Memilih bukan sekadar calon baharu

Perkembangan semasa politik hari ini boleh digambarkan seolah-olah seperti tidak sihat dan agak tenat. 

 

Hal ini kerana percaturan demi percaturan yang diatur untuk kepentingan tertentu yang akhirnya menjerat rakyat yang tidak berdosa. Pergolakan politik sedikit demi sedikit telah mengheret rakyat ke kancah yang tidak sihat.

 

Dari sudut positif, situasi ini juga ini sangat bagus bagi rakyat untuk bangun dan menilai semula dengan menyuarakan hak rakyat dalam memilih wakil mereka.

 

Ada yang cuba menjernihkan semula parti dengan menampilkan calon yang lebih muda dan baharu, kononnya inilah aspirasi dan kehendak rakyat.

 

Tidak kurang ada juga pelbagai adegan siri pelacuran politik, ‘cium’ sana ‘jilat’ sini demi pertahankan kekuasaan, yang akhirnya disebut sebagai ijtihad politik.

 

Sementelah itu, kita dapat melihat rakyat yang dulunya tidak dipeduli suara dan haknya, kini dijulang bagai raja berapi-api. Janji dahulu masih kekal sebagai janji dan terus berikrar untuk ditepati.

 

Apa yang membimbangkan kita adalah bukan soal calon baharu, tidak juga soal lompat tidak lompat parti, yang membimbangkan rakyat adalah hala tuju dan masa depan parti yang bakal memerintah yang dipimpin oleh mereka yang rakus kuasa dan tamak haloba.

 

Meskipun ada usaha daripada beberapa parti politik yang cuba meletakkan calon baharu dengan wajah dan harapan yang baharu, itu semua tidak dapat memuktamadkan kebimbangan rakyat terhadap masa depan mereka.

 

Apa yang lebih penting ialah bagaimana sesebuah parti politik kelak yang bakal memimpin negara menjalankan tugas dan amanah dengan telus dan jujur. Berkhidmat tanpa penat dan berbakti tanpa henti untuk rakyat.

 

Meletakkan calon muda dan baharu sekalipun, sekiranya soal dalaman parti politik masih dibelenggu dengan soal ketirisan wang, pecah amanah, politik wang dan lain-lain, maka perkara tersebut masih tidak dapat menjamin masa depan yang lebih sejahtera dan cerah.

 

Selagi hala tuju parti politik masih tidak mahu berubah membawa aspirasi baharu, maka selagi itulah tiada jaminan nasib rakyat benar-benar akan terbela.

 

Sepanjang tempoh ketidaktentuan politik, slogan rakyat ditunggang habis-habisan. Semuanya demi rakyat. Hakikatnya, slogan hanya sekadar laungan politik. Selebihnya, untuk habuan dan kepentingan tertentu.

 

Teringat kata-kata Almarhum Dr. Siddiq Fadzil ketika dalam satu wacana ilmiah, beliau menyatakan bahawa dalam politik tidak penting pendapat-pendapat ini, yang penting ialah pendapatan. Soal rakyat adalah soal kedua. Yang penting bagi sebahagian politikus adalah kuasa dan takhta.

 

Oleh kerana itu, episod lompat-melompat, merampas kuasa melalui pintu belakang, adegan politik pelacuran adalah hidangan kerakusan oleh politikus kepada rakyat setelah mereka diberi kuasa dan kepercayaan. Untungnya adalah mereka yang berkuasa. Yang ruginya adalah rakyat bawahan.

 

Adegan dan babak kerakusan politikus ini akan memakan diri mereka sendiri kelak. Demokrasi akan memulangkan semula hak rakyat dalam menentukan masa depan yang lebih baik dan cerah. Ketika dan saat itu, rakyatlah penentu nasib turun naik seseorang pemimpin.

 

Maka sebelum episod kalah menang parti politik tertentu, bawalah insaf dan bermuhasabahlah dengan hala tuju sebenar parti politik masing-masing. Renungi lah kata-kata Fudhail Ibn Iyadh yang bermaksud:

 

“Tidak ada seorang lelaki yang gilakan kuasa kepimpinan melainkan dia akan terjebak dengan hasad dan kejahatan, suka mencari keaiban manusia dan dia benci untuk menyebut kebaikan orang lain.”

 

Juga marilah kita sama-sama merenungi sabda baginda Nabi SAW dalam sebuah hadis riwayat Imam Bukhari, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

 

“Sesungguhnya kalian akan bersungguh-sungguh menginginkan jawatan, sedangkan jawatan akan menjadi sesalan pada hari kiamat (jika tidak dijalankan dengan baik).”

 

Melalui hadis ini, baginda Nabi SAW memperingati kita bahawa jawatan dan kedudukan yang kita idam-idamkan ini boleh menjadi penyebab kita menyesal di hari akhirat kelak kerana tidak amanah dalam menjalankan peranan dan tanggungjawab sebagai seorang  pemimpin.

 

Sebagai seorang Muslim, memadailah dengan peringatan daripada baginda Nabi SAW yang tidak berkata selain daripada wahyu Allah SWT. Tunaikanlah amanah sebagai seorang pemimpin dengan sebaik-baiknya. Semoga Allah merahmati dan mengampuni kita semua.

 

Muhammad Faidhi Azis
Pegawai Masjid dan Guru Takmir JAIPs

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia