Masyarakat berintegriti: Cabaran dan saranan

Masyarakat Berintegriti Cabaran Saranan

Manusia tidak mungkin dapat lari daripada melakukan kesalahan. Setiap langkah yang diambil semestinya mempunyai risiko dan akibatnya, sama ada positif atau negatif, besar atau kecil.

Kadang-kadang kita cuai dan hanyut dalam membentuk percaturan hidup. Namun, sentiasa ada ruang untuk menginsafi dan memperbetulkan kesilapan itu.

Integriti merupakan satu isu yang sentiasa menjadi topik perbincangan dalam masyarakat terutama apabila melibatkan kejujuran seseorang.

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, integriti bermaksud kejujuran dan ketulusan, mempertahankan nama baik daripada sebarang penyelewengan. Ia jelas sekali merujuk kepada nilai murni kejujuran yang mesti diamalkan oleh sesiapa jua dalam kehidupan seharian kita.

Mutakhir ini, pelbagai kes yang melibatkan integriti menghiasi laporan-laporan portal dan berita hampir setiap hari.

Ia melibatkan pelbagai golongan masyarakat daripada setinggi-tinggi ahli-ahli politik hingga rakyat marhaen. Ia bukan sahaja berkaitan tentang etika kerja dan profesion seseorang, malah organisasi dan pertubuhan besar secara keseluruhannya.

Ketidakjujuran dan penyelewengan berlaku di mana-mana dan oleh sesiapa sahaja. Ia bukan sahaja tentang apa dan siapa, tetapi kos dan kerugian yang boleh diakibatkan olehnya; wang ringgit, harta benda dan aset.

Selain itu, maruah dan kepercayaan akan hilang sekelip mata. Bagaimana kita mampu untuk mengembalikan semula semua ini jika ia melibatkan kehilangan yang besar?

Rasuah satu penyakit

Rasuah merupakan salah satu amalan tidak berintegriti yang banyak berlaku dalam kalangan masyarakat.

Penjawat awam khususnya yang bekerja dalam sektor berisiko seperti badan beruniform dan golongan berjawatan tinggi yang mempunyai kuasa membuat keputusan, sering menjadi sasaran perasuah yang ingin mendapatkan sesuatu secara salah.

Sebagai penjawat awam, mereka seharusnya berpegang kepada prinsip kejujuran yang merupakan ikrar dan sumpah mereka selepas dipilih menjadi penjawat awam.

Sayangnya, bukan semua orang mampu mengotakan apa yang dijanji. Ada dalam kalangan mereka yang tertewas dengan dorongan nafsu dan ketamakan hingga sanggup menjual maruah diri.

Mereka lupa niat hakiki mereka dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan. Mereka pengkhianat. Pengkhianat seperti ini tidak ubah seperti sel-sel kanser dalam masyarakat. Jika dibiarkan melarat tanpa dirawat, ia akan menjadi barah.

Kedaulatan negara pasti tercemar hingga akhirnya takkan mampu diselamatkan lagi. Ini membahayakan negara! Kredibiliti kerajaan akan dipertikaikan dan diragui dan slogan ‘Negara Bersih Tanpa Rasuah’ hanyalah tinggal kenangan.

Kita selalu mendengar, melihat atau mungkin mengalami sendiri ketidakpuasan hati apabila berurusan dengan penjawat awam di premis-premis kerajaan. Pada era teknologi yang serba canggih ini, sebaran berita dan cerita hanya di hujung jari.

Banyak bukti salah laku penjawat awam boleh ditonton di alam maya dan media sosial yang dimuat naik oleh orang ramai yang biasanya melibatkan kejadian di dalam bangunan kerajaan.

Walaupun kebenaran kisahnya belum diketahui, masyarakat lebih gemar membuat andaian sendiri dan kadang-kadang tanpa pertimbangan rasional hingga menjadi tular dan memalukan penjawat awam yang terlibat.

Sebagai penjawat awam, kita maklum bahawa mereka juga terikat dengan tatacara kerja dan prosedur semasa berurusan dengan orang ramai.

Ada prosedur yang boleh diubah mengikut situasi semasa. Ada juga yang harus dipatuhi sepenuhnya. Ada urusan yang mungkin memerlukan ketelitian dalam penyelesaian.

Justeru, ia mengambil banyak masa. Tahap kecekapan kakitangan juga berbeza-beza. Atas alasan tersebut, ramai yang beranggapan penjawat awam bekerja sambil lewa dan tidak cakna tentang keperluan untuk bekerja dengan lebih cekap dan pantas.

Kegagalan pihak pentadbir sesebuah organisasi untuk mengubah suai jadual bertugas kakitangannya boleh menjadi punca permasalahan ini. Namun, sehingga ke hari ini, kita masih menghadapi isu yang sama tanpa ada perubahan daripada pihak berkenaan.

Bukankah ini juga merupakan salah satu isu integriti, di mana tugas yang seharusnya digalas gagal dilaksanakan sebaik mungkin hingga ada lompang yang menjurus kepada pencemaran reputasi organisasi?

Penjawat awam berintegriti

Penjawat awam selalu menjadi sasaran cemuhan masyarakat apabila sesuatu penyelewengan berkaitan integriti berlaku, sedangkan yang sepatutnya dibenci adalah kedua-dua pihak yang telah memungkinkan ia terjadi.

Masyarakat selalunya menjadi mangsa ketidakadilan apabila sesuatu penyelewengan berlaku dalam kalangan penjawat awam. Ini kerana perkhidmatan awam adalah mengenai menjaga kepentingan orang awam.

Oleh itu, apa sahaja yang menjadi kesalahan dalam perkhidmatan sudah pasti akan menjejaskan kepentingan orang awam, sama ada secara langsung ataupun tidak langsung.

Begitu besar natijahnya kepada masyarakat. Banyak laporan mengenai ratusan projek terbengkalai, tidak selamat akibat bahan-bahan binaan yang tidak berkualiti, kemudahan yang tidak memuaskan, penerimaan yang tidak selari dengan permintaan, dan banyak lagi kes-kes yang telah dan belum dilaporkan.

Ironinya, di sebalik laporan tangkapan yang sering didengar ini, jenayah kolar putih ini masih tidak berkesudahan, malah makin menjadi-jadi. Di manakah silapnya? Tidakkah kita sepatutnya belajar melalui tauladan? Yang buruk jadikan sempadan!

Apakah penguatkuasaan yang hanya dilakukan mengikut musim atau masyarakat sudah kalis dengan hukuman dan percaya mereka tidak akan tertangkap?

Ahli politik korup

Ahli politik merupakan punca kuasa bagi semua penjawat awam di negara kita. Semua polisi berkaitan perkhidmatan awam boleh berubah dan ditambah baik mengikut keputusan kabinet yang diwakili oleh ahli-ahli politik ini.

Namun, ahli politik dan rasuah sepertinya tidak boleh dipisahkan, bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia. Tidak ada istilah politik bersih.

Dalam ramai-ramai ahli politik itu, pasti ada sekelompok yang terlibat dengan rasuah. Mereka ini umpama nila setitik yang akan mengotorkan susu dalam belanga.

Mungkin sebab inilah sukar untuk kita menjadikan ahli politik sebagai idola atau sanjungan. Ironinya, mereka juga hanya rakyat biasa yang bertugas seperti penjawat awam lain.

Cuma tugas dan peranan yang digalas mereka adalah lebih besar dan memerlukan komitmen sepanjang masa untuk berkhidmat dengan rakyat. Hanya mereka yang berjiwa besar mampu menunaikan amanah ini dengan sebaiknya.

Meskipun sudah didakwa, namun tempoh perbicaraan memakan masa bertahun-tahun dan sepanjang tempoh tersebut, orang yang didakwa masih bebas ke sana ke mari meneruskan kehidupannya seperti biasa.

Sebaliknya, nasib rakyat yang telah menunggu bertahun-tahun tidak nampak penghujungnya. Tiada siapa yang membela nasib mereka. Rumah tidak siap, hospital tinggal rangka dan tiang, sekolah daif tidak dapat dibaiki dan akhirnya ‘hanyut dibawa ombak’.

Masyarakat berintegriti

Pada hari ini, netizen di seluruh dunia sedang memerhatikan kita. Mereka juga merupakan penilai tidak bertauliah yang sentiasa memberikan komen-komen dan pendapat mereka berkaitan prestasi kerja kita.

Mungkin pandangan mereka itu mampu mempengaruhi penilai utama kita. Dunia sedang berubah. Kita perlu bersedia untuk menghadapi apa jua cabaran yang mendatang dengan penuh berhemah dan bijaksana.

Sebagai anggota masyarakat, kritiklah dengan wajar dan saksama. Selidik fakta dan kesahihan berita sebelum melontarkan pandangan anda. Kata-kata anda boleh menjadi bukti benar atau palsu pada kemudian hari.

Jangan kerana mulut badan binasa. Sesi saman-menyaman merupakan perkara biasa pada hari ini. Silap langkah, wang melayang, maruah tersiang.

 

Maritza Marsya Sahat Abdullah
Guru

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia