Putaran bumi mengelilingi matahari silih berganti menatijahkan detik dan waktu yang berlalu.
Masa yang lampau akan tetap dikenang sebagai sejarah, masa kini peluang menyusun gerak dan langkah manakala masa hadapan pula sentiasa menjadi hasrat dan arah.
Begitulah sistem masa yang telah banyak mencatur urusan kita hari demi hari sehingga bumi akan menuju kehancuran dan lebur.
Tatkala masa dan detiknya terus istiqamah berterusan berjalan mengikut aturan, manusia pula ada yang alpa dan leka, masih pada cita-cita dan angan yang tidak sudah.
Ada juga yang bersungguh-sungguh mengutip kebajikan, tanpa mengira lelah penatnya untuk dibawa pulang ke negeri kekal abadi.
Keseluruhan hidup ini tentunya untuk beribadah kepada Allah. Bagi mereka yang benar-benar beriman, tidak ada sedikit pun ruang untuk diisi dengan perkara yang tidak bermanfaat.
Sememangnya itulah juga yang harus kita perjuangkan agar tidak dinodai oleh sisi gelap dunia yang penuh pancaroba ini. Allah SWT berfirman dalam Surah az-Zariyat ayat 56 yang bermaksud:
“Aku tidak mencipta jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku”
Pun begitu, hidup ini adalah perjuangan yang tidak berkesudahan episod. Selagi nyawa masih dikandung badan, selagi itulah usaha dan perjuangan menjadi orang yang baik harus diteruskan.
Hakikatnya, tiada siapa pun dalam kalangan kita yang dapat memastikan masa hadapannya berjalan sejajar dengan apa yang dirancangnya. Oleh yang demikian, keimanan kepada Allah telah mengajar kita erti tawakal kepada-Nya.
Ungkapan tawakal menurut Ibnu al-Athir dalam kitab al-Nihayah fi Gharib al-Hadith membawa maksud menyerahkan urusan kepada pihak lain atau menggantungkannya
Ibnu Rajab al-Hanbali pula dalam kitab Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam menyatakan bahawa hakikat tawakal adalah benarnya penyandaran hati kepada Allah SWT dalam meraih kebaikan dan menolak keburukan berkaitan urusan dunia dan akhirat, menyerahkan semua urusan kepada Allah serta pengukuhan iman bahawa tidak ada yang memberi, menghalang, memudaratkan dan memberi manfaat kecuali Allah SWT. Demikian ulasan para ilmuwan dalam memahami konteks dan maksud sebenar tentang tawakal.
Masa hadapan antara yang sering dibicarakan oleh umat dunia. Masing-masing sebahagiannya ada yang sibuk dengan berteori itu dan ini demi menjangkakan masa hadapan kelak.
Ada pula yang tidak peduli dan tidak mengendahkan masa hadapan. Tidak kurang pula ada yang langsung tidak pernah percaya akan masa hadapan dek putus asa dalam hidup.
Sesungguhnya Islam sangat menuntut para umatnya untuk sentiasa mempedulikan apa yang akan berlaku pada masa hadapan.
Hal seumpama ini boleh kita lihat pada sikap para sahabat baginda Nabi SAW yang sering bertanya akan keadaan masa hadapan.
Meskipun generasi para sahabat Nabi tidak sempat untuk menghadapi keadaan itu, namun baginda Nabi tetap melayani soalan para sahabat tentangnya.
Antara bukti jelas para sahabat Nabi SAW peduli akan masa hadapan dapat kita lihat dalam sebuah hadis riwayat Abu Dawud (4297, Sahih), daripada Thawban r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Umat-umat lain akan mengelilingi kamu (iaitu musuh-musuh Islam akan menyerbu untuk membinasakan kamu) sepertimana mereka yang pelahap mengelilingi hidangan yang lazat.” Maka seseorang bertanya, adakah jumlah kita pada masa itu sedikit? Jawab Rasulullah SAW: “Tidak, bahkan jumlah kamu ramai, tetapi kamu seperti buih air bah yang banyak. Dan sesungguhnya Allah mencabut kehebatan kamu yang ada dalam hati musuh-musuh kamu dan Allah mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit al-wahan. Lalu seseorang bertanya, apakah al-wahan itu, wahai Rasulullah? Jawab Rasulullah: “Terlalu kasihkan dunia dan takutkan mati.”
Sebagai contoh lagi, dalam sebuah hadis riwayat Muslim (809), daripada Abu Darda’ r.a, bahawa baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang menghafaz 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi akan terselamat daripada (fitnah) dajal.”
Hadis ini memperingatkan umat akhir zaman tentang pendinding atau cara untuk mengelak daripada terkena fitnah dajal. Meskipun para sahabat tidak akan bertemu dengan dajal, namun mereka tetap beramal dengan apa yang diajar oleh baginda Nabi SAW.
Inilah sikap atau pendirian yang perlu diamalkan oleh umat Islam iaitu sentiasa mempeduli akan masa hadapan.
Pun begitu, walau Islam menuntut umatnya untuk mempedulikan masa hadapan dengan cara mengambil tahu menerusi wahyu-Nya, bukan bermakna selepas itu kita harus berserah diri dengan tidak melakukan sebarang usaha.
Mengetahui masa hadapan melalui wahyu-Nya al-Quran dan as-Sunnah akan menjadikan kita lebih sibuk melakukan persediaan.
Islam tidak menyuruh kita sekadar tahu dan hanya menunggu detik dan saatnya. Meskipun dalam hadis dijelaskan tentang munculnya dajal yang akan membawa fitnah ke seluruh dunia, Islam tidak menyuruh kita sekadar berpeluk tubuh dan berserah diri.
Sesungguhnya baik buruknya sesuatu masa hadapan itu sebahagiannya terletak dan tergantung kepada tindakan kita pada hari ini. Lakaran yang kita hasilkan pada hari ini tentunya akan mencerminkan nasib baik buruk kita kelak.
Hal ini bermakna, jika kita berusaha melakukan kebaikan walau sekecil-kecilnya, usaha itu tetap akan diperhitungkan oleh Allah dan begitu jugalah sebaliknya. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah az-Zalzalah ayat 7-8 yang bermaksud:
“Maka sesiapa yang berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa yang berbuat kejahatan sebesar zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).”
Kadangkala sebahagian masyarakat dilihat terlalu gelabah, resah, runsing dan takut yang melampau apabila mempelajari peristiwa-peristiwa yang akan berlaku pada masa hadapan.
Sedangkan mempelajari hal tersebut tidak akan menjadikan kita dibayangi perasaan “terlalu” gelabah, resah atau takut keterlaluan.
Sebaliknya ia akan menambah kekuatan iman, mengukuhkan prinsip tauhid dalam diri serta akan mendorong diri kita untuk sibuk beramal soleh dengan berlumba-lumba melakukan kebaikan dan bersegera memohon keampunan Tuhan.
Malang sekali apabila terdapat segelintir pak ustaz menghidangkan pengisian di meja-meja kuliah dan ceramah cerita-cerita “gerun” akhir zaman yang akhirnya kita tidak lagi melihat kebergantungan kita kepada Allah dengan berusaha menjadi insan yang lebih baik.
Ketahuilah bahawa masa hadapan adalah rahsia mutlak Allah SWT. Tiada siapa yang dapat mengetahuinya. Pun begitu, melalui wahyu-Nya, kita dapat mengetahuinya.
Paling tidak dengan pengetahuan tersebut, ia sedikit sebanyak akan menjadi pedoman dan panduan hidup umat manusia sebagai persediaan menghadapinya.
Bersikap tawakal dan berserah diri tanpa berusaha melakukan apa-apa adalah sesuatu yang sia-sia dan membazir masa sahaja.
Berusahalah dengan bersegera bertaubat, berlumba-lumba melakukan kebaikan, memohon keampunan dan perlindungan-Nya, nescaya tidak ada yang akan rugi.
Pada masa sama, oleh kerana masa hadapan adalah rahsia Allah, janganlah pula ada yang bersikap seperti ahli syurga, menerakakan orang lain.
Begitu pula sebaliknya, bagi mereka yang telah melampaui batas, tiada penamat untuk bertaubat selagi nyawa masih pada hayat. Semoga Allah mengampuni kita semua.
Muhammad Faidhi Azis
Aktivis Rakan Hidayah Perlis