Korban ialah menyembelih binatang ternakan berkaki empat (al-An’am) pada Hari Raya Aidiladha atau hari-hari tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah) dengan tujuan beribadat kepada Allah.
Hukum ibadah korban adalah sunat muakkad bagi yang mampu dan wajib bagi yang bernazar. Ibadah korban bermula selepas naik matahari sekadar cukup untuk solat sunat dua rakaat Aidiladha dan khutbah pada 10 Zulhijjah dan berakhir ketika terbenam matahari 13 Zulhijjah.
Ibadah korban dilaksanakan sempena mengingati peristiwa Nabi Ibrahim a.s. yang ingin menyembelih anaknya, Nabi Ismail a.s. kerana melaksanakan perintah Allah SWT.Â
Walau bagaimanapun, peristiwa tersebut sekadar ujian Allah SWT kepada mereka berdua. Mereka telah berjaya dalam ujian tersebut di mana Nabi Ibrahim a.s. sanggup menyembelih anak sendiri dan Nabi Ismail a.s. pula patuh dengan perintah ayahnya untuk disembelih.Â
Peristiwa ini menunjukkan kepatuhan mereka kepada perintah Allah SWT lebih daripada yang lain walaupun ia melibatkan nyawa dan kasih sayang ayah dan anak. Lalu Allah telah menggantikan tempat Nabi Ismail a.s. dengan seekor kambing (kibas).
Ibadah korban juga dilakukan sebagai cara untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Syarat-syarat Sah Ibadat Korban
1. Berniat korban ketika menyembelih.
2. Sembelihan dilakukan dalam waktunya iaitu matahari naik kadar sepenggalah pada 10 Zulhijjah hingga terbenam matahari 13 Zulhijjah.
3. Penyembelih orang Islam.
4. Tidak terdapat kecacatan pada binatang korban tersebut yang boleh mengurangkan dagingnya.
5. Binatang ternakan yang halal dimakan.
6. Binatang yang hendak disembelih sudah cukup umur.
7. Binatang yang sudah cukup umur untuk dijadikan korban adalah seperti berikut:
Binatang             Umur
1. Biri-biri           1 tahun atau lebih
2. Lembu / kerbau    2 tahun atau lebih
3. Unta              5 tahun atau lebih
Pembahagian Daging Korban
1. 1/3 disedekahkan kepada fakir miskin
2. 1/3 dimasak untuk jamuan ramai
3. 1/3 orang yang berkorban
Lebih afdal sekiranya orang yang berkorban itu memakan sedikit daripada daging korbannya. Haram diberikan daging korban kepada orang kafir (menurut mazhab Syafii), sama ada dalam keadaan mentah ataupun masak. Harus disedekahkan kepada orang kaya. Korban nazar haram dimakan dagingnya oleh orang yang bernazar.
(Baca huraian berkaitan hukum agihan daging korban kepada bukan Muslim menurut mazhab Syafii dan lain-lain)
Perkara Sunat Ketika Ibadah Korban
1. Membaca basmalah atau takbir.
2. Selawat kepada Nabi SAW.
3. Menyembelih pada waktu siang.
4. Memilih binatang yang gemuk dan sihat.
5. Binatang hendaklah dibaringkan di atas rusuk kiri dan menghadap kiblat.
6. Orang yang berkorban makan sebahagian daging korban.
7. Menggunakan alat sembelihan yang tajam.
Hikmah-hikmah Korban
1. Melatih diri sanggup berkorban pada perkara kebaikan.
2. Membuang sifat kedekut, bakhil dan tamak.
3.Tanda kesyukuran atas nikmat pemberian Allah.
4. Meningkatkan ketakwaan kepada Allah.
5. Mengingati pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s. Ia boleh memupuk semangat pengorbanan terhadap diri dan masyarakat.
6. Menggembirakan fakir miskin dengan menikmati juadah daging korban.
6. Merapatkan silaturahim dalam kalangan umat Islam.
Ustaz Shahrom Abu Hassan
Sumber: MyQurbani