Manifestasi kibar bendera putih

Keadaan semasa pandemik Covid-19 benar-benar membuatkan ramai rakyat Malaysia terhimpit dan tertekan dalam mencari rezeki untuk dihidangkan kepada ahli keluarga. Pelbagai sektor terkesan dan terpaksa gulung tikar yang menjadikan peluang pekerjaan semakin sukar.

 

Ini telah menjadikan rakyat yang tidak mampu untuk bertahan lagi terpaksa menamatkan riwayat dengan membunuh diri.

 

Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 1708 kes bunuh dilaporkan bagi tempoh 2019 hingga mei 2021 yang menjadikan secara purata sebanyak dua kes bunuh diri berlaku setiap hari. 

 

Sudah tentu rakyat yang menamatkan riwayat ini disebabkan oleh beberapa punca seperti tekanan perasaan yang berpunca daripada masalah dalaman keluarga, kewangan, kesihatan serta kelaparan yang menghimpit. 

 

Kita sangat berdukacita atas jalan yang mereka pilih dalam menghadapi ujian hidup namun kita juga tidak layak untuk menghakimi mereka kerana kita tidak tahu apa yang menyebabkan mereka memilih jalan tersebut. Serahkan sahaja pada Tuhan untuk menghakiminya.

 

Kibar bendera putih suatu alternatif?

 

Rakyat Malaysia seakan hilang punca dengan pentadbiran kerajaan yang dilihat seolah-olah tidak menyedari apa yang berlaku pada rakyat bawahan. 

 

Kekecewaan ini ditambah pula dengan dasar yang berubah-ubah, flip-flop selain sikap ‘double-standard’ dalam melaksanakan penguatkuasaan SOP antara rakyat bawahan dengan golongan kayangan seperti para menteri dan selebriti.

 

Maka, pelbagai gerakan bagi membantu rakyat yang terkesan yang digerakkan sendiri oleh rakyat. Tanda pagar (hashtag) seperti #KitaJagaKita dan #RakyatJagaRakyat digerakkan dengan giat bahawa hanya rakyat yang prihatin dan faham akan masalah yang dihadapi rakyat kini.

 

Yang terbaru, kempen mengibarkan bendera putih digerakkan oleh rakyat sebagai simbolik bagi meminta bantuan. Ini usaha yang patut dipuji tatkala tiada lain yang boleh diharapkan selain jiran-jiran tetangga serta komuniti setempat bagi memohon bantuan.

 

Langkah mengibarkan bendera putih ini dilihat sebagai jalan terakhir daripada sesebuah keluarga ketika mana mereka sudah tiada tempat untuk memohon bantuan serta sebagai mengelakkan mereka berputus asa dengan membunuh diri.

 

Alternatif mengibarkan bendera putih sebagai usaha memberi peringatan lampu merah kepada komuniti bahawa sesebuah keluarga itu sudah terputus bekalan dan ianya langkah terakhir untuk memohon bantuan sebelum perkara-perkara yang tidak diingini berlaku seperti membunuh diri.

 

Tanda menyerah diri dan putus asa?

 

Malangnya, usaha yang digerakkan rakyat ini benar-benar telah disalah erti oleh segolongan pihak. Malah, yang memualkan tidak kurang juga ada ahli politik yang cuba meraih nama dengan kempen ini baik samada dia di pihak kerajaan mahupun pembangkang. 

 

Pertembungan dua pihak pembangkang dan kerajaan dalam mengaut keuntungan daripada gerakan kibarkan bendera putih ini benar-benar membuatkan kita berasa hairan.

 

Mereka bertelagah sesama mereka merebut jawatan dan kuasa sehingga keadaan negara ini kacau-bilau hinggakan rakyat mengais-ngais tong sampah mencari makanan, tapi mereka sewenang-wenangnya menyelitkan diri mereka dengan gerakan rakyat ini. 

 

Tidak kurang juga ada yang kononnya ahli agama mengaitkan mengibarkan bendera putih ini sebagai putus asa dan menyerah kalah. 

 

Memang benar! 

 

Rakyat mengibarkan bendera putih sebab sudah putus asa dengan kepimpinan negara ini.

 

Rakyat mengibarkan bendera putih bukan sebab putus asa dengan hidup tapi rakyat berputus asa dengan keserakahan dan kegilaan para pemimpin yang mementingkan diri sendiri. Agaknya mereka lupa bahawa mereka telah tua dan tidak selamanya berada di puncak. 

 

Mengibarkan bendera putih untuk meminta bantuan orang sekeliling lebih baik daripada mereka mencuri serta merompak. Tidak aib untuk meminta bantuan jiran-jiran lantaran terputus sumber pendapatan daripada mereka membunuh diri kerana buntu mencari sesuap nasi untuk ahli keluarga. 

 

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam Irsyad Al-Fatwa Siri ke-588 yang diterbitkan pada 1 Julai 2021 menyatakan bahawa:

 

“Meminta bantuan sama ada dalam bentuk kewangan, makanan dan sebagainya adalah dibenarkan bagi orang yang betul-betul dalam kesempitan. 

 

Manakala hukum menggunakan bendera putih sebagai cara untuk meminta bantuan ketika kesusahan bergantung kepada perspektif kita melihat perkara tersebut. 

