‘Me Time’ Yang Sesungguhnya Untuk Wanita

'Me Time' Yang Sesungguhnya Untuk Wanita | IKRAM

Tidak dinafikan bahawa wanita merupakan makhluk yang diciptakan Allah mempunyai sifat yang istimewa berbanding daripada lelaki.

Sehinggakan dalam kitab Allah iaitu al-Quran termuat satu surah bernama an-Nisaa’ (wanita). Malah Rasulullah SAW pun berwasiat berkenaan wanita dalam khutbah terakhirnya di gunung Arafah:

“Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.”

“Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka, kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia…”

Wanita itu ibarat kaca. Mudah pecah jika diperlakukan dengan kasar. Maka tiada kaedah lain dalam mendidik mereka kecuali dengan kelemahlembutan.

Walau sekeras mana hati seorang wanita, namun apabila dituntun dengan perlahan, penuh cinta dan kasih, insya-Allah mudahlah hatinya cair.

Kalbu seorang wanita adalah lemah lembut. Sebab itu mengapa golongan mereka ini lebih layak menjaga dan mengasuh anak. 

Wanita adalah insan yang cepat terasa dan mudah memahami kehendak anak-anak walaupun anak itu masih bayi. Mereka tahu bila masa si bayi itu lapar, kesejukan, tidak selesa, sakit dan sebagainya.

Sementelahan itu, ramai mengatakan wanita adalah makhluk ajaib. Mengapa?

Kerana mereka mampu mengerjakan beberapa tugas dalam satu masa. Mereka boleh fokus terhadap beberapa kerja walaupun ketika itu mereka sedang menjaga anak-anak. Ajaib bukan?

Kerana itu tidak hairan jikalau Rasulullah pernah mengatakan bahawa pahala lelaki yang pergi berjihad dan beribadah lainnya sama dengan pahala wanita yang sibuk mengurus hal ehwal rumah tangganya.

Disebut dalam Syu’abul Iman hadis riwayat Imam al-Baihaqi rahimahullah, Asma’ binti Yazid r.a. pernah mengadu kepada Rasulullah SAW:

“Kami kaum perempuan terpencil dalam rumah tangga kamu (kaum lelaki), menjadi tempat saluran syahwat kamu dan mengandungkan anak kamu. Dan sesungguhnya kamu kaum lelaki dilebihkan atas kami dengan solat Jumaat dan solat berjamaah, menjenguk orang sakit, menyaksikan jenazah, berulang kali menunaikan haji dan lebih daripada ini semua, adalah jihad di jalan Allah.”

“Dan jika satu orang daripada kamu keluar untuk berhaji atau umrah atau berjaga-jaga di sempadan (ribath), kamilah yang menjaga harta kamu, dan kamilah yang mendidik anak-anak kamu.” 

“Lalu, apa yang boleh kami lakukan agar pahala kami dapat setara dengan kamu, wahai Rasulullah?

Maka Rasulullah saw menoleh seluruh bahagian wajahnya kepada para sahabat kemudian bersabda: 

“Adakah kamu pernah mendengar perkataan wanita yang lebih baik daripada pertanyaan wanita ini tentang urusan agamanya?”

Para sahabat pun menjawab, “Wahai Rasulullah, kami tidak pernah menyangka wanita akan meminta petunjuk sampai sebegitu.”

Maka Nabi SAW menoleh ke arah Asma’ binti Yazid kemudian bersabda:

“Beranjaklah dan katakan kepada perempuan selainmu bahawa siapa sahaja di antara mereka yang melayani suaminya dengan baik dan mencari keredhaannya serta mengikuti persetujuannya, maka pahalanya sama dengan semua yang kamu tanyakan tadi.” (HR Baihaqi, Syu’abul Iman)

Masya-Allah, cukuplah kisah yang ringkas ini dapat menjadi pembakar semangat para wanita dalam mengerjakan tugas-tugas di rumah yang seakan tidak pernah habis. 

Namun demikian, ada masa-masanya seorang isteri itu mengalami keadaan ‘mental burnout’. Apakah itu?

Burnout merupakan suatu keadaan di mana seseorang itu berasa sangat letih dari segi mental. Kepenatan mental ini bahkan lebih teruk daripada kepenatan fizikal.

Letihnya fizikal apabila dibawa tidur, rehat secukupnya, maka kita akan bangun dengan rasa segar dan bersedia untuk melakukan semula aktiviti seperti biasa.

Manakala mental yang terlalu penat, walaupun selepas tidur, ia tidak memberikan apa-apa kesan. Malahan kalau boleh ingin saja tidur sepanjang hari, tidak bersemangat melakukan apa-apa aktiviti, rasa kemalasan yang teruk.

Sehinggakan seorang yang bergelar ibu enggan lagi berdekatan dengan anaknya, tidak mahu ada gangguan tangisan dan rengekan daripada anak-anaknya. 

Terdapat beberapa kaum ibu sekiranya mereka mengalami burnout, mereka akan keluar rumah.

Ada yang pergi berjalan-jalan bersama kawan-kawan, pergi spa atau salun untuk rawat tubuh badan dan penampilan, ada pula yang ‘shopping’ sakan dan seumpamanya. Mereka namakan ia sebagai ‘Me Time’.

Sememangnya tidak salah jika seorang wanita mengisi ‘Me Time’. Kita diciptakan sebagai makhluk yang lemah, adakalanya berasa bosan dengan rutin yang sama setiap hari.

Akan tetapi, adakah ‘Me Time’ itu perlu dengan wang semata-mata? Apa kata kita cuba mengisi ‘Me Time’ untuk memperbaiki hubungan dengan Allah?

Bukankah selama ini kita selalu disibukkan dengan segunung kerja rumah sehingga masa untuk beribadah kadang ala kadar sahaja?

Tidak dinafikan berseronok di luar rumah tanpa gangguan anak mampu membuat kita tenang seketika. Tapi pernahkah kita terfikir semua itu hanyalah sementara? Selepas beberapa hari, pasti kita akan kembali burnout

‘Me Time’ yang sesungguhnya adalah apabila kita bermuhasabah semula bagaimana hubungan kita dengan Allah.

Jika kita diberi masa untuk ‘Me Time’, gunakanlah ia dengan sebaiknya, jangan untuk tujuan dunia sahaja. Sebagai contoh:

1. Pergi ke kuliah agama.

2. Berjalan-jalan dengan kawan-kawan yang memotivasi tentang akhirat. 

3. Sekiranya pergi ke pantai, bawalah al-Quran sekali. Baca dan renungkan terjemahannya ditemani bunyi desiran ombak. Pasti kita rasa lebih khusyuk.

4. Membeli satu atau dua buku motivasi agama. Bacalah ia di suatu tempat yang anda suka sambil menikmati secawan kopi.

5. Jika kita memutuskan untuk travel, penuhi mulut dengan zikrullah sepanjang perjalanan tersebut sambil merenungi ciptaan-ciptaan Allah di luar sana. Pandang langit, hiruplah udara segar yang Allah berikan kepada kita secara percuma itu.

Apa pun ‘Me Time’ kita itu, pastikan ada Allah di dalamnya. Ini supaya kehidupan kita lebih berkat dan sentiasa di bawah rahmat Allah.

Jika sudah begitu, insya-Allah Allah akan mencampakkan ketenangan dalam hati kita setiap kali kita rasa burnout dalam rumah tangga.

Jangan risau, andai kita jaga Allah, maka Allah juga akan menjaga kita, Dia akan mengurniakan kita kesabaran dalam apa jua keadaan.

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia