Liwat tetap merupakan satu kesalahan jenayah di Malaysia

IKRAM Legal ingin menarik perhatian seluruh rakyat Malaysia bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Iki Putra bin Mubarrak v. Kerajaan Negeri Selangor (Anor) pada 25 Februari 2021 sama sekali tidak menafikan hakikat bahawa perbuatan liwat atau seks luar tabii adalah tetap merupakan satu kesalahan jenayah di sisi undang-undang Malaysia.

Walaupun Mahkamah Persekutuan tersebut telah memutuskan bahawa Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memperuntukkan bahawa perbuatan “Persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii” sebagai satu kesalahan jenayah Syariah adalah tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, perbuatan liwat telah pun diterima sebagai satu kesalahan jenayah dalam undang-undang negara ini sama ada ianya dilakukan secara sukarela atau tidak sepertimana yang boleh didapati dalam Seksyen 377A dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Bahkan, hukuman yang diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan tersebut adalah jauh lebih berat daripada hukuman yang diperuntukkan dalam Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 iaitu hukuman penjara maksimum 20 tahun diikuti dengan sebatan sekali gus menunjukkan keseriusan undang-undang dalam menanganinya. Oleh yang demikian, IKRAM Legal menegaskan bahawa mana-mana kenyataan yang mengatakan bahawa keputusan ini adalah kemenangan buat komuniti LGBT adalah tidak berasas sama sekali.

 

Malah, ajaran Islam telah pun menegaskan bahawa perbuatan liwat adalah merupakan satu perbuatan yang terkeji sepertimana firman Allah SWT dalam Surah al-A’raaf, ayat 80 – 81 seperti yang berikut:

 

“Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah Ketika ia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampau batas.”

 

Berbalik kepada kes Iki Putra tersebut, Penghakiman Mahkamah Persekutuan tersebut lebih menjurus kepada menjawab isu bidang kuasa yang dibangkitkan berkenaan sama ada Badan Legislatif Negeri boleh menggubal undang-undang kesalahan jenayah yang pada masa yang sama juga merupakan kesalahan terhadap perintah agama Islam (Offences against the precepts of Islam) dan bukannya berkenaan isu sama ada perbuatan liwat adalah merupakan satu kesalahan jenayah di sisi undang-undang negara atau tidak.

 

Butiran 1 Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan sememangnya membenarkan Badan Legislatif Negeri untuk menggubal apa-apa undang-undang berkenaan kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama Islam (Offences against the precepts of Islam). Namun dalam masa yang sama, Butiran tersebut juga memperuntukkan klausa pengecualian (preclusion clause) yang mana penggubalan undang-undang tersebut adalah tidak termasuk perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan.

 

Memandangkan bidang kuasa untuk menggubal undang-undang kesalahan jenayah adalah di bawah Senarai Persekutuan, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan, maka Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa Badan Legislatif Negeri tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang kesalahan jenayah, walaupun ianya adalah merupakan kesalahan terhadap perintah agama Islam (Offences against the precepts of Islam).

 

IKRAM Legal konsisten dengan pendiriannya menyeru masyarakat Malaysia untuk menentang sebarang usaha untuk membenarkan dan/atau menormalisasikan liwat dan segala bentuk gaya hidup yang bertentangan dengan tabii termasuklah gaya hidup LGBT kerana ianya bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam dan agama-agama utama di dunia ini, malah mampu merosakkan keturunan dan sistem kekeluargaan yang menjadi tunjang dalam pembinaan tamadun manusia.

 

Memandangkan perbuatan liwat adalah merupakan kesalahan jenayah sivil, IKRAM Legal menyeru agar pihak berkuasa yang berkenaan termasuklah pihak Polis dan Pendakwa Raya untuk memberikan perhatian yang serius dalam membendung gaya hidup sebegini dengan membuat siasatan dan melakukan pendakwaan di Mahkamah Sivil agar ianya tidak menular dalam masyarakat.

 

IKRAM Legal juga mencadangkan pihak Polis bekerjasama dengan pihak agama negeri, tanpa mengira negeri, dalam menangani isu-isu jenayah begini yang berkait rapat dengan agama Islam yang merupakan agama Persekutuan di Malaysia.

 

IKRAM Legal juga menggesa agar perbincangan demi perbincangan dapat terus dijalankan oleh pihak berkuasa khususnya antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri serta dengan para pemegang taruh daripada kalangan masyarakat khususnya para ulama, para cendekiawan dan sarjana, ahli undang-undang dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) berkenaan penggubalan dan implementasi undang-undang kesalahan jenayah Syariah di Negeri-Negeri dan bahkan kemungkinan pelaksanaannya di peringkat Persekutuan sekalipun bagi memastikannya ianya selari dengan Perlembagaan Persekutuan sedia ada.

 

Marwan bin Abdullah
Pengerusi IKRAM Legal

[supsystic-social-sharing id='1']

Bonda Nor atau nama sebenarnya Norli binti Madlan adalah anak kelahiran Melaka yang kini menetap di Terengganu. Beliau seorang penulis, novelis, kolumnis majalah, penceramah dan pengasas Kaedah Membaca Ekspres-i.

ARTIKEL BERKAITAN

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia