Program selama 28 hari itu telah dirasmikan penutupannya oleh Hj Shahrul Aman Shaari selaku Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Remaja IKRAM Pusat.
Antara ciri-ciri sekolah kehidupan ialah peserta perlu berada di kem sepenuhnya selama 28 hari, memasak sendiri secara bergilir-gilir, menjadi imam, mengetuai bacaan Ma’thurat, memberi tazkirah, menyampaikan pengucapan awam dan mengemas ruang tidur masing-masing.
Selain dari itu, kepelbagaian program merangkumi aspek mental, ruhani dan fizikal telah dikongsikan kepada para peserta termasuk skil kemahiran asas dalam kehidupan. Antaranya slot Tafsir al-Quran, bedah hadis, aqidah, ikhtilat, ibadah, outdoor challenge, latihan komando, motivasi perubahan dan sebagainya.
Kelainan utama dalam MHi kali ini ialah apabila para peserta dan fasilitator MHi diminta untuk menjadi perancang utama untuk Sambutan Hari Keluarga bagi kakitangan ibu pejabat IKRAM dan Jawatankuasa Pusat IKRAM buat kali pertama.
Para peserta telah dibahagikan mengikut jawatankuasa masing-masing. Maklumbalas dari kakitangan dan JKP IKRAM amat positif dan memuji sikap profesional dan santai peserta dan fasilitator MHi dalam mengendalikan majlis ini.
Program MHi ini merupakan salah satu program di dalam Projek Dua Tahun Remaja Cemerlang (PRODUCE ) yang dianjurkan oleh IKRAMTeens Pusat. Objektif utama ialah ingin melahirkan pemimpin du’at yang akan bersama-sama menggerakkan dakwah semasa di IPT kelak bersama IKRAM Siswa.
Pengarah MHi 2012-201313, Saudara Mohd Hafiz Abd Hamid semasa majlis penutup menyatakan bahawa majlis penutupan ini bukanlah suatu pengakhiran, tetapi ianya merupakan langkah bermula untuk kita meneruskan perjuangan menyampaikan risalah dan membina peribadi muslim yang setaraf dengan para sahabat dan tabi’in.
Setelah hampir 4 tahun dilaksanakan, MHi terus berkembang dan semakin baik pelaksanaannya melalui sesi latihan, coaching dan pengurusan yang berkesan oleh semua ahli sekretariat MHi 2012-2013. Semoga para peserta terus dapat menyumbang sebanyak mungkin kebaikan dan islah dalam arena dakwah ini. Insya-Allah, selangkah mengubah dunia, anda mampu mengubahnya!