Deskripsi: Membudayakan amalan syura, membuka ruang luas kepada semakan dan penilaian semula terhadap semua ketetapan agar tindakan lebih tepat dan menghasilkan impak yang terbaik.
عَنْ تَمِيمٍ الدَّارِيِّ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الدِّينُ النَّصِيحَةُ قُلْنَا لِمَنْ قَالَ لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُولِهِ وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ
Daripada Tamim ad-Dari bahawa Nabi SAW bersabda: “Agama itu adalah nasihat.” Kami bertanya, “Nasihat untuk siapa?” Beliau menjawab, “Untuk Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, dan para pemimpin kaum Muslimin, serta kaum awam mereka.” (HR Muslim)
وَٱلَّذِينَ ٱسۡتَجَابُواْ لِرَبِّهِمۡ وَأَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَأَمۡرُهُمۡ شُورَىٰ بَيۡنَهُمۡ وَمِمَّا رَزَقۡنَٰهُمۡ يُنفِقُونَ
“Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya.” (Surah Asy-Syura, Ayat 38)
Pemerintah ini mestilah membudayakan amalan syura dalam pentadbirannya, semua tindakan dan langkah-langkah kerajaan diputuskan dan dilaksana menerusi pendekatan perundingan agar ketetapan yang terhasil daripada pendekatan ini sesuatu yang terbaik, relevan dengan masa dan suasana, menyelesaikan masalah yang dihadapi, menyediakan kebijakan yang bertepatan dengan cabaran yang ingin ditangani.
Ia membuka ruang yang luas kepada semakan dan penilaian semula secara berkala terhadap semua ketetapan yang telah diputuskan sebelumnya agar tindakan yang dilaksanakan lebih tepat dan menghasilkan impak yang terbaik.
Pandangan golongan pakar dirujuk, nasihat golongan yang berpengalaman sentiasa diambil kira, pengajaran daripada sejarah kekal memandu setiap tindakan pemerintah bagi mewujudkan sebuah negara yang berkembang maju secara berterusan.
Dalam suasana sebegini, negara sentiasa dibekalkan dengan maklumat-maklumat mutakhir dan cadangan-cadangan solusi daripada pusat-pusat kajian dasar, pusat-pusat kecemerlangan dan pelbagai badan-badan penyelidikan yang berwibawa.
Pihak pemerintah sentiasa terbuka kepada kritikan-kritikan yang mengalir masuk daripada berbagai-bagai pihak yang peka dengan situasi negara dan masalah-masalah yang dihadapinya, mendengar cadangan-cadangan solusi yang mereka kemukakan.
Budaya syura ini perlu diamalkan di semua peringkat pentadbiran negara agar semua pihak bertindak dan berkerja dalam ruang lingkup keluasan pematuhan syariah, membudayakan permuafakatan sesama pemegang taruh agar perundingan ini melahirkan kerjasama dan dukungan semua pihak mendepani permasalahan yang sedang atau akan dihadapi negara dan rakyat.
Mengemukakan nasihat kepada pihak pemerintah merupakan hak rakyat. Pemerintah mesti mengambil kira nasihat daripada dewan permesyuaratan/legislatif yang mewakili rakyat, ia merupakan dewan tertinggi yang diberi mandat bagi menentukan, meminda undang-undang tubuh negara (perlembagaan), peraturan dan prosedur, polisi-polisi dan dasar-dasar bagi sesebuah negara.
Seluruh institusi kenegaraan bekerja secara profesional dalam bidang masing-masing, saling melengkapi antara satu sama lain secara berimbangan, tanpa melangkaui batas-batas yang telah diperuntukkan agar jentera pentadbiran negara dapat berfungsi dengan baik dalam menjana kemajuan negara dalam semua bidang secara berterusan.
Menerusi semak dan imbang yang berkesan, penyelewengan dapat dihindarkan, penyalahgunaan kuasa dan kedudukan dapat dihalang dalam pentadbiran negara, birokrasi dapat diatasi dengan sebaik-baiknya, pelantikan pegawai-pegawai petugas berlangsung secara telus berasaskan kelayakan dan integriti mereka.
Sumber:
Artikel 12 Ciri Negara Rahmah | 2021
Ustaz Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia
1. Kepemimpinan Negara yang Kompeten dan Berintegriti
2. Sistem Pemerintahan yang Berasaskan Semak dan Imbang yang Berkesan
5. Masyarakat yang Berilmu, Berakhlak dan Penyayang
6. Institusi Keluarga yang Utuh
7. Hubungan Etnik dan Penganut Agama yang Harmoni
9. Agihan Kekayaan yang Saksama
11. Kebajikan, Kesihatan dan Keselamatan Rakyat yang Terpelihara
© 2009 – 2024 Pertubuhan IKRAM Malaysia
Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia