Bermain mercun: Keburukan dan bahayanya

Bermain Mercun Keburukan Bahaya

Telah menjadi adat dan tradisi sejak zaman dahulu lagi, apabila menjelang ketibaan hari perayaan kaum dan agama di Malaysia, acapkali kita mendengar dentuman bunyi mercun sana-sini gegak gempita bagai berada di medan pertempuran.

Biarpun zaman berubah selari dengan kemajuan dunia global, budaya bermain mercun sudah sebati sebagai hiburan di dalam jiwa sebahagian kecil masyarakat kita tanpa mengira usia dan kaum.

Islam adalah suatu agama yang tidak menyekat fitrah penganutnya untuk berhibur menzahirkan rasa gembira dan seronok dalam menyambut sesuatu perkara. Tambahan pula, umat Islam sememangnya disyariatkan untuk bergembira pada dua hari raya iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.

Pun begitu, Dr Yusuf al Qaradhawi dalam kitabnya Al-Halal Wa al-Haram Fi al-Islam, telah menghuraikan dengan panjang lebar mengenai hiburan dalam Islam dengan menggariskan batasan syarak diatas maslahah (kebaikan) umum dan mengelak mafsadah (kerosakan) daripada berlaku.

Umum mengetahui bahawa mercun yang merupakan bahan letupan yang boleh mengundang kepada bahaya dan kebinasaan. Tanpa perlu kita lihat pun, mendengar bunyinya sahaja pun boleh mengejutkan anak kecil yang sedang tidur.

Apatah lagi bagi mereka yang bermain mercun, lebih-lebih lagi berisiko mengundang bahaya. Firman Allah Azzawajalla dalam Surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”

Berdasarkan ayat tersebut, tidaklah sukar untuk kita memahami bahawa agama telah melarang kita daripada melakukan perbuatan yang boleh menjuruskan diri ke lembah bahaya dan kebinasaan. Termasuk dalam hal ini adalah dengan bermain mercun. 

Perbuatan bermain mercun adalah sangat bahaya bukan sahaja pada diri sendiri bahkan boleh mengundang bahaya kepada jiran tetangga dan komuniti masyarakat sekeliling.

Lebih besar daripada itu, boleh menyebabkan kebakaran akibat kecuaian bermain mercun. Dalam sebuah hadis riwayat Imam Ahmad dan Ibnu Majah, sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

“Tidak ada kemudaratan dan tidak boleh membuat kemudaratan.”

Secara tidak langsung, budaya bermain mercun ini mengundang bahaya dan boleh memberikan mudarat kepada diri dan orang lain, dan hal itu ditegah dan dilarang oleh Islam.

Sebahagian kita barangkali tidak berasa ‘berdosa’ bermain mercun membuat bising sana-sini, tetapi sedarkah kita bahawa junjungan besar Nabi kita Muhammad SAW sangat melarang umatnya membuat kemudaratan.

Andai pun kita tidak takut dengan undang-undang negara, namun patuhilah larangan ini yang disebutkan oleh insan yang paling agung dan yang kita semua muliakan.

Pada masa sama, dalam keadaan tidak sedar, budaya bermain mercun ini juga telah membawa kita kepada pembaziran wang dan masa.

Tidak keterlaluan untuk kita katakan mereka yang membeli mercun merbahaya umpama membakar wang ringgit mereka sendiri.

Ini kerana perbuatan bermain mercun tersebut tidaklah sedikit pun memberikan manfaat bahkan mengundang mudarat pula. Ingatlah kita akan firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’ ayat 27 yang bermaksud:

“Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan.”

Dalam Tafsir Ibnu Kathir, Ibnu Mas’ud RA dan juga Ibnu Abbas RA telah berkata :

“Tabzir atau pembaziran adalah membelanjakan (infak) sesuatu bukan pada jalan yang sebenar. Imam Qatadah pula berpandangan yang dinamakan pembaziran adalah mengeluarkan nafkah dalam bentuk maksiat kepada Allah, pada jalan yang salah dan pada jalan untuk berbuat kerosakan.”

Kita juga perlu ingat akan sebuah hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim, baginda Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kamu menderhaka ibu bapa, membunuh anak perempuan, menegah daripada banyak karenah, benci bercakap yang bukan-bukan dan banyak soal serta membazir harta.”

Berdasarkan pemahaman firman Allah dan hadis tersebut, Islam sangat melarang keras dan menegah dengan ketegasan pada umatnya supaya kita tidak melakukan pembaziran dalam kehidupan.

Termasuk dalam hal ini adala membuat pembaziran dengan membelanjakan wang ringgit untuk membeli mercun, langsung tidak memberi faedah dan manfaat walaupun pada sekecil-kecil kebaikan.

Kita juga boleh memahami bahawa budaya membazir bukanlah suatu kesalahan yang kecil dan remeh. Ini kerana, mereka yang melakukan perbuatan membazir itu diiktiraf oleh Allah SWT sebagai saudara syaitan. Seburuk-buruk dan sehina-hina teman adalah bersaudara dengan syaitan.

Akibat budaya bermain mercun juga akan mengganggu gugat ketenteraman dan keharmonian hidup berjiran. Bunyian dentuman mercun gegak gempita ini kadangkala mengejutkan anak-anak kecil yang sedang enak tidur.

Adakalanya juga ia menganggu-gugat kerehatan jiran ketika berada di rumah. Hal ini tidaklah baik dan berdosa atas perbuatan tersebut. Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata baik atau diam. Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.”

Islam mewajibkan kita untuk memuliakan jiran tetangga dengan tidak mengganggu dan melakukan perkara-perkara yang boleh menggugat ketenteraman dan keharmonian hidup berjiran.

Seandainya kita berada dalam keadaan jiran mengganggu kita, sudah pasti kita tidak selesa dan suka dengan keadaan itu. Demikian juga kita perlu berwaspada dan menjaga tingkah laku kita agar tidak melakukan perkara yang sedemikian.

Sifat orang Muslim itu hendaklah tidak melakukan perkara yang boleh mengundang kemarahan dan kesakitan kepada saudara semuslimnya. Malah, perkataan ‘Islam’ itu sendiri membawa makna sejahtera, aman dan damai.

Maka logikkah kita membudayakan bermain mercun berbahaya sedangkan sifat orang Islam itu sendiri mesti bersifat selamat dan sejahtera. Selamatkah kita dengan perbuatan bermain mercun tersebut?

Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Orang Islam itu adalah orang Islam yang lain selamat dari lidahnya dan tangannya”.

Ibnu Battal RA dalam Syarah Sahih al-Bukhari ketika menghuraikan hadis ini menyatakan bahawa:

“Maksud hadis ini adalah dorongan agar seorang Islam tidak menyakiti orang Islam yang lain dengan lisan, tangan dan seluruh bentuk yang membawa kepada menyakiti orang lain.”

Demikianlah beberapa sudut pandang Islam berkenaan budaya buruk dan tidak bertamadun ini, bermain mercun membakar wang ringgit, mengganggu kejiranan dan yang lebih teruk, melakukan perbuatan membazir yang dianggap sebagai saudara syaitan.

Seharusnya para ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak agar tidak bermain mercun berbahaya ini yang padanya tiada langsung kebaikan.

Para pemimpin masyarakat juga seharusnya memainkan peranan penting bagi memastikan hak kejiranan rukun tetangga terjaga dan terpelihara. Semoga Allah ampuni kita semua.

 

Muhammad Faidhi Azis
Pegawai Masjid dan Guru Takmir JAIPs

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia