Memakmurkan Masjid: Bagaimana Tarik Golongan Muda?

Memakmurkan Masjid: Bagaimana Tarik Golongan Muda? | IKRAM

Sebagaimana lazimnya, masjid pada bulan Ramadan menerima kunjungan luar biasa ramai orang berbanding bulan-bulan lain. 

Semua golongan tanpa mengira orang muda, tua, kanak-kanak, lelaki dan perempuan, termasuk yang baru berjinak-jinak mendatangi masjid secara beramai-ramai menjelang iftar,  seterusnya menunaikan solat tarawih dan pulang dengan rasa terisi rohani.

Inilah nikmat iman yang dirasakan ketika cuba memaknai Ramadan.

Saat ini juga menjadi waktu terbaik untuk mendidik umat Islam menghayati syariat agama agar kefahaman tersebut dapat dinatijahkan dalam bentuk amal. Hasilnya, rahmat Islam akan dapat dirasai oleh sesiapa pun termasuk golongan bukan Islam. 

Definisi masjid

Masjid dalam bahasa Arab diistilahkan sebagai tempat bersujud. Dari sudut syarak, masjid boleh ditakrifkan kepada dua. Pertama, masjid merujuk kepada kawasan tanah berdasarkan sabda Nabi SAW:

وَجُعِلَتْ لِيَ الأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا

Maksudnya: “Dijadikan bagiku bumi ini sebagai masjid (tempat bersujud).” [Riwayat al-Bukhari (438)]

Manakala dari sudut istilah, masjid ialah tempat yang disediakan bagi mengerjakan sembahyang untuk selama-lamanya. Maksudnya, masjid merujuk kepada tempat yang disediakan bagi melaksanakan ibadah solat secara berterusan. 

Masjid yang berfungsi dengan baik tidak akan menimbulkan rasa kekok untuk dikunjungi orang ramai tanpa mengira latar belakang. 

Hal ini kerana masjid tersebut telah memberikan pelbagai manfaat kepada komuniti sekelilingnya, termasuk dalam pembangunan spiritual dan ilmu serta menjadi pusat rujukan dan perkhidmatan kepada masyarakat.

Masjid bukan sahaja menjadi tempat untuk melakukan ibadah khusus seperti yang difahami oleh sesetengah golongan Muslim.

Ia bahkan merupakan tempat pelbagai aktiviti harian boleh dijalankan, yang dalam sesetengah situasi juga boleh dianggap sebagai ibadah umum jika sesuai dengan prinsip-prinsip syarak.

Kontroversi jemaah masjid

Mutakhir ini, timbul beberapa isu berkaitan adab dan akhlak jemaah ketika berada di masjid. Isu penyusunan saf solat, mengecup tempat solat, ragam anak-anak, layanan terhadap masyarakat warganegara asing yang datang ke masjid dan pelbagai perkara lagi menjadi topik perbualan hangat dalam masyarakat. 

Walaupun isu-isu ini sering kali menjadi sumber kontroversi, namun ia menggambarkan masih banyak lagi kejahilan ilmu yang perlu ditumpangkan bersama penerapan nilai-nilai murni.

Ini memberikan peluang kepada individu yang berilmu, terutamanya ilmuan yang berpengaruh untuk menyampaikan pendidikan yang berlandaskan hujah-hujah yang jelas dan meyakinkan. 

Melalui pendekatan yang bijak dan penuh hikmah, mereka dapat membetulkan amalan yang salah dan membudayakan amalan yang betul. 

Evolusi peranan masjid di Malaysia

Adalah lumrah bagi perjalanan hukum alam untuk berubah ketika timbul konflik. Ketika keadaan tenang, kehidupan berjalan seperti biasa. Mungkin itulah sebabnya peranan masjid di Malaysia telah mengalami evolusi yang signifikan.

Pada masa lalu, masjid dikenali sebagai tempat ibadah solat semata-mata. Namun, seiring dengan berjalannya waktu, pembinaan masjid telah berkembang dengan kelengkapan infrastruktur yang pelbagai untuk menampung keperluan tertentu seperti   menyediakan kelas pendidikan bagi golongan dewasa dan tempat untuk majlis rasmi. 

Kini, banyak masjid mempertimbangkan fasiliti untuk anak-anak dan wanita seperti taman permainan, menganjurkan program cuti sekolah dan menyediakan khidmat penjagaan kanak-kanak. Beberapa masjid juga telah berkembang sebagai pusat pengislahan ekonomi dan sosial.

Evolusi ini merupakan bahagian daripada proses yang berlaku ketika isu-isu yang muncul dapat difahami dan diikuti dengan tindakan penyelesaian yang tepat. 

Jika tidak ditangani dengan baik, akan timbul kecenderungan bagi sesetengah orang awam untuk menjauhi masjid, menjadikannya tempat eksklusif bagi golongan tertentu sahaja.

Hal ini tidak seharusnya terjadi kerana masjid sepatutnya menjadi tempat utama memelihara perpaduan umat Islam.

Oleh kerana itu, penting bagi para cendekiawan yang berilmu dan berpengaruh untuk menyambut isu-isu yang muncul dengan bijaksana.

Dengan memberikan penjelasan yang tepat dan mengarahkan umat Islam untuk mengamalkan ajaran yang benar, kita dapat memperbaiki kesalahan dan menyerap kekeliruan yang muncul dalam masyarakat sehingga umat Islam dapat beramal dengan cara yang benar dan bermakna.

Menjadikan masjid jantung masyarakat Islam

Bulan Ramadan juga menjadi peluang terbaik untuk menyantuni semua tetamu masjid terutamanya golongan muda agar hati mereka terus terikat dalam aktiviti keagamaan dan menyokong program-program masjid pada masa akan datang. 

Walau bagaimanapun, cabaran yang lebih besar menanti umat Islam selepas Ramadan adalah untuk mengekalkan semangat ibadah dan kehadiran di masjid.

Lazimnya, masjid sering menjadi tumpuan golongan yang sudah pencen untuk menghadiri kelas-kelas agama yang banyak disusun oleh pihak pentadbiran masjid.

Namun, bukankah lebih menarik lagi jika kita dapat menarik golongan lain juga untuk bersama-sama mengimarahkan masjid?

Untuk menarik golongan muda, program-program menarik perlu disediakan supaya mereka merasakan masjid sebagai tempat yang menyeronokkan dan relevan dengan keperluan mereka.

Contohnya, jawatankuasa masjid boleh bekerjasama dengan sekolah-sekolah tempatan untuk menyelaraskan program melalui pendekatan teknologi yang digemari oleh golongan muda.

Ini termasuk menawarkan tempat untuk kelas tambahan, perkhemahan, aktiviti sukan yang bersesuaian dengan minat mereka dan pelbagai program kreatif lain yang boleh memberikan pengalaman manis orang muda terhadap masjid.

Kelas agama yang dianjurkan juga perlu mempertimbangkan untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan anak bagi membolehkan ibu muda hadir tanpa kebimbangan.

Peranan ibu dalam masyarakat dapat diperkasakan melalui penyediaan perkhidmatan penjagaan anak ini, yang akan menyokong penglibatan mereka dalam aktiviti masjid.

Kem pelajar yang dianjurkan oleh masjid di sekitar Bandar Baru Bangi dan Kajang adalah contoh sinergi antara suri rumah dan golongan tua.

Masjid bersama-sama masyarakat setempat boleh merancang program-program menarik seperti pertandingan membaca al-Quran, pertunjukan seni atau festival makanan halal untuk menyemarakkan suasana.

Melibatkan golongan muda dalam aktiviti masjid seperti gotong-royong, menghias masjid, menjadi muazin atau menguruskan perpustakaan dapat memberi mereka “rasa kekitaan” atau “rasa termilik” (sense of belonging) terhadap masjid.

Interaksi peribadi dengan jemaah untuk memahami keperluan dan minat mereka juga penting untuk menggalakkan kehadiran berterusan di masjid.

Momentum yang timbul dalam bulan penuh barakah ini menjadi titik tolak terbaik untuk kita bekerjasama sebagai sebuah komuniti dalam memperkukuh hubungan kita dengan Allah SWT dan sesama manusia.

Untuk menjadikan masjid sebagai pusat kehidupan umat Islam, usaha berterusan diperlukan untuk menyantuni semua golongan terutamanya golongan yang terpinggir.

Mari kita bersama-sama memakmurkan masjid dan menjadikannya sebagai tempat yang hidup, dinamik dan menyeluruh, yang tidak hanya memperkukuh spiritual umat Islam, tetapi juga memberi manfaat kepada seluruh masyarakat.

Basmin Maarof

Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat

Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia