SERI KEMBANGAN – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mengalu-alukan keputusan pemansuhan hukuman mati mandatori bagi 11 kesalahan.
“Keputusan berkenaan sejajar usaha advokasi Suruhanjaya serta Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan kerangka komprehensif untuk melindungi kebebasan asasi semua rakyat Malaysia,” ujar Pengerusi SUHAKAM, Prof. Datuk Dr Rahmat Mohamad.
Dalam kenyataannya hari ini, SUHAKAM turut menyatakan penghargaan dengan penglibatan Pesuruhjaya dan mantan Pesuruhjaya sebagai ahli Jawatankuasa Khas untuk mengkaji hukuman alternatif kepada hukuman mati mandatori dalam memberikan input kepada Rang Undang-Undang tersebut.
“Kesemua ahli Jawatankuasa ini juga menjalankan pelbagai usaha ke arah penggubalan undang-undang berkenaan.”
Menurutnya, penghapusan hukuman mati mandatori merupakan suatu langkah positif ke arah ratifikasi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Penyeksaan dan Layanan atau Hukuman Lain yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan, atau Menjatuhkan Maruah (UNCAT).
Terdahulu pada Isnin, Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.
RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh dan dibahas 10 Ahli Parlimen.