“Usaha-usaha seperti ini adalah sangat wajar dan perlu bagi mendekati pelbagai lapisan masyarakat terutamanya golongan masyarakat yang meminati seni itu sendiri,” demikian ujar Presiden IKRAM, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad dalam ucapan perasmiannya.
Beliau berkata, IKRAM menyambut baik program Majlis Anugerah Sayembara Puisi Whatsapp Palestin ini dan berharap agar usaha-usaha seperti ini akan diteruskan lagi.
“Diharapkan agar program pada malam ini, tidak tamat setakat ini sahaja. Apa yang kami harapkan akan ada tindakan susulan seperti membukukan karya-karya puisi pemenang dan peserta, mewujudkan pertemuan dengan penggiat seni dan sastera tanah air selain menjalankan bengkel penulisan puisi dan sebagainya yang difikirkan bersesuai dengan misi kita menuju Malaysia Menuju Negara Rahmah, insya-Allah,” jelasnya.
Dr Parid dan para tetamu
Sementara itu, Ketua Wanita IKRAM, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim berkata dalam ucapannya, isu Palestin adalah isu yang berkait rapat dengan akidah umat Islam.
“Maka, perjuangan membebaskan bumi Palestin perlu terus diperjuangkan kerana ia adalah merupakan satu tanggungjawab yang perlu dipikul oleh semua sehinggalah bumi Palestin dibebaskan sepenuhnya,” ujarnya.
Justeru, segala usaha ke arah pembebasan bumi Palestin perlu disokong dan dokong.
“Maka, melalui kemahiran dan kapasiti masing-masing, kita perlu merealisasikan perjuangan ini dengan aksi nyata.”
Sebagaimana dalam ucapan Presiden, Che Asmah juga turut mengalu-alukan usaha untuk menyemarakkan dakwah melalui aktiviti kesenian sebagaimana program yang dianjurkan ini.
Pak Agi, Zuan Ishmael dan Dr Harlina
“Puisi-puisi yang dinilai adalah baik, cuma sangatlah perlu digiatkan lagi penulisannya agar puisi yang dihasilkan bertambah dan lebih baik,” kata Abdul Ghafar Ibrahim ketika menyampaikan ulasannya mewakili panel penilai yang hadir.
Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Pak Agi, turut mendeklamasikan puisi berjudul Gundah Palestin dengan penuh penghayatan.
Pertandingan Puisi Whatsapp Palestin yang berlangsung sepanjang bulan September lalu diadakan bagi memupuk dan meningkatkan kesedaran rakyat khususnya kaum wanita mengenai isu-isu Palestin melalui puisi dan ia merupakan salah satu usaha dakwah IKRAM sebagai NGO Islam untuk mengetengahkan program seni melalui penulisan puisi.
Daripada 87 puisi yang diterima penganjur, lapan puisi terbaik telah dipilih oleh penilai dan para pemenang dijemput untuk menerima hadiah pada Malam Anugerah Sayembara ini.
“Penyertaan yang di luar jangkaan kami terima, yang mana sebelumnya mensasarkan sebanyak 50 sahaja. Alhamdulillah, sebanyak 87 penyertaan diterima dari dalam dan luar negara,” kata Pengerusi Jawatankuasa Media Wanita IKRAM, Dr Hafidzah Mustakim.
Para pemenang, flash mob dan urusetia majlis
Dr Hafidzah turut mengumumkan keputusan pertandingan tersebut di mana johan Pertandingan Puisi Whatsapp dimenangi oleh Nurul ‘Izzah Zainol dari Kuala Lumpur dengan puisinya yang bertajuk Perindu Syahid. Hadiah johan berupa wang tunai berjumlah RM500 dan dua tiket penerbangan ke Langkawi.
Naib johan disandang oleh Zakirah Hizam dari Johor dengan puisinya Awanan Kelam Berarak Perlahan manakala tempat ketiga dimenangi oleh Zatinurnadiah Abd Hakim dari Kelantan dengan puisinya yang bertajuk Tanah itu…Guruku.
Lima puisi lainnya dipilih yang menerima saguhati ialah Fadzilah Musa (Negeri Sembilan), Rosmihayati Mohd Khairuddin (Selangor), Nabilah Ahmad Iskandar (Perlis), Nurul Husna Mohd Husain (Pulau Pinang) dan Amirah Saryati Muhamad Amin (Perak).
Majlis turut diserikan persembahan lagu Palestin oleh Zuan Ishmael, puisi oleh Dr Harlina Halizah Siraj (Aku dan Ibtisam) dan flashmob Palestin.
Sumber foto: http://on.fb.me/1BIGXQb