Mahasiswa COVID-19: Jangan pandang sebelah mata

 Daripada sekecil amalan seperti basuh tangan sehinggalah ke budaya hidup bekerja, segalanya mengalami perubahan drastik, bukan sahaja di Malaysia, bahkan di peringkat global.

 

Sepanjang garis masa pandemik ini, pendidikan tinggi Malaysia dilihat antara sektor yang paling terumbang-ambing dek kerana masyarakat berada di persimpangan dan dilema pilihan hidup; antara hidup kendiri demi kemaslahatan dan memastikan amalan pentarbiahan mahasiswa terus dilestarikan.

 

Dunia semakin mencabar dan kompleks. Sebarang perubahan dan perancangan perlu bersifat mudah ubah atau ‘agility’.

 

Mahasiswa yang menerima tempiasnya yang mana keadaan pergerakan aktivisme mahasiswa perlu berubah mengikut keperluan semasa. Peter Drucker pernah menyebut:

 

The greatest danger in times of turbulence is not the turbulence. It is to act with yesterday’s logic.”

(Bahaya terbesar semasa pergolakan bukanlah pergolakan itu. Ia adalah untuk bertindak dengan logik semalam)

 

Maka, mahasiswa perlu mempersiapkan diri dalam segala aspek apabila berhadapan dengan dunia yang berubah-ubah agar dapat mengadaptasi apa jua keadaan.

 

Mahasiswa Covid 19 tiada masa hadapan?

 

Ramai ahli akademik dan masyarakat meramalkan generasi mahasiswa graduasi sepanjang tahun-tahun pandemik Covid-19 ini bakal menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan.

 

Antara faktor utamanya adalah kemahiran yang digunakan oleh mahasiswa sewaktu dalam proses pembelajaran terbatas dan aktiviti-aktiviti yang dapat mengasah potensi dan kemahiran mahasiswa tidak dapat dijalankan.

 

Tambahan pula, ada sesetengah pelajaran sudah mula dimudahkan proses kerja kursus dan peperiksaan. Oleh kerana itu, para peramal masa depan ini mendakwa perkara ini akan membantutkan kemahiran mahasiswa sekali gus memberi kesukaran untuk menembusi kebolehpasaran industri pada masa akan datang.

 

Realiti kini, kita perlu menerima bahawa Covid-19 yang meruncing ini telah menyebabkan kesemua perkara yang manusia lakukan terbatas termasuklah peluang kerjaya. Kadar pengangguran global pasti meletus.

 

Mahasiswa pasti menjadi antara kelompok masyarakat yang paling terkesan dengan perubahan ini. Mahasiswa berhadapan krisis berkembar; pandemik Covid-19 dan ketiadaan peluang pekerjaan.

 

Kebolehcapaian teknologi semakin dipergiatkan pada era Covid-19 ini. Kaedah pembelajaran dan pengajaran secara bersemuka telah dipaksa mengikut arus pemodenan secara drastik. Teknologi maya seperti Google Class dan Trello dimanfaatkan semaksima mungkin supaya sentuhan fizikal dielakkan.

 

Norma pembelajaran baharu ini telah membawa mahasiswa ke lembaran hidup baharu sehingga dapatan kajian indeed.com menyenaraikan kemahiran tertinggi yang diperlukan graduan ialah  perkomputeran dan aplikasi di Internet. Nah, di sini kita boleh lihat bahawa kemahiran pada era Covid-19 ini tidak boleh dipandang enteng sama sekali.

 

Selain itu, World Economic Forum turut menyatakan bahawa kemahiran berfikir secara kritikal antara kemahiran yang perlu dipelajari dan diasah bagi membolehkan masyarakat menjadi kompeten menjelang 2025.

 

Bagi kerja atau latihan semasa pembelajaran dalam talian, rata-rata pensyarah akan mendedahkan mahasiswa dengan latihan bersifat membina daya analitikal dan kritikal seperti esei panjang yang memerlukan rujukan yang banyak serta soalan-soalan aras tinggi.

 

Penulis berpandangan bahawa pendekatan baharu ini mampu mengambil alih atau menggantikan pendekatan yang lama bagi memberikan nafas baharu untuk mahasiswa Covid-19 kekal relevan dalam pasaran industri nanti.

 

Aktivisme mahasiswa ‘sendu’?

 

 

Beberapa kritikan kepada gerakan, organisasi mahasiswa mula muncul ketika dunia berhadapan dengan Covid-19. Ada yang mendakwa pemimpin mahasiswa mula hilang arah tuju, lesap dari dunia aktivisme dan tidak kritis terhadap keadaan semasa. Saya memiliki pandangan berbeza.

 

Setiap pergerakan, perancangan perlu mengikut kesesuaian dan keadaan semasa. Jika sebelum ini jika mahasiswa tidak bersetuju dengan kerajaan, maka mereka turun ke jalanan. Covid-19 telah membawa kita untuk membuka kembali kamus aktivisme dan memberi semula definisi aktivisme mahasiswa.

 

Aktivisme mahasiswa yang wujud sekarang tidak perlu mengikut rentak dan gaya kebangkitan mahasiswa terdahulu. Ia perlu mempunyai identiti dan kualitinya yang tersendiri. Sudah tentu realiti dan dinamika yang dilalui mahasiswa pada hari ini adalah berbeza dengan yang terdahulu.

 

Dalam wabak pandemik ini, kesemua gerakan mahasiswa mula mengubah corak aktivisme mereka. Kiblat beraktivisme demi agenda kepentingan gerakan masing-masing perlu segera diubah ke agenda memperkasakan kebajikan mahasiswa secara holistik.

 

Kita boleh lihat pelbagai inisiatif direncana tanpa henti oleh persatuan dan gerakan mahasiswa untuk membantu mahasiswa sepanjang tempoh yang sukar ini. Usaha ini merupakan manifestasi bahawa mahasiswa sendiri sedar akan tanggungjawab yang perlu digalas bersama untuk membantu mahasiswa yang terkesan dari sudut ekonomi dan kebajikan.

 

Bermula daripada Kesatuan Pelajar sehinggalah ke gerakan-gerakan indie, masing masing menggerakkan inisiatif seperti pemberian laptop dan foodbank untuk membantu mahasiswa.

 

Tanda pagar #MahasiswaJagaMahasiswa yang terpahat di media massa saban hari adalah bukti kesatuan dan kesepakatan mahasiswa dalam tempoh yang serba rencam ini.

 

Selain daripada itu, pandemik Covid-19 ini telah menjadikan kita semua lebih banyak bergantung kepada alat digital untuk berkomunikasi. Keterhadan pergerakan fizikal menyebabkan tiada lagi aksi seperti demonstrasi, tunjuk perasaan atau mogok dilancarkan di negara kita. Namun dengan adanya teknologi, aktivisme melalui pendekatan baharu dapat dilaksanakan sehingga menjadi kritikal dan kekal diperjuangkan.

 

Di universiti, ruang perbincangan di peringkat pembuatan polisi mula dibuka secara efektif kepada wakil mahasiswa untuk memberi saluran kepada mahasiswa dalam mengkritik polisi universiti atau memberi cadangan. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) antara universiti yang progresif dalam memperkukuhkan hubungan antara kesatuan pelajar dan pentadbiran.

 

Kesemua ruang perbincangan ini digunakan sebaiknya oleh pihak Kesatuan untuk membentangkan kegusaran dan keresahan pelajar dalam beberapa isu. Menerusi mesyuarat ini mahasiswa dilatih untuk bersikap kritis dan analitikal dalam membentangkan isu berkaitan mahasiswa.

 

Selalunya sebelum setiap perbincangan dilakukan, pihak Kesatuan akan membuka tinjauan secara terperinci tentang pandangan dan ‘mood’ mahasiswa. Setelah itu akan disimpul dan diekstrak dalam bentuk analisis untuk dibentangkan di hadapan pentadbiran.

 

Sebagai contoh isu penurunan yuran 2020, Kesatuan Mahasiswa telah melakukan tinjauan terperinci berkenaan pandangan dan sokongan mahasiswa, kemudian dibentangkan dan didebatkan dalam UMC (University Management Committee) dan akhirnya diluluskan.

 

Signifikannya data dan analisis ini adalah untuk memperkukuhkan hujah dan penerangan wakil mahasiswa dalam ruang pembuatan keputusan dan membuktikan suara keramat mahasiswa ini perlu dilihat dan diambil tindakan bukan setakat ‘masuk telinga kiri, keluar telinga kanan’.

 

Ini juga membuktikan nilai dan budaya aktivisme mula berubah coraknya namun asas dan kefahaman itu tetap sama.

 

Kesimpulan

 

Dengan keadaan yang penuh mehnah ini, universiti wajar berperanan membantu mahasiswa dalam melalui fasa kritikal ini. Kerjasama dua hala antara mahasiswa dan pentadbiran perlu diwujudkan dengan utuh dalam musim yang mencabar ini. Kita mahukan mahasiswa yang menjadi graduan dilahirkan umpama “benih yang baik, dicampak ke darat menjadi bukit, dicampak ke laut menjadi pulau”.

 

Peranan universiti bukan sekadar mengeluarkan graduan, lebih penting melahirkan graduan yang bermanfaat kepada masyarakat. Peranan masyarakat pula memberi sokongan jitu kepada mahasiswa dan graduan, bukan menghidupkan persepsi negatif kepada mahasiswa. Zaman tetap berubah namun semangat dan prinsip dalam diri mahasiswa kekal utuh.

 

Jangan pandang enteng dengan potensi mahasiswa bak kata Anita Sarawak, “Jangan pandang sebelah mata!”

 

Muhammad Amin Mubarak

Exco Perhubungan Awam dan Advokasi Kesatuan Pelajar UIAM

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia