Mampukah Pita Jadi Perdana Menteri Thailand?

Mampukah Pita Jadi Perdana Menteri Thailand? | IKRAM

Keputusan pilihan raya umum (PRU) Thailand pada 14 Mei lalu telah menggemparkan negaranya apabila menyaksikan keputusan majoriti rakyat yang telah memilih parti pembangkang prodemokrasi bagi memimpin masa depan Thailand. 

Tertampak jelas bahawa rakyat mahukan perubahan dan mahu beralih daripada pemerintah junta.

Kemenangan ini dianggap sebagai satu harapan yang mampu melonjakkan Thailand ke arah laluan politik baharu setelah dipimpin oleh pihak tentera hampir satu dekad. 

Pada tahun 2014, pihak tentera telah melakukan rampasan kuasa daripada Yingluck Shinawatra berikutan krisis politik.

Dalam PRU baru-baru ini, Move Forward Party (MFP) yang dipimpin Pita Limjaroenrat telah memenangi kerusi terbanyak iaitu sebanyak 152 kerusi.

Kempen pilihan raya parti ini telah membawa mesej yang kontroversi apabila berani bersuara lantang terhadap pemerintahan tentera dan menyeru perubahan terhadap undang-undang lese-majeste, iaitu undang-undang yang melindungi institusi diraja daripada penghinaan.

Kemenangan Belum Tamat

Namun, kemenangan ini belum tamat. Pilihan raya Thailand mengamalkan sistem undian dua kali.

Selepas undian rakyat, parlimen yang terdiri daripada 250 anggota senator yang dilantik sepenuhnya oleh tentera akan mengambil undi seterusnya menentukan pencalonan perdana menteri. 

Berdasarkan rekod pilihan raya tahun 2019, kumpulan senator ini ada kecenderungan untuk berpihak kepada pihak tentera apabila kesemuanya kecuali seorang  iaitu speaker Dewan Negara memberi sokongan kepada Prayut Chan-o-cha sebagai perdana menteri yang ketika itu merupakan jeneral tentera. 

Setakat 24 Mei lepas, Pita mengatakan sudah ada persetujuan membentuk gabungan bersama lapan parti lain iaitu Phei Thai (141), prachachat (9), Thai Sang Thai (6), Pue Thai Rumphlang (2), Thai Liberal Party, Fair Party dan Plung Sungkom Mai, masing-masing memenang satu kerusi.

Ini menjadikan jumlah kerusi daripada gabungan ini adalah 313 daripada 500 kerusi dalam Dewan Perwakilan Rakyat dengan menampilkan Pita Limjaroenrat sebagai calon perdana menteri. Namun jumlah ini belum dapat menentukan kemenangan mutlaknya. 

Perikatan ini memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 376 undi daripada 750 anggota Dewan Rakyat (termasuk 250 kerusi yang dilantik junta) sebelum dapat melantik perdana menteri dan membentuk kerajaan, sekali gus menggambarkan keputusan terakhir berada di tangan tentera dan bukannya rakyat. 

Politik Thailand

Sejarah politik Thailand sejak 1932 telah menyaksikan tentera Thailand melancarkan 22 rampasan kuasa dengan catatan 13 kali kejayaan.

Dunia dan terutamanya negara serantau seperti Vietnam, Laos, Kemboja dan Myanmar kini sedang menumpukan  tindakan yang bakal diambil oleh pihak tentera terhadap kemenangan besar parti pembangkang. 

Myanmar masih diperintah oleh pihak junta walaupun menerima tekanan antarabangsa untuk mengadakan pilihan raya yang telus dan menamatkan krisis di negara itu.

Manakala Vietnam dan Laos dipimpin oleh parti komunis yang memiliki kuasa mutlak serta disokong oleh pihak tentera masing-masing. 

Sebilangan pengalisis membayangkan MFP bakal mengubah landskap politik Thailand kerana berani menggoyahkan sistem konservatif negara itu. Persoalannya, adakah MFP di bawah pimpinan Pita dibenarkan untuk melakukannya?

Ketika beliau ditanya pada hari Isnin lalu berkenaan kemungkinan akan ada muslihat dalam keputusan pilihan raya, Pita menjawab, “ Saya tidak bimbang tetapi saya tidak cuai.”

“Berdasarkan kesepakatan yang disuarakan melalui keputusan pilihan raya, ia akan menjadi suatu yang mahal untuk dibayar bagi seseorang yang berfikir untuk memansuhkan keputusan pilihan raya. Rakyat Thailand tidak akan membenarkan perkara itu berlaku.”

Para penyokong terutamanya dalam kalangan orang muda melihat Pita, 42, sebagai calon berwibawa yang mewakili suara perubahan rakyat ke arah masa depan Thailand yang baru dan lebih segar.

MFP telah mencapai kemenangan yang mengejutkan ramai pihak setelah begitu lama negara itu diperintah oleh tentera.

Tentang Move Forward Party

Pita telah memulakan kerjaya politiknya apabila dipilih menanggotai parlimen pada 2019 sebagai ahli Future Forward Party.

Parti ini diasaskan oleh Thanathorn Juangroongruangkit, seorang jutawan dan pengkritik tegar tentang. Pilihan raya 2019 telah digegarkan oleh Future Forward Party apabila mereka beroleh kerusi yang memberangsangkan melalui laungan ‘Menuntut Perubahan’.

Future Forward telah dipaksa untuk dibubarkan pada tahun 2020 berikutan pertuduhan yang menjadi pertikaian sehingga Thanathorn dihilangkan kelayakan sebagai Ahli Parlimen. Parti Move Forward ditubuhkan sebagai ganti dan Pita dinaikkan sebagai ketua baharu. 

Berikutan pembubaran ini, ribuan rakyat turun ke jalanan menuntut pindaan terhadap perlembagaan melakukan pilihan raya baru dan menghentikan tindakan terhadap aktivis hak asasi manusia serta pengkritik negara.

Atas semangat inginkan perubahan yang meluap-luap dan pelbagai isu rakyat mendorong Move Forward bertanding dalam pilihan raya kali ini dengan penampilan  beberapa calon daripada pemimpin protes dalam himpunan rakyat 2020.

Siapa Pita?

Pita pernah digelar ‘bintang bersinar’ atas ucapannya yang kritis sebagai ahli parlimen pembangkang. 

Beliau mahu menulis semula perlembagaan dan berjanji untuk membawa Thailand keluar daripada apa yang disebutnya sebagai “dekad yang hilang’ di bawah pemerintahan rejim tentera.

Pita dilahirkan dalam keluarga berpendapatan mewah dan aktif dalam politik. Bapanya pernah menjadi penasihat di kementerian pertanian dan bapa saudaranya adalah pembantu bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra yang digulingkan.

Beliau dihantar untuk bersekolah di New Zealand dan di situ minatnya dalam politik berputik. 

“Saya dihantar ke New Zealand dan terdapat tiga saluran (TV) ketika itu. Sama ada anda menonton drama bersiri Australia atau anda menonton perbahasan di parlimen,” katanya kepada program YouTube Thai Aim Hour awal tahun ini pada Februari lalu. 

Pita adalah lulusan sarjana muda dalam kewangan di Thammasat University, Bangkok. Beliau juga telah beroleh sarjana dalam dasar awam di Harvard University dan mempunyai MBA dari Institut Teknologi Massachusetts.

‘Kingmaker’ dalam situasi di Thailand kini berada di tangan 250 senator yang dikatakan protentera. Pita hanya perlu memujuk 63 orang daripada mereka untuk menyokongnya sebagai Perdana Menteri.

Mampukah beliau menjadi PM? Jawapannya pada senator-senator ini.

Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia