Liz Truss dan PRU15 – Beberapa Pedoman

Liz Truss dan PRU15 - Beberapa Pedoman | IKRAM

United Kingdom baru sahaja menyaksikan Liz Truss menjadi Perdana Menteri yang tersingkat dalam sejarah negara ini. Beliau memerintah selama hanya 45 hari, tetapi berjaya membuatkan negara dan ekonomi UK kucar-kacir.

Beliau dan Menteri Kewangan, Kwasi Kwarteng telah membentangkan sebuah ‘bajet-mini’ yang tidak berpijak di bumi nyata dan mendapat kritikan hebat daripada institusi-institusi ekonomi dan kewangan di UK.

Bajet-mini tersebut kononnya untuk mengembalikan wang kepada rakyat dengan potongan kadar cukai. Namun potongan tersebut lebih memberi keuntungan kepada golongan berpendapatan tinggi.

Potongan cukai yang diberikan tidak berbaloi dengan kenaikan kadar bunga yang terlalu tinggi memberikan kesan besar kepada hutang rumah dan harga barang-barang keperluan harian.

Seperti kebiasaan ahli politik UK kebelakangan ini, beliau pada mulanya tidak mengaku bersalah sebelum terpaksa menjilat ludah sendiri setelah mendapat kritikan hebat daripada orang ramai dan ahli politik parti sendiri.

Beliau kemudian cuba menyelamatkan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri dengan memecat sahabat lama beliau dalam politik, Kwarteng atas bajet-mini yang dibentangkan dan ditandatangani bersama-sama.

Walau bagaimanapun, tindakan ini tidak memberikan kesan yang besar kepada kestabilan kadar bunga dan keadaan pasaran kewangan seperti yang diharapkan. Beliau kemudian melantik Menteri Kewangan yang baru, Jeremy Hunt walaupun mereka berbeza kem dalam Parti Konservatif.

Keadaan Liz Truss pada masa itu boleh diibaratkan seperti seorang yang mempunyai takhta, tetapi tidak berkuasa kerana keputusan penting berkaitan ekonomi bukan lagi berada di tangan beliau. Disangka panas hingga ke petang, hujan jua di tengah hari.

Perubahan yang ingin dibawa oleh Jeremy Hunt menyebabkan Menteri Dalam Negeri, Suella Braverman meletak jawatan.

Pada hari yang sama, kerajaan Konservatif ini mendesak semua ahli Parlimen Konservatif supaya meluluskan pelonggaran undang-undang alam sekitar bagi membenarkan teknik pelombongan fracking dijalankan. (Perlindungan alam sekitar merupakan sesuatu isu yang sangat penting dalam kalangan rakyat UK).

Arahan tersebut menyebabkan ahli-ahli parti beliau memberontak dan beliau diminta meletakkan jawatan.

Parti Konservatif kini sedang memilih Perdana Menteri baru yang dapat menyatukan kem-kem yang berbeza dalam parti mereka. Mereka tidak berani membubarkan Parlimen kerana mereka tahu bahawa mereka akan kalah teruk kepada Parti Buruh jika pilihan raya diadakan dalam masa terdekat.

Rakyat Malaysia akan keluar mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November 2022. PRU ini datang selepas empat tahun yang penuh mehnah dan drama politik yang meloyakan. Walaupun konteks tempatan berbeza, tetapi ada beberapa pengajaran yang boleh kita ambil dan tekuni bersama.

Pertama, kita perlu memilih pemimpin yang kompeten dan berintegriti (qawiy dan amin). Boris Johnson (Perdana Menteri sebelum Liz Truss) tidak memiliki ciri-ciri ini tetapi beliau mampu bertahan sebagai Perdana Menteri dengan karisma dan kelicikan politik.

Liz Truss dilihat langsung tidak bersedia untuk memikul jawatan Perdana Menteri tetapi yang menjadikan situasi lebih parah ialah pegangan beliau kepada ideologi ekonomi yang gila. Beliau tidak mahu mendengar nasihat dan pandangan yang diberikan oleh orang sekeliling.

Kedua, kita perlu sentiasa berhati-hati daripada memberikan jawapan yang mudah kepada persoalan yang sukar dan rumit. Britain menjadi mangsa kepada khayalan Brexit. Malaysia juga mempunyai banyak khayalan dan delusi yang dijaja sebagai penyelesaian kepada permasalahan yang banyak.

Kita perlu sedar bahawa masalah-masalah yang dihadapii oleh negara dilihat mudah untuk diselesaikan, tetapi sebenarnya memerlukan pemerhatian dan kajian yang mendalam untuk diselesaikan.

Ketiga, kejatuhan Liz Truss juga menjadi pengajaran kepada kita bahawa sifat sombong dan angkuh tidak akan membawa kita ke mana-mana.

Kepada semua bakal ahli parlimen, anda perlu sedar bahawa anda tidak akan selama-lamanya di atas. Pangkat dan kedudukan di dunia hanya sementara dan boleh hilang dalam sekelip mata. Lihat sahaja apa yang terjadi kepada Najib Razak.

PRU15 semakin hampir. Dalam kita sibuk memancing undi, kita mesti sentiasa ingat bahawa kemenangan dalam pilihan raya adalah hasil daripada usaha berterusan sebelum tempoh berkempen.

Walau apa jua keputusan 19 November 2022, usaha ke arah Malaysia yang lebih baik perlu sentiasa diteruskan.

Iskandar Mohamed
International Development & Politics
IKRAM UK & Eire

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia