Mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar sedang dirangka – PM

KUALA LUMPUR – Mekanisme sesuai bagi pelaksanaan subsidi bersasar sedang dirangka untuk memastikan peruntukan yang disalur kerajaan dinikmati mereka yang benar-benar berhak, kata Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, pelbagai perkara perlu diperincikan berhubung mekanisme berkenaan supaya peruntukan kerajaan untuk membantu rakyat negara ini tidak sewenang-wenangnya dinikmati pihak-pihak yang tidak layak, termasuk rakyat asing.

“Memang kerajaan kerugian besar akibat subsidi tersasar dan tidak bersasar ini kerana semua pihak menikmati subsidi yang sepatutnya dikhususkan untuk mereka yang berhak dapat iaitu golongan miskin,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) berhubung tindakan kerajaan dalam menangani ketirisan subsidi yang turut dinikmati warga asing dan golongan kaya.

Ismail Sabri mengambil maklum bahawa perkara itu telah dikaji beberapa kerajaan sebelum ini, namun belum dapat dilaksanakan sehingga kini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga sedang mengambil tindakan mengekang aktiviti penyeludupan barangan yang disubsidi seperti minyak masak di peringkat industri dan di sempadan negara.

Beliau berkata, pihak berkuasa akan melakukan audit terhadap pengilang dan mendapatkan maklumat terperinci mengenai pembeli mereka.

“Yang paling senang menyeleweng contohnya pembungkus minyak (repackers), mereka diberi kebenaran untuk membungkus satu tan minyak masak contohnya, ke mana minyak masak itu dihantar, jadi kita akan dapatkan maklumat terperinci di kilang-kilang itu, siapa penerima minyak masak berkenaan,” katanya.

Menurutnya, dari segi penyeludupan di sempadan pula, kerajaan telah mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk terlibat mengawasi aktiviti itu, selain pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Kerajaan tidak berdiam diri, Perdana Menteri tidak boleh dikatakan tak melakukan apa-apa tindakan, Insya-Allah kita akan lakukan yang terbaik untuk negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, bagi membantu Keluarga Malaysia menangani kenaikan kos sara hidup, kerajaan memperuntukkan subsidi lebih RM77 bilion berbanding peruntukan asal RM31 bilion bagi 2022.

Beliau berkata, ia termasuk subsidi minyak masak berjumlah RM4 bilion, gandum (RM40 juta), gas petroleum cecair (RM2.6 bilion), diesel (RM7.5 bilion) dan RON95 (RM27 bilion).

“Tidak ada subsidi yang ditarik balik, kalau ada kempen-kempen yang mengatakan sila kembalikan subsidi, itu tidak betul kerana subsidi tidak pernah ditarik balik sejak daripada mula kita laksanakan,” katanya.

Menurutnya subsidi yang diberikan kerajaan menyebabkan kadar inflasi negara berada pada 2.8 peratus, terendah di Asia Tenggara.

Perdana Menteri berkata, selain pemberian subsidi, kerajaan turut menambah bantuan kewangan tunai melalui Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), dengan golongan B40 menerima maksimum RM2,600 setahun.

“Insya-Allah kita tengok keadaan, kalau perlu naik, kita naikkan, kalau harga barang sudah stabil kita tidak naikkan,” katanya.

Sumber: Bernama

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia