Malaysia Perlu Bersatu Hentikan Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara 2015

Undang-undang ini bertujuan untuk memusatkan kuasa tentera, polis dan darurat di bawah Perdana Menteri. Bukan sahaja ia mengambil alih kuasa yang sebelum ini dipegang oleh Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri, ia juga secara efektif memberikan Perdana Menteri kuasa yang sama seperti yang termaktub dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan yang dimiliki oleh D.Y.M.M. Yang Di-Pertuan Agong dan secara efektif membolehkan beliau mengisytiharkan darurat walaupun istilah “darurat” tidak digunakan dalam Rang Undang-undang tersebut.

Pembentangan undang-undang ini merupakan suatu langkah yang amat berbahaya bagi Malaysia kerana ia menumpukan kuasa luarbiasa hanya ke tangan seorang ahli cabang Eksekutif Kerajaan. Mekanisme semak dan imbang yang biasanya didapati dalam mana-mana demokrasi berparlimen adalah sama ada tidak wujud ataupun terjejas teruk di Malaysia.

Tidak ada mana-mana kerajaan yang harus memegang kuasa secara mutlak dan tanpa batasan. Penumpuan kuasa membawa kepada kecenderungan salah guna kuasa, terutamanya ketika negara sedang dilanda krisis politik.

Kita telah melihat Malaysia merosot dari demokrasi berparlimen ke arah autoritarianisme berasaskan pilihanraya setelah para Perdana Menteri yang sebelum ini mula kehilangan cengkaman ke atas kuasa dan merebut lebih kuasa untuk diri mereka sendiri. Rang Undang-Undang MKN merupakan lonjakan besar ke arah pemerintahan diktator dan negara tentera-polis.

Jaminan kononnya undang-undang ini tidak akan disalahgunakan tidak memberi apa-apa jaminan langsung. Ini kerana pihak berkuasa telahpun menggunakan undang-undang zalim Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) walaupun terdapat jaminan yang sama. Sebagai contoh, Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang telah ditahan dan dituduh kesalahan ‘cubaan sabotaj’ dan dibicarakan di bawah SOSMA.

Oleh itu, terdapat asas yang kukuh kebimbangan bahawa penyalahgunaan sama boleh dilakukan melalui kuasa-kuasa luas di bawah Rang Undang-Undang MKN, yang membolehkan Perdana Menteri untuk mengisytiharkan kawasan-kawasan keselamatan.
Kawasan-kawasan keselamatan membenarkan pihak berkuasa menangkap, menggeledah dan menyita sesiapa tanpa sebarang waran, dan mengenakan perintah berkurung. Ianya juga memberi kuasa kepada mereka untuk mengambil milik tanah, bangunan dan harta boleh alih, serta mengenepikan inkues jika terdapat kematian akibat kekerasan.

Dewan Rakyat telah mengecewakan Malaysia dengan meluluskan Rang Undang-Undang MKN pada 3 Disember dengan perbahasan yang dijalankan kurang dari satu (1) hari.

Malaysia mempunyai undang-undang sedia ada yang mencukupi untuk menangani isu-isu keselamatan negara. Selain itu, kerajaan telahpun membawa masuk undang-undang kontroversi seperti SOSMA dan Akta Pencegahan Keganasan (POTA), yang memberikan kuasa yang melanggar piawaian hak asasi manusia antarabangsa. Undang-undang tersebut kini ditambah dengan Rang Undang-Undang MKN. Rang Undang-Undang MKN merupakan langkah-langkah tambahan yang berlebihan dan yang melanggar norma-norma antarabangsa.

Kerajaan telah cuba untuk membuat perbandingan di antara Rang Undang-Undang MKN Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara Britain yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Britain. Adalah penting diambil perhatian bahawa MKN Britain hanyalah suatu Jawatankuasa Kabinet bagi tujuan penggubalan dasar. Ianya bukan suatu Akta dengan kuasa-kuasa zalim sepertimana Rang Undang-Undang MKN Malaysia.
MKN Malaysia dan Britain hanya mempunyai kesamaan dari segi nama sahaja, kedua-duanya jauh berbeza dalam kuasa dan implikasinya terhadap perkembangan demokrasi berparlimen di negara masing-masing.

Sebagai Menteri yang membentangkan Rang Undang-Undang ini, Shahidan Kassim mempunyai kuasa untuk menariknya balik. Peluangnya untuk berbuat demikian akan datang di Dewan Negara, yang mula bersidang semalam. Ahli-ahli Dewan Negara juga boleh melaksanakan kuasa mereka di bawah Perlembagaan untuk menolak Rang Undang-Undang ini atau memindanya untuk mengeluarkan ciri-ciri yang paling merbahaya.

Rang Undang-Undang MKN juga harus ditarik balik atas ketiadaan rundingan dengan Majlis Raja-Raja kerana ianya mengurangkan kuasa darurat kini yang eksklusif kepada D.Y.M.M. Y.D.P. Agong.

D.Y.M.M. Y.D.P. Agong juga boleh menolak perkenannya terhadap Rang Undang-Undang MKN. Walaupun pindaan Perlembagaan menghalangnya daripada menolaknya secara terang-terangan, keengganan beliau untuk memberi perkenannya akan menghantar mesej yang jelas bahawa Rang Undang-undang ini pada asasnya merbahaya dan perlu dihapuskan.

Nasib demokrasi Malaysia yang sudah pun rapuh kini terletak pada ahli-ahli Dewan Negara, Majlis Raja-Raja, dan D.Y.M.M. Y.D.P. Agong. Ia juga bergantung kepada orang ramai untuk menyeru mereka ini untuk melakukan perkara yang betul dan menolak bencana kediktatoran yang di bawa oleh Rang Undang-Undang MKN.

Kita mesti menarik balik Rang Undang-Undang MKN.

Oleh itu, masyarakat sivil akan memulakan satu kempen untuk menghentikan Rang Undang-Undang MKN daripada berkuatkuasa.

Inisiatif-inisiatif di bawah kempen ini ialah:

1) Twitter hashtag ‪#‎TakNakDiktator‬;

2) Gambar profil media sosial yang boleh didapati dari www.facebook.com/taknakdiktator/;

3) Menandatangani petisyen change.org yang dimulakan oleh seorang individu prihatin (http://chn.ge/1Od7VzW);

4) Membawa kebimbangan kami kepada Ahli-ahli Dewan Negara;

5) Menggalakkan semua warga Malaysia untuk menghantar surat rayuan kami kepada semua Ahli Dewan Negara.

Ditandatangani:
Gagasan Kempen #TakNakDiktator

1. Amnesty International Malaysia
2. BERSIH
3. Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4)
4. National Human Rights Society (HAKAM)
5. Institut Rakyat
6. Lawyers for Liberty
7. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia