pengorbanan dalam diri seseorang Muslim. Dengan memahami hikmah-hikmah ini secara lebih mendalam, individu dapat mengenal pasti aspek-aspek yang boleh diperbaiki atau ditingkatkan untuk memastikan ibadah korban dilakukan dengan penuh makna dan berkesan serta mencapai matlamat yang diredai Allah SWT.

Fasa ketiga: Sintesis dan penilaian 

Pada peringkat sintesis, ibadah korban dalam kehidupan seharian dapat dilihat melalui pelbagai bentuk pengorbanan yang dilakukan oleh individu, termasuk pengorbanan ibu bapa kepada anak-anak mahupun pengorbanan Rasulullah SAW dan para sahabat kepada umat keseluruhannya.

Rasulullah SAW dan para sahabat mengorbankan masa dan tenaga, harta dan kekayaan, keselesaan dan keselamatan, emosi dan perasaan, keseluruhannya bagi memastikan dakwah Islamiah tersebar seluasnya seantero alam.

Jelas bahawa nikmat iman dan Islam yang diperoleh oleh umat Islam pada hari ini adalah kesan daripada pengorbanan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda r.a. Justeru, ibadah korban tidaklah hanya disempitkan kepada penyembelihan semata-mata tetapi perlu dilihat dalam elemen kehidupan yang pelbagai dalam meraih reda dan cinta Allah SWT.

Akhirnya, pada peringkat penilaian, individu menilai keseluruhan proses ibadah korban dari perspektif ketakwaan dan kesyukuran kepada Allah SWT. Dia dapat merenung kembali impak ibadah korban terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara dan ummah.

Selain itu, dia dapat menilai sejauh mana ibadah korban mampu mendekatkan dirinya kepada Allah SWT. Penilaian ini memberikannya peluang untuk bermuhasabah dan membaiki amalan masa hadapan, menjadikan ibadah korban bukan sekadar ritual tetapi suatu amalan yang mampu membersihkan jiwa.

Daripada Aisyah r.a, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada hari an-Nahr (hari raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada reda Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).” [Riwayat at-Tirmizi (1493)] (Imam at-Tirmizi menghukum hadis ini sebagai hasan gharib)

Sebagai penutup, dapatlah disimpulkan bahawa pendekatan ‘Taksonomi Bloom’ dalam pendidikan dan penghayatan ibadah korban memberikan satu kerangka yang komprehensif untuk memperkasakan amalan ini dalam kehidupan seharian.

Dengan menekankan aspek pengetahuan, kefahaman, aplikasi, analisis, sintesis dan penilaian, kita dapat membentuk generasi Muslim yang bukan sahaja memahami tetapi juga mengamalkan ibadah korban dengan penuh keikhlasan dan kesyukuran.

Melalui pendekatan ini, ibadah korban tidak lagi hanya dilihat sebagai satu ritual tahunan semata-mata, tetapi sebagai satu proses pendidikan berterusan yang memperkukuh iman dan ketakwaan serta memperkaya hubungan sosial dalam masyarakat.

Hasliza Talib
Pensyarah Jabatan Kefahaman Islam dan Bahasa Arab
Universiti Islam Selangor

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia