Alhamdulillah, kita antara jutaan manusia yang terpilih dengan diberikan kesempatan masa, umur dan kesihatan yang baik untuk bertemu lagi bulan Ramadan tahun ini. Kita lihat berapa ramai umat manusia yang telah dijemput menghadap Ilahi sebelum sempat menikmati bulan Ramadan.
Allah SWT telah menyediakan kita selama 30 hari untuk kita manfaatkan dengan sebaiknya. Bulan Ramadan, dalamnya penuh keberkatan, ampunan dan kebaikan yang sebanyaknya. Inilah bulan yang semua pintu syurga dibuka seluas-luasnya, semua pintu neraka ditutup serapa-rapatnya dan syaitan dibelenggu.
Daripada Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW:
إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ
“Apabila menjelmanya Ramadan, nescaya dibuka pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.” (Hadis Riwayat Bukhari, No. 3035)
Maka, sekali lagi kita tanyakan pada diri kita sendiri, setelah beberapa hari Ramadan berlalu ini apakah kita telah manfaatkannya dengan baik? Sudah berapa muka surat al-Quran yang kita baca dan tadabbur? Sudah berapa hari kita istiqamah solat fardu secara berjemaah di masjid atau surau? Sudah berapa banyak wang ringgit yang kita sedekahkan?
Atau adakah hari-hari kita penuh dengan masa untuk tidur seharian? Atau bermain PUBG dan Mobile Legend? Atau menikmati video-video yang tidak bermanfaat di Tiktok, Facebook atau YouTube?
Maka, sama-samalah kita bermuhasabah diri setelah beberapa hari Ramadan berlalu.
Golongan celaka
Walaupun Allah SWT telah menyediakan begitu banyak ganjaran pahala dan keampunan kepada hamba-Nya pada bulan Ramadan, namun Rasulullah SAW telah memberi amaran yang keras bahawa pada bulan ini akan wujud golongan yang rugi serta celaka.
Maka, kita bertanya kepada diri kita, siapakah mereka yang rugi dan celaka pada bulan Ramadan itu? Oleh itu, mari kita sama-sama menghayati satu hadis tentang kisah Rasulullah SAW mengaminkan doa malaikat Jibril AS.
Jabir bin Abdullah berkata Nabi SAW menaiki mimbar, ketika baginda menaiki anak tangga yang pertama, baginda menyebut “Amin”, kemudian apabila menaiki anak tangga yang kedua, baginda menyebut “Amin”, kemudian apabila menaiki anak tangga ketiga, baginda menyebut “Amin”. Para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah. Kami mendengar engkau menyebut amin sebanyak tiga kali. Baginda menjawab: “Ketika aku menaiki anak tangga yang pertama, Jibril datang kepadaku dan berkata: Celaka sungguh seorang manusia yang bertemu dengan Ramadan, tetapi keluar daripadanya tanpa diampuni dosanya.” Lalu aku pun menyebut amin. Kemudian Jibril berkata: Celakalah manusia yang ibu bapanya masih hidup atau salah seorang daripada mereka masih hidup, tetapi hal itu tidak memasukkannya ke dalam syurga. Aku pun menyebut amin. Kemudian Jibril berkata: “Celakalah manusia yang engkau (iaitu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam) disebut di sisinya, tetapi dia tidak berselawat ke atas engkau.” Aku pun menyebut Amin.” (Hadis Riwayat Bukhari, al-Adab al-Mufrad, No. 644)
Kenapa menjadi celaka?
Daripada hadis yang panjang tadi mari kita fokuskan kepada bahagian doa yang pertama berkenaan Ramadan berbunyi, “Celaka sungguh seorang manusia yang bertemu dengan Ramadan, tetapi keluar daripadanya tanpa diampuni dosanya.”
Tentu para pembaca tertanya-tanya kenapakah manusia ini menjadi celaka pada bulan ini.
Jika kita amati, Allah telah menjadikan bulan Ramadan ini keseluruhannya adalah bulan keampunan. Bahkan ibadah-ibadah harian yang kita wajib lakukan seperti solat, puasa termasuklah ibadah sunat, semuanya adalah berbentuk keampunan. Bahkan kaki yang melangkah ke masjid akan membawa keampunan Allah.
Solat fardu yang dikerjakan pada bulan Ramadan serta berpuasa kerana Allah SWT sudah cukup sebagai jalan mencari keampunan Allah.
Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan keimanan dan pengharapan, diampuni dosa-dosanya yang lalu.” (Hadis Riwayat Bukhari, No. 37)
Manusia yang berpuasa pada bulan Ramadan akan mendapat keampunan Allah!
Manusia yang mendirikan solat tarawih akan mendapat keampunan Allah!
Manusia yang beribadah pada malam al-Qadar akan diampuni Allah!
Manusia yang membantu dan menguruskan urusan orang lain juga akan mendapat keampunan Allah. Malah, berwuduk sahaja sudah menghapuskan dosa!
Puasa yang sia-sia
Maka, Ramadan menyediakan terlalu banyak ruang untuk pengampunan dan rahmat oleh Allah SWT. Namun, masih ada juga manusia yang menjadi celaka pada bulan Ramadan.
Tidak lain tidak bukan, ini kerana mungkin:
1. Dia tidak berpuasa langsung, atau
2. Dia berpuasa tapi puasanya tidak diterima langsung oleh Allah SWT. Ini kerana apa? Ini kerana dia berpuasa tetapi tidak solat. Dia berpuasa tapi masih sibuk mengata dan mengumpat orang lain. Dia berpuasa tetapi masih melihat perkara yang haram. Dia berpuasa tetapi masih mencaci dan berkelahi. Naudzubillahi min dzalik.
Sekali lagi Nabi SAW mengingatkan kita kepada sepotong hadis.
Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah saw bersabda: “Boleh jadi ada orang yang berpuasa, dia tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan kelaparan. Boleh jadi ada orang yang bangun melakukan qiamullail, tetapi dia tidak mendapat apa-apa daripada qiamullailnya melainkan berjaga malam.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah, No. 1690, Status: Hasan Sahih)
Begitu juga satu lagi hadis yang diingatkan oleh Nabi SAW yang berbunyi:
Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang tidak meninggalkan ucapan dusta, keji dan masih beramal dengan pembohongan itu, maka Allah tidak berhajat ke atas puasanya (perbuatannya yang meninggalkan makan dan minumnya).” (Hadis Riwayat Bukhari, No. 1903)
Maka tanyakan sekali lagi kepada diri sendiri, kitakah manusia yang celaka itu?
Khyrul Hycal Hadi
Aktivis IKRAM Muda Sabah