 

Jika perbuatan itu atas dasar membantu mereka yang memerlukan dengan cara memudahkan pihak yang ingin memberi bantuan dan mengenal pasti pihak yang dalam kesusahan, maka boleh dilaksanakan.”

 

Apabila kelaparan, fikiran menjadi singkat, serabut dan emosi tidak menentu yang menyebabkan ramai mencari jalan mudah dengan menamatkan riwayat. 

 

Ramai mengatakan kenapa tidak memohon bantuan kepada pusat zakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat atau berhubung dengan wakil-wakil rakyat di tempat masing-masing? Kita sedia maklum selama 63 tahun Malaysia merdeka, karenah birokrasi adalah penyakit yang menyusahkan rakyat.

 

Tidak senang untuk memohon dengan perangai birokrasi yang menyesakkan nafas tatkala perut tengah kelaparan.

 

Ini memakan masa yang lama untuk memproses borang permohonan, beberapa tempoh masa pula untuk meluluskannya kemudian menunggu beberapa ketika pula untuk bantuan masuk secara berperingkat. Mungkin sempat sebuah keluarga mati berbuih sebelum bantuan sampai!

 

Manifestasi bendera putih

 

Ini soal darurat ekonomi, soal perut dan kelangsungan hidup yang perlu diteruskan. Tidak semua daripada kita dikurniakan sanak saudara yang kaya raya atau baik hati yang sudi untuk meminjamkan kita RM1 juta bagi menampung hidup menghadapi wabak pandemik ini.

 

Kempen mengibarkan bendera putih ada manifestasi daripada kegagalan pentadbiran dan pengurusan polisi yang sangat teruk dalam menghadapi wabak pandemik Covid-19. Ini sahaja caranya segala anggota komuniti setempat memainkan peranan untuk sentiasa cakna akan keadaan orang di sekeliling.

 

Kita tidak nafikan perlunya menadah tangan memohon doa untuk meminta bantuan kepada Sang Pencipta, ia hablumminallah (hubungan dengan Allah).

 

Namun, memohon doa sahaja di dalam rumah tanpa ada usaha untuk keluar mencari rezeki, tidak akan turunnya hidangan dari langit secara automatik. Tetapi, sekiranya sudah berusaha namun tiada rezeki, maka di sinilah anggota masyarakat berperanan untuk membantu.

 

Wahai rakyat, tiada aib bagimu untuk mengibarkan bendera putih untuk memohon pertolongan. Tiada istilah putus asa dengan hidup andai dirimu sudah berusaha namun keadaan semasa yang menghimpit dan memaksa untuk memohon bantuan.

 

Namun begitu, kita juga mengecam mereka yang mengambil kesempatan dengan sengaja mengibarkan bendera putih walhal keperluan makanan mereka telah berlonggok di rumah. Kita juga mengecam para ahli politik yang menjijikkan yang menganggap kempen ini sebagai agenda untuk menjatuhkan kumpulan atau parti mereka.

 

Hanya disebabkan warna bendera ini berwarna putih, maka mentaliti fikiran anda sebagai ia suatu agenda jahat untuk menjatuhkan parti anda. Itu adalah mentaliti dangkal dan sampah apabila kesesakan yang menghimpit rakyat tapi anda masih lagi boleh memikirkan perkara seumpama itu dan mengaitkan dengan kepentingan politik anda. 

 

Biarkan kempen ini bergerak bebas dalam kalangan rakyat sahaja tanpa campur tangan ahli politik serakah yang oportunis, si agamawan jumud serta politik kepartian jijik. Biarkan rakyat menjalankan dan mengurusnya sendiri tanpa mempolitikkan kempen bendera putih ini. 

 

Gerakan kibarkan bendera putih ini adalah gerakan rakyat. Ia tiada agenda, tiada konspirasi. Ia hanya gerakan rakyat marhaen bertujuan untuk kelangsungan meneruskan hidup sekeluarga tatkala berada di bawah pemerintahan yang keliru, pentingkan diri dan serakah.

 

Hanya pada Allah SWT sahaja kita berserah diri dan memohon pertolongan daripada para pemimpin zalim dan tamak haloba.

 

Daripada Aisyah RA, beliau berkata bahawa Nabi SAW bersabda:

 

أللهم من ولي من أمر أمتي شيئًا فشق عليهم فاشقق علبه ومن ولي من أمر أمتي شيئا فرفق بهم فارفق بهم

 

“Ya Allah, siapa yang mengurus satu perkara umatku, lalu ia menyulitkan umat, maka persulitkanlah ia. Dan siapa yang mengurus perkara umatku, lalu ia memudahkannya, maka permudahkanlah ia.” (HR Muslim)

 

Seterusnya, daripada Ma’qal bin Yasar RA, beliau berkata:

Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Setiap hamba yang Allah (takdirkan) melayani masyarakatnya, (lalu) mati pada suatu hari dan ia zalim (selama memimpin) kepada rakyatnya, maka Allah haramkan baginya syurga.” (Muttafaqun alaihi)

Khyrul Hycal Hadi
Aktivis IKRAM Muda Sabah
Institut Penyelidikan Produk Halal, UPM

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia