Letupan Mercun: Keriangan atau Tragedi? Fikirkan

Pernah berlaku satu tragedi yang meruntun hati apabila seorang pelajar sekolah terkorban selepas mercun yang tersasar mencetuskan kebakaran di sebuah kedai berhampiran. Dalam sekelip mata, api marak menyambar apa sahaja selepas mercun mengenai sumber bahan api di premis tersebut.

Ketika itu, anak kecil itu sedang mengayuh basikal pulang dari surau selepas solat tarawih. Api yang menjulang tinggi segera menyambarnya. Nyalaan yang merebak pantas tidak memberi ruang untuk dia melarikan diri. Dia rebah dan terbakar dalam cubaan menyelamatkan diri.

Insiden malang itu bukan sekadar meragut nyawa seorang anak yang tidak bersalah, tetapi juga menjadi peringatan yang menghantui semua orang tentang bahaya mercun yang tidak dikawal. Kisah itu mungkin sudah puluhan tahun berlalu, tetapi luka yang terjadi telah menghasilkan parut yang dalam bagi ahli keluarga yang ditinggalkan. 

Namun, setiap kali musim perayaan tiba, kisah-kisah kemalangan akibat letupan mercun masih terus berulang seolah-olah masyarakat belum benar-benar belajar daripada tragedi lalu.

Risiko besar mercun

Sudah tentu percikan cahaya mercun dan bunga api yang mewarnai langit malam mengundang rasa keterujaan. Di Malaysia, dentuman mercun sering mengiringi sambutan Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Hari Kemerdekaan. 

Tetapi di sebalik cahaya yang memukau itu, tersembunyi risiko besar apabila ia dikendalikan tanpa mematuhi piawaian keselamatan, terutama oleh kanak-kanak yang sering menjadi mangsa utama. Tidak semua keseronokan wajar diraih terutama jika ia perlu dibayar dengan air mata orang lain atau kesengsaraan seumur hidup.

Mercun bukan alat hiburan biasa. Ia adalah bahan letupan, sebutan yang sepatutnya sudah cukup membuat seseorang berfikir dua kali sebelum mendekatinya.

Setiap tahun, hospital menerima pesakit yang kehilangan jari, terbakar muka atau mengalami kecederaan kekal kerana mercun. Ada yang kehilangan penglihatan. Ada yang kehilangan nyawa. Malah, ada yang kehilangan rumah kerana letupan kecil itu mencetuskan kebakaran besar. 

Namun, bahaya mercun tidak berhenti di situ. Asapnya pula mengandungi logam berat seperti barium, strontium dan tembaga iaitu bahan kimia beracun yang kekal di udara, meresap ke tanah dan akhirnya mencemari sumber air. 

Kajian menunjukkan tahap zarah halus (PM2.5) boleh meningkatkan risiko kesihatan berganda-ganda dan cukup untuk mencetuskan serangan asma dan masalah jantung bagi mereka yang berisiko. Selain itu, bunyi dentumannya yang berterusan boleh menimbulkan tekanan dan gangguan tidur, terutama bagi kanak-kanak, warga emas dan haiwan. 

Undang-undang yang sedia ada sebenarnya cukup jelas. Bermain atau menjual mercun tanpa kebenaran adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, manakala bermain bunga api selepas tengah malam hingga mengganggu ketenteraman awam boleh dihukum di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Namun, realitinya tidak selari dengan caturan peraturan. Budaya mercun telah begitu sebati dalam masyarakat sehingga ramai menganggapnya sebagai tradisi yang tidak wajar dipertikaikan. 

Fahami impak mercun

Oleh itu, adalah penting untuk masyarakat memahami impak mercun dari perspektif keselamatan, kesihatan dan alam sekitar dengan kempen dan penguatkuasaan yang berterusan.

Operasi pemantauan terhadap penjualan mercun haram perlu dipertingkatkan dengan pelaksanaan tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau premis yang menjual tanpa lesen.

Rondaan yang kerap terutamanya pada musim perayaan dapat mengenal pasti kawasan berisiko tinggi, memantau aktiviti penyimpanan bahan letupan serta memastikan semua langkah keselamatan dipatuhi sepenuhnya.

Dalam masa yang sama, masyarakat perlu dididik untuk memahami impak bahaya mercun. Mercun bukan sekadar hiburan tetapi bahan berbahaya yang memerlukan pengendalian profesional dan tanggungjawab sosial. Ia bukan bahan mainan terutamanya bagi kanak-kanak.

Komuniti setempat perlu memainkan peranan aktif dengan melaporkan sebarang aktiviti jualan mercun haram serta bersama-sama memelihara keselamatan kawasan perumahan. 

Selepas setiap pertunjukan bunga api, wajar diadakan operasi pembersihan menyeluruh dan pengurusan sisa bahan kimia secara teratur bagi mengurangkan kesan jangka panjang terhadap alam sekitar dan keseimbangan ekosistem.

Usaha sering terhalang

Namun, usaha baik ini sering terhalang oleh sikap segelintir individu yang beranggapan perbuatan kecil tidak membawa kesan besar. Dari sinilah lahir budaya “tak apa”, yang akhirnya menjadi racun dalam masyarakat kita sendiri.

Ada yang berkata, “Ah, tak apa, aku seorang saja. Apa bezanya?” Namun inilah akar kepada banyak masalah yang lebih besar. Apabila amalan salah yang dianggap kecil dibiasakan, lama-kelamaan ia menjadi norma baharu tanpa kita sedari. 

Apabila ramai berfikir begitu, kesannya besar dan akhirnya menjadi beban yang terpaksa ditanggung bersama. Saat hujan asid turun, udara tercemar dan ekosistem musnah, semuanya tidak memilih mangsa. Ia menimpa diri kita, keluarga, jiran dan seluruh masyarakat, tanpa mengira siapa puncanya.

Walaupun niat asalnya adalah mahu meraikan perayaan dengan meriah, tapi tanpa kawalan, keseronokan itu mudah bertukar menjadi tragedi. Satu detik leka boleh menyebabkan kecederaan, kebakaran atau kehilangan yang tidak mampu ditebus.

Nilai semula makna sebenar kemeriahan. Perayaan sepatutnya menjadi detik yang menyatukan keluarga dan masyarakat, bukan punca trauma dan kesedihan.

Apabila memilih untuk meraikan dengan bijak dan sederhana, barulah perayaan menjadi sesuatu yang benar-benar membahagiakan, bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga untuk semua termasuk bumi yang sama dikongsi.

 

Basmin Maarof
Pegawai Kanan
Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia