Dalam wacana Islam, inclusivity atau keterangkuman bukan sekadar slogan sosial, tetapi nilai teras syariah. Syariah diturunkan sebagai rahmatan lil ‘alamin iaitu rahmat kepada seluruh alam dan manusia tanpa mengira keadaan fizikal, status sosial atau latar belakang kehidupan.
Kepelbagaian memberi warna kepada kehidupan. Namun, ada golongan yang diuji dengan kekurangan pada perkara-perkara yang normal.
Salah satu daripadanya ialah golongan kurang upaya pada sesetengan deria mereka. Pun begitu, kekurangan ini tidak menjejaskan hak dan peluang untuk menikmati kehidupan menurut syariah. Islam tidak menilai manusia melalui mata, tetapi melalui hati, akal dan takwa.
Inclusivity dalam syariah bermaksud membuka ruang keadilan, akses dan peluang kepada semua termasuk juga golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan untuk hidup bermaruah dan bermakna.
Prinsip ini menolak sebarang bentuk peminggiran atau diskriminasi. Ia menuntut agar masyarakat membina sistem yang memudahkan, bukan menyukarkan; memperkasakan, bukan mengasingkan.
Tak kenal maka tak faham
Penerimaan masyarakat terhadap golongan kurang upaya yang tidak konsisten boleh menimbulkan kesenjangan dalam kesihatan sosial.
Walaupun kebanyakan daripada kita sudah biasa dengan kehadiran golongan OKU dalam masyarakat, namun tahap persefahaman dan budaya hormat masih belum mencapai tahap yang cukup – sejauh mana kita mengenali mereka, memahami keperluan mereka, menguasai cara berinteraksi dengan mereka termasuklah berkaitan adab dan etika.
Baru-baru ini, saya berpeluang menyertai rakan-rakan di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Open University Malaysia (OUM) menjalankan aktiviti tanggungjawab sosial korporat bersama golongan OKU penglihatan di Kuala Lumpur.
Program yang diadakan bersama Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) dan pelatih di Gurney Training Centre ini telah menjentik hati para peserta yang memiliki keupayaan penglihatan yang sempurna.
Pada permulaan program, setiap daripada kami yang celik penglihatan ditutup mata, diberikan tongkat dan perlu berjalan ke dewan makan, makan dan berjalan semula ke dewan. Pengalaman singkat tapi kesannya mendalam kepada kami semua.
Di situlah, tanpa sedar, kecerdasan emosi kami terbina. Kami belajar mengenali diri sendiri, rasa bersyukur, rasa rendah diri, dan rasa malu pada kealpaan sendiri.
Kami belajar mengenali orang lain bukan sebagai “OKU”, tetapi sebagai insan dengan cita-cita, keresahan dan harga diri. Banyak juga adab dan etika yang kami pelajari untuk berinteraksi dengan golongan OKU penglihatan ini.
Dengan itu, empati tidak lagi menjadi istilah dalam buku dan kandungan teori. Ia hadir sebagai rasa yang meresap, memaksa kami melihat manusia bukan pada kekurangan mereka, tetapi pada kekuatan jiwa yang jarang dimiliki oleh mereka yang “sempurna” pada mata.
Yang lebih menggetarkan, kami menyedari bahawa program ini bukan sekadar membina kemahiran sosial, tetapi membentuk jiwa yang lebih matang. Dalam kegelapan mata pelatih itu, kami menemukan cahaya kesedaran diri dan kekuatan luar biasa yang mereka miliki.
Hidup bukan hanya untuk diri sendiri
Al-Quran al-Karim telah merakamkan sebuah peristiwa berupa pengajaran kepada kita semua. Allah SWT pernah menegur sikap mengabaikan golongan OKU dalam sebuah peristiwa.
Dalam peristiwa itu, Allah SWT menegur Nabi Muhammad SAW kerana tidak memberi perhatian segera kepada Ibn Ummi Maktum yang buta kerana pada ketika itu Nabi SAW sedang sibuk melayan para pembesar Quraisy.
Teguran ini bukan bersifat peribadi, tetapi bersifat pendidikan kepada umat iaitu nilai manusia tidak diukur melalui penglihatan mata, tetapi melalui keikhlasan hati.
Peristiwa yang membekas dalam diri Nabi seharusnya menjadi pedoman kepada kita umat Islam tentang kewujudan golongan OKU di sekeliling kita yang perlu disantuni dengan sebaiknya.
Inclusivity bukan agenda sampingan, tetapi kewajipan agama dan moral ke atas setiap daripada warga dunia. Masjid, institusi pendidikan, dasar awam dan pembangunan bandar perlu mencontohi semangat yang sama menyediakan kemudahan mesra OKU, bahan pendidikan boleh capai dan sistem latihan yang adil.
Islam tidak mengajar kita supaya kasihan kepada yang lemah, tetapi supaya berlaku adil kepada mereka. Syariah tidak meminggirkan insan yang diuji, sebaliknya mengangkat mereka sebagai amanah sosial.
Semuanya bermula dengan diri sendiri
Setiap daripada kita terutamanya individu Muslim perlu menterjemahkan makna inclusivity dalam diri. Bermula dengan mengenali golongan OKU dengan lebih dekat, fahami keperluan mereka, tahu bagaimana cara untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan baik dan mengenal pasti sisi-sisi sensitiviti yang perlu dijauhi.
Langkah kedua ialah dengan mengaktifkan kecerdasan emosi dalam diri setiap daripada kita. Dengan emosi yang cerdas, kita perlu lebih bersifat empati, mengasihani bukan hanya dengan memandang, tetapi dengan menghulurkan bantuan berupa sumbangan kewangan mahupun tenaga.
Perasaan hormat dan mengiktiraf keperluan golongan ini sudah cukup sebagai langkah mula untuk menghidupkan makna inclusivity dalam masyarakat. Kalau bukan kita ejen kepada syariat, siapa lagi?
Prof. Madya Dr. Hamidah Mat
Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open University Malaysia (OUM)




