Membandingkan Anak: Kesan Emosi dan Peranan Ibu Bapa

Membandingkan Anak: Kesan Emosi dan Peranan Ibu Bapa | IKRAM

“Tuhan menitipkan anak yang sempurna kepada kita, kitalah yang lalu melabel anak dengan sebutan bodoh, kitalah yang melabel mereka dengan sebutan nakal.”

“Percayalah, tidak ada produk Tuhan yang gagal. Kitalah yang perlu berusaha memahami mereka. Bukan anak kita yang harus diganti, cara-cara kita memperlakukan anaklah yang perlu diperbaiki.” (Angga Setiawan, Anak Juga Manusia)

Perbuatan membandingkan anak bukanlah suatu perbuatan yang baik, lebih-lebih lagi jika acap kali dilakukan oleh ibu bapa dengan harapan untuk memberikan motivasi kepada anak-anak agar mereka menjadi lebih baik.

Ia boleh menjadi api dalam sekam kepada emosi anak. Bila-bila masa sahaja bom jangka yang telah ditanam dalam diri mereka boleh meletus.

Tanpa disedari, perbuatan membandingkan anak-anak ini memberi kesan mendalam kepada diri dan emosi mereka. Ini kerana setiap anak dilahirkan berbeza-beza baik dari segi fizikal mahupun tingkah laku.

Mereka adalah istimewa merikut cara mereka sendiri. Setiap anak juga mempunyai ‘pace’ mereka sendiri dalam meraih kejayaan atau pemahaman dalam sesuatu perkara.

Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab kita sebagai ibu bapa untuk meneroka serta memahami mereka agar kita dapat memandu mereka menjadi insan yang lebih baik.

Rela Dibandingkan? 

Letakkan diri kita dalam situasi anak-anak kita pada hari ini. Adakah kita suka dan rela dibanding-bandingkan dengan rakan sejawat kita oleh majikan kita?

Bukan sahaja dibandingkan dari sudut pencapaian dan prestasi kerja semata-mata, malah turut disebut-sebut di khalayak ramai. Apakah kita juga reda jika sentiasa dibanding-bandingkan dengan adik-beradik kita tentang siapakah yang lebih baik?

Jika kita juga berasa tidak senang, maka sewajarnya juga kita seharusnya berhenti daripada terus membanding-bandingkan anak-anak kita sama ada dengan rakan-rakannya mahupun dengan adik-beradiknya sendiri.

Tanpa kita sedari, sebenarnya kita telah memberikan tekanan kepada emosi anak-anak kita. Mereka akan mula rasa terbeban kerana kita sering membandingkan dan menginginkan kejayaan atau sentiasa mahu mereka melakukan lebih baik dengan cara yang negatif.

Ada baiknya jika kita mengiktiraf terlebih dahulu pencapaian atau kebaikan yang telah mereka lakukan terlebih dahulu walaupun pada kita, ia terlalu kecil.

Tanpa kita sedar, ungkapan-ungkapan penghargaan yang kecil inilah bakal menaikkan ‘self-esteem’ anak-anak kita. Mereka perlukan harga diri ini untuk mereka berkembang, yakin diri serta terus tumbuh. 

Jika kita sering membandingkan anak kita dengan anak-anak yang lain, ini akan menumbuhkan jurang antara mereka dan adik-beradik mereka yang lain pula. Kebencian atau iri hati dalam kalangan adik-beradik akan menjadi bertambah besar.

Tidak ada keharmonian lagi sesama mereka. Mungkin juga ia akan menumbuhkan sifat dengki dan khianat antara satu sama lain, kerana masing-masing mahu memenuhi kemahuan ibu bapa menjadi yang terbaik. Sangat besar kesalahan yang kita lakukan jika amalan sebegini menjadi budaya kita.

Anak Menjauh

Sebenarnya, secara perlahan-lahan kita telah membina tembok antara anak-anak dengan diri kita. Kita telah membuatkan mereka berasa jauh daripada kita.

Mereka juga tidak mahu secara sedar disakiti, oleh itu mereka mula mengambil jalan untuk tidak lagi berkongsi dengan kita setiap apa yang berlaku setiap hari.

Alangkah ruginya kita kerana kita kira kita sedang memberikan mereka motivasi untuk menjadi manusia lebih baik apabila membandingkan mereka dengan orang lain, rupa-rupanya kita sedang membina jurang emosi antara anak dan kita tanpa kita sedari. 

Antara yang lebih parah lagi, kita telah merendahkan sifat percaya diri dalam diri mereka. Mereka merasakan bahawa mereka tidak mampu melakukan apa-apa dengan baik.

Orang lain akan sentiasa lebih hebat daripada mereka walaupun sebenarnya potensi yang mereka ada dalam diri mereka sebenarnya lebih besar jika kita mahu bersabar dan cuba memahami mereka.

Inilah juga punca kepada masalah apabila anak-anak mula mencari ‘support system’ daripada kalangan kawan-kawan mereka, bukan lagi daripada ahli keluarga.

Mungkin sahaja mereka berjumpa dengan kelompok yang tidak sihat dan mengajak kepada perkara-perkara yang negatif hanya kerana anak ini mendapat pengiktirafan daripada mereka.

Ketika perkara itu terjadi, lebih banyak usaha yang perlu kita buat untuk mengembalikan kepercayaan mereka kepada kita. 

Mengecilkan Potensi

Antara lain yang mungkin berlaku adalah, secara tidak sedar kita mengecilkan potensi yang ada pada anak-anak kita. Mungkin sahaja sebenarnya anak kita mempunyai bakat yang besar dalam melukis atau menulis.

Namun kerana kita ingin anak kita membesar sebagai orang yang cemerlang dalam bidang akademik, kita kesampingkan minat dan bakat mereka. Sedikit-sedikit mereka akan melupakan kecenderungan mereka itu kerana ingin memberikan tumpuan  kepada apa yang disukai oleh ibu bapa mereka sahaja.

Akhirnya mereka hanya melakukan sesuatu perkara yang mereka tidak suka dengan separuh hati sahaja yang akhirnya memberikan ukuran kejayaan yang biasa-biasa juga.

Maka, berlaku lagi sesi membanding-banding antara mereka dan kawan-kawan mahupun dengan adik-beradik mereka sendiri. 

Akhirnya anak-anak hanya melakukan setiap perkara hanya kerana ingin memuaskan ibu bapa dan orang sekeliling sahaja. Mereka tidak lagi melakukan sesuatu untuk diri mereka. 

Mereka hanya mahukan pujian daripada ibu bapa dan orang sekeliling mereka sahaja dan akan cepat berasa tidak bersemangat jika hasil usaha mereka tidak dipandang atau dipuji oleh ibu bapa mahupun orang sekeliling mereka.

Apakah ini generasi masa hadapan yang kita mau bina? Generasi yang hanya melakukan sesuatu perkara dengan mengharapkan pujian? Kesalahan-kesalahan kita hari ini tidak akan terus kita saksikan secara langsung kesannya. Ia akan memberikan kesan pada kemudian hari.

Teknik Membandingkan Anak

Mengikut penulis buku Anak Juga Manusia, Angga Setiawan, sebenarnya ada teknik untuk membandingkan anak untuk merangsang mereka mereka mempunyai perilaku yang baik. 

Beliau mencadangkan agar:

1. Berikan pujian kepada anak-anak kita saat mereka melakukan sesuatu perkara yang baik walau sekecil mana sekalipun, walau hanya dengan pujian yang sederhana.

Mereka tidak memandang besar atau kecil pujian itu, yang lebih mereka perhatikan adalah penghargaan yang mereka perolehi daripada ibu bapa.

2. Saat anak mahu tidur, ungkapkan sekali lagi kebaikan-kebaikan yang telah mereka lakukan sepanjang hari tersebut. Ucapkan juga terima kasih kepada mereka kerana telah melakukan perkara-perkara baik pada hari tersebut.

3. Ulang kedua-dua langkah tersebut sehingga menjadi rutin. Lakukan sehingga memberikan ‘radar’ yang kuat kepada anak-anak.

Ini adalah proses membina fail-fail positif dalam minda anak-anak kita, contohnya berbuat baik kepada adik, membantu ibu dan ayah, belajar tanpa disuruh dan lain-lain lagi.

Fungsinya agar apabila anak melakukan perkara yang negatif, kita refleks kembali perkara-perkara baik yang pernah mereka laksanakan sebelum ini.

Kita tidak perlu bersusah-payah untuk marah atau membandingkan mereka dengan orang lain atau adik beradik yang lain.

Kita hanya bandingkan mereka dengan diri mereka sendiri. Mereka akan sedar, mereka pernah berbuat kebaikan sebelumnya, tidak mustahil untuk berbuat baik juga ketika ini. 

Perbaiki Diri

Kehidupan kita ini, bukan hanya untuk berlumba menjadi terbaik dalam kalangan orang sekeliling sahaja. Apa yang lebih penting adalah, kita sentiasa memperbaiki diri kita agar kita menjadi insan yang lebih baik dari diri kita yang sebelumnya.

Jika kita telah menerima baik buruk diri kita, maka apa jua yang diperkatakan oleh orang sekeliling, tidak lagi memberi kesan terlalu mendalam kepada kita.

Binalah jati diri anak-anak kita hari ini dengan memberi penghargaan kepada mereka agar mereka tumbuh sebagai insan yang hebat mengikut cara mereka kelak.

Ingatlah bahawa, setiap anak akan menyinar mengikut masa mereka sendiri. Walaupun dilahirkan oleh ‘rahim’ yang sama, mereka tetap berbeza dan unik mengikut cara mereka yang tersendiri. 

Roselinee Mohammad Radzi

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia