Imam sudah rukuk. Seorang makmum masih berdiri menghabiskan bacaan al-Fatihah. Ada pula yang terus rukuk tanpa menghabiskannya. Tidak kurang juga yang terus membaca sehingga imam sudah sujud.
Persoalannya, siapakah yang sebenarnya menepati tuntutan syarak? Adakah menghabiskan bacaan al-Fatihah lebih utama, atau mengikut pergerakan imam perlu didahulukan? Kekeliruan ini sering berlaku dalam kalangan jemaah kerana kedua-duanya merupakan tuntutan yang penting dalam solat.
Al-Fatihah ialah rukun yang menentukan kesahan setiap rakaat, manakala mengikuti imam merupakan kewajipan yang memelihara kesempurnaan solat berjemaah. Lalu, bagaimanakah syariat mengharmonikan kedua-dua tuntutan ini apabila berlaku pertembungan antara menyempurnakan bacaan al-Fatihah dan mengikut pergerakan imam?
Pada asasnya, setiap makmum diperintahkan supaya mengikuti imam dalam setiap pergerakan solat. Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya imam itu dijadikan untuk diikuti dengannya.” (Riwayat al-Bukhari, 378 dan Muslim, 411)
Berpandukan hadis ini, para fuqaha menegaskan bahawa hukum asal dalam solat berjemaah ialah makmum tidak boleh mendahului imam dan tidak boleh tertinggal daripadanya tanpa keuzuran yang diiktiraf syarak. Imam al-Khatib asy-Syarbini ketika menghuraikan hukum mutaba’ah dalam Mughnī al-Muḥtāj menyatakan:
تَجِبُ مُتَابَعَةُ الْإِمَامِ فِي أَفْعَالِ الصَّلَاةِ، بِأَنْ يَتَأَخَّرَ ابْتِدَاءُ فِعْلِهِ عَنْ ابْتِدَائِهِ وَيَتَقَدَّمُ عَلَى فَرَاغِهِ مِنْهُ.
“Wajib mengikuti imam dalam perbuatan-perbuatan solat, iaitu makmum memulakan perbuatannya selepas imam memulakan perbuatannya dan sebelum imam selesai daripada perbuatan tersebut.” (Mughnī al-Muḥtāj, jld. 1, hlm. 505)
Dengan kata lain, keselarasan pergerakan antara imam dan makmum merupakan asas kepada kesempurnaan solat berjemaah.
Namun demikian, kewajipan mengikuti imam bukanlah bersifat mutlak sehingga mengabaikan rukun-rukun solat. Dalam keadaan tertentu, syariat memberikan kelonggaran kepada makmum bagi memastikan rukun solat dapat disempurnakan.
Langkah makmum muwafiq
Antaranya ialah makmum muwāfiq, iaitu makmum yang sempat berdiri bersama imam pada awal rakaat dan mempunyai masa yang mencukupi untuk membaca Surah al-Fatihah secara sederhana sebelum imam rukuk.
Oleh sebab al-Fatihah merupakan rukun qauli yang wajib disempurnakan menurut mazhab Syafii, makmum muwāfiq tidak dituntut meninggalkan bacaannya semata-mata kerana imam telah rukuk. Sebaliknya, dia diberikan rukhsah untuk menyempurnakan bacaan al-Fatihah terlebih dahulu sebelum meneruskan pergerakan solatnya.
Rukhsah ini menggambarkan keindahan syariat yang menyeimbangkan antara dua tuntutan penting dalam solat berjemaah, iaitu memelihara kesempurnaan rukun solat dan pada masa yang sama menjaga kewajipan mengikuti imam.
Persoalannya, sampai bilakah makmum muwāfiq dibenarkan menghabiskan bacaan al-Fatihah? Para fuqaha mazhab Syafiii menjelaskan bahawa rukhsah tersebut mempunyai had yang jelas. Imam an-Nawawi menyebut dalam al-Majmūʿ Sharḥ al-Muhadhdhab:
«… يُعْذَرُ الْمَأْمُومُ بِتَرْكِ مُتَابَعَةِ الإِمَامِ فِي ثَلَاثَةِ أَرْكَانٍ طِوَالٍ، وَيَجِبُ عَلَيْهِ أَنْ يَرْكَعَ قَبْلَ أَنْ يَرْفَعَ الإِمَامُ رَأْسَهُ مِنَ السَّجْدَةِ الثَّانِيَةِ لِلْقِيَامِ إِلَى الرَّكْعَةِ الَّتِي بَعْدَهَا أَوْ لِلْجُلُوسِ لِلتَّشَهُّدِ.»
(An-Nawawi, al-Majmūʿ Sharḥ al-Muhadhdhab, Bab Ṣifat al-Ṣolāh).
“Makmum diberi keuzuran untuk tidak mengikuti imam sehingga tiga rukun yang panjang. Namun, dia wajib rukuk sebelum imam mengangkat kepalanya daripada sujud kedua untuk bangun ke rakaat berikutnya atau untuk duduk tahiyat.”
Berdasarkan penjelasan ini, makmum muwāfiq tidak perlu tergesa-gesa meninggalkan bacaan al-Fatihah sebaik sahaja imam rukuk. Sebaliknya, dia diberi ruang untuk menyempurnakan bacaan tersebut dalam had yang dibenarkan oleh syarak.
Namun, apabila had rukhsah itu telah berakhir, dia hendaklah segera mengikut imam. Jika dia terus berdiri membaca al-Fatihah sehingga tertinggal melebihi had yang ditetapkan oleh para fuqaha tanpa keuzuran yang diiktiraf, rakaat tersebut tidak lagi dikira bersamanya dan perlu diganti selepas imam memberi salam.
Langkah makmum masbuk
Berbeza pula keadaannya dengan makmum masbuk. Makmum masbuk ialah orang yang menyertai solat berjemaah ketika imam telah melepasi kadar yang mencukupi untuk membaca Surah al-Fatihah, misalnya ketika imam sedang membaca surah selepas al-Fatihah atau hampir rukuk.
Dalam keadaan ini, makmum tidak lagi mempunyai kesempatan yang sempurna untuk menghabiskan bacaan al-Fatihah. Oleh itu, mazhab Syafii memberikan rukhsah kepadanya untuk meninggalkan baki bacaan al-Fatihah apabila imam rukuk dan terus mengikut pergerakan imam.
Kewajipan menyempurnakan al-Fatihah dalam keadaan ini gugur kerana keuzuran datang lewat, bukan kerana al-Fatihah tidak lagi penting, tetapi kerana syarak mengambil kira keadaan yang tidak memungkinkan makmum menyempurnakan bacaan tersebut tanpa menjejaskan kewajipan mengikuti imam.
Salah faham yang berlaku
Di sinilah berlaku salah faham yang sering berulang dalam kalangan masyarakat. Ada makmum yang datang lewat ketika imam sedang membaca surah, namun tetap berdiri menghabiskan al-Fatihah sehingga imam telah rukuk, iktidal, malah ada yang sudah sujud.
Mereka beranggapan bahawa al-Fatihah mesti dihabiskan walau dalam apa jua keadaan. Hakikatnya, tindakan tersebut tidak bertepatan dengan hukum makmum masbuk menurut mazhab Syafii.
Sepatutnya, apabila imam rukuk, dia hendaklah segera rukuk bersama imam kerana kewajipan menghabiskan al-Fatihah telah gugur disebabkan keuzuran datang lewat.
Sebaliknya, jika dia terus berdiri membaca tanpa uzur sehingga tertinggal terlalu jauh daripada imam, dia bukan sahaja kehilangan kelebihan solat berjemaah pada rakaat tersebut, bahkan rakaat itu juga tidak dikira dan perlu diganti selepas imam memberi salam.
Bukan semua makmum perlu menghabiskan al-Fatihah, dan bukan semua makmum boleh meninggalkannya. Yang membezakan kedua-duanya ialah sama ada dia seorang makmum muwāfiq atau makmum masbuk.
Apabila perbezaan ini difahami, kekeliruan yang sering berlaku di masjid dan surau akan dapat dielakkan, sekali gus membolehkan solat berjemaah dilaksanakan dengan lebih yakin dan menepati kehendak syarak.
Adab yang lebih luas
Menariknya, prinsip ini turut mengajar kita adab yang lebih luas dalam kehidupan bermasyarakat. Islam menuntut umatnya taat kepada imam dalam solat, namun ketaatan itu bukanlah tanpa batas.
Makmum diperintahkan mengikuti imam, tetapi dalam keadaan tertentu syarak memberikan rukhsah untuk menyempurnakan rukun al-Fatihah sebelum mengikutinya. Ertinya, Islam mengajar keseimbangan antara disiplin berjemaah dan memelihara prinsip yang lebih utama.
Begitu juga halnya dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Islam menuntut umatnya mentaati pemimpin dalam perkara yang makruf demi menjaga kesatuan dan mengelakkan perpecahan. Namun, ketaatan tersebut bukanlah bersifat mutlak sehingga menghalalkan perkara yang bercanggah dengan syariat. Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
“Sesungguhnya ketaatan itu hanyalah pada perkara yang makruf.” (Riwayat al-Bukhari, 7257 dan Muslim, 1840)
Justeru, sama ada dalam solat berjemaah mahupun dalam urusan kepimpinan, Islam sentiasa mengimbangi antara ketaatan, disiplin dan pemeliharaan prinsip-prinsip syarak.
Ustazah Hasliza Talib
Jabatan Kefahaman Islam dan Bahasa Arab
Fakulti Sains Sosial
Universiti Islam Selangor




