Lemah pendaftaran pemilih, jauhi momokan perkauman

“Hari ini di negara kita, dapat menyaksikan bahawa kaum Melayu yang beragama Islam paling lemah mendaftar untuk menjadi pengundi kerana berjaya dirasuk oleh syaitan-syaitan warisan penjajah dahulu. Dalam keadaan bangsa lain yang bukan Islam pula saling berlumba dengan mengambil peluang untuk merampas kuasa politik,” tulis beliau dalam salah satu perenggan.

 

Amalan biasa politik perkauman

 

Setelah membaca keseluruhan hantaran berkenaan, para pembaca boleh mengikuti pola penulisan yang berpenghujung dengan meletakkan dakwaan kepada warganegara Malaysia Muslim dan bukan Muslim seperti perenggan di atas.

 

Dalam hantaran tersebut, beliau telah mendakwa bahawa pendaftaran mengundi yang rendah dalam kalangan etnik Melayu adalah susulan daripada “rasukan syaitan warisan penjajah” dan “bangsa lain yang bukan Islam pula saling berlumba dengan mengambil peluang untuk merampas kuasa politik”.

 

Pendekatan yang diambil oleh beliau dalam hantaran tersebut merupakan satu pendekatan klasik yang digunakan oleh parti-parti berasaskan etnik dan agama untuk meningkatkan serta mengukuhkan tahap sokongan masing-masing.

 

Kaedah tersebut berkesan dengan memaparkan etnik sendiri sebagai mangsa keadaan politik semasa dan etnik lain sebagai satu kumpulan yang dilihat cuba menguasai serta mencabar kuasa politik yang dipegang oleh etnik majoriti.

 

Bukan ‘rasukan syaitan’ tapi sikap peribadi

 

Sebagai rakyat kebanyakan untuk memahami asas penghujahan beliau ini tidak memerlukan kepada penguasaan ilmu mantik yang tinggi mahupun kemahiran siasah yang luar biasa, cukup sekadar kita menilai beberapa pandangan dan fakta berikut sebelum membuat kesimpulan yang rasional tanpa dikelabui sudut pandang dari kanta perkauman.

 

Statistik terkini menyebut bahawa terdapat 4.2 juta penduduk berusia 21 tahun ke atas belum mendaftar sebagai pemilih dan jumlah tersebut mewakili 22 peratus daripada keseluruhan rakyat yang layak mengundi.

 

Berdasarkan data Disember 2017 daripada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dan unjuran Jabatan Statistik Malaysia (2016-17), Tindak Malaysia telah membuat unjuran dan mendapati 17 peratus etnik Melayu di Semenanjung Malaysia yang layak mendaftar sebagai pemilih tetapi belum berbuat demikian pada tahun 2017.

 

Sebagai perbandingan kepada unjuran terhadap etnik Melayu di atas, Tindak Malaysia mendapati bahawa 13 peratus etnik Cina dan 23 peratus etnik India di Semenanjung Malaysia yang layak mengundi tetapi belum mendaftar pada tahun 2017. Secara peratusan, perbezaannya adalah tidak ketara antara etnik Melayu dan etnik Cina. Namun peratusannya adalah agak tinggi bagi etnik India.

 

Laporan Berita Harian yang diterbitkan pada 27 Januari 2021 melaporkan Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalruddin Ishak telah menyebut bahawa pendaftaran sebagai pemilih bergantung kepada sikap individu.

 

Dalam laporan yang sama, bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar pula menyenaraikan sikap dan mentaliti antara punca orang Melayu tidak melakukan sedemikian apabila mencapai usia 21 tahun.

 

Laporan itu turut menyebut terdapat beberapa kajian SPR dengan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) lebih 10 tahun lalu mendapati kurangnya kesedaran dan sikap sambil lewa mengenai tanggungjawab sebagai pengundi.

 

Berdasarkan angka dan pandangan yang telah disebutkan, peranan ‘rasukan syaitan’ yang didakwa menjadi penyumbang terhadap kadar pendaftaran pemilih yang rendah daripada kalangan etnik Melayu yang layak mendaftar adalah tidak berasas. Sebaliknya kesedaran dan sikap individu yang menjadi pokok perbincangan.

 

Pendidikan demokrasi, bukan momokan perkauman

 

Lantaran itu, pendidikan demokrasi dan kesedaran pengundi perlu diberi keutamaan dalam menangani isu sikap seperti yang disebutkan dalam laporan-laporan berita yang dipetik. Langkah yang melibatkan pendidikan dan kesedaran politik ini adalah penting bagi mewujudkan bakal pengundi yang menyedari dan memahami nilai-nilai asas dalam demokrasi dan bagaimana ianya berfungsi.

 

Secara purata, rakyat Malaysia menggunakan 30 peratus daripada waktu seharian mereka dengan melayari Internet dan hampir tiga jam sehari melayari media sosial. Data ini memungkinkan penggunaan media sosial dimanfaatkan sebaiknya dalam menyampaikan mesej-mesej berkenaan asas-asas demokrasi dan kesedaran untuk mendaftar sebagai pemilih.

 

Peningkatan penggunaan platform pertemuan dalam talian yang berkembang pesat perlu dipertimbangkan sebagai saluran pendidikan demokrasi dan politik.

 

Tambahan pula, Undi 18 dan sistem pendaftaran pemilih secara automatik yang dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya pada Julai 2021 diharapkan dapat mengurangkan momokan perkauman yang kebiasaannya menjadi pendekatan parti-parti politik berasaskan kaum dan agama dalam meningkatkan tahap sokongan terhadap parti mereka dengan menggunakan faktor ketakutan terhadap etnik lain.

 

Mengharapkan penyelesaian parti agama

 

Dalam iklim hubungan antara kaum yang semakin keruh, perenggan yang mendakwa “bangsa lain yang bukan Islam pula saling berlumba dengan mengambil peluang untuk merampas kuasa politik” adalah tidak diperlukan dalam situasi hubungan antara kaum kini berhajatkan kepada usaha pemulihan yang memerlukan penglibatan pelbagai pihak.

 

Sebagai tokoh politik yang berpengaruh, beliau sepatutnya memanfaatkan hantaran media sosialnya untuk mempromosi dan memperkukuh perpaduan nasional serta kesepaduan sosial. Tambahan pula, hantaran tersebut perlu disertakan dengan dalil berasaskan data yang berkenaan bagi mengabsahkan hujahnya.

 

Beliau sebaiknya memberi galakan dan kesedaran tentang kepentingan mendaftar sebagai pemilih dari perspektif politik warga dan pembinaan negara serta memperincikan langkah yang perlu dilakukan oleh kaum Melayu untuk mendaftar sebagai pengundi bagi mengatasi dakwaan beliau yang menyatakan bahawa “kaum Melayu yang beragama Islam paling lemah mendaftar untuk menjadi pengundi kerana berjaya dirasuk oleh syaitan-syaitan warisan penjajah dahulu”.

 

Elok juga disebut mengenai peranan parti beliau sendiri – selain parti-parti lain yang ada di Malaysia – tentang peranan proaktif yang boleh digerakkan melalui kempen pendidikan politik dan pendaftaran pengundi baharu dalam kalangan etnik Melayu.

 

Umum mengetahui rangkaian akar umbi yang dimiliki oleh parti Islam ini dan impaknya kepada peningkatan jumlah rakyat yang mendaftar sebagai pengundi jika kempen pendaftaran dilaksanakan olehnya. Sekiranya langkah ini telah dijalankan sebelum ini, ianya adalah baik serta wajar dipuji dan diteruskan.

 

‘Warisan penjajah’ yang sepatutnya diberi perhatian oleh beliau adalah jurang ekonomi dan politik perkauman yang diperturunkan sejak Malaysia mencapai kemerdekaan hingga kini. Rakyat memerhati dan menanti model solusi dan dasar awam yang menjurus ke arah penyelesaian masalah rakyat daripada parti yang memperjuangkan idealisme dan nilai-nilai luhur Islam.

 

Dari perkauman menuju pemulihan

 

Menggunakan hujah yang bersifat perkauman tidak menambah sebarang nilai terhadap hantaran tersebut. Ianya juga tidak membawa ke arah proses pembinaan negara yang baik dalam suasana Malaysia perlu melalui pemulihan ekoran pandemik Covid-19 yang melanda.

 

Tambahan pula, ia juga tidak menyumbang ke arah kematangan serta kecelikan berpolitik dalam kalangan warganegara Malaysia. Justeru itu, kepentingan untuk menyemarakkan pendidikan demokrasi dan kesedaran berpolitik perlu ditekankan dari masa ke masa serta menjauhi penggunaan sentimen perkauman bagi meningkatkan sokongan politik.

 

Bagi rakyat yang telah mencapai umur kelayakan mengundi 21 tahun tetapi belum mendaftar, kita perlu mengambil langkah proaktif untuk mendaftar sebagai pemilih walaupun sistem pendaftaran secara automatik belum dilaksanakan.

 

Sekurang-kurangnya, ini adalah penglibatan minima kita dalam proses demokrasi di Malaysia sebelum tiba waktu pilhan raya untuk memilih calon yang kompeten dan berintegriti.

 

Awang Ilham adalah koordinator program di Pusat Komas, NGO yang mempromosikan nilai-nilai demokrasi, keadilan dan kesaksamaan di Malaysia.

 

Nota dan rujukan:

1. Facebook (2021). “Mencetuskan Keraguan Kerja Syaitan”Diakses di https://www.facebook.com/abdulhadiawang/posts/3649713508447074

2. Utusan Malaysia (2020). “4.2 juta penduduk belum daftar pemilih”. Diakses di https://www.utusan.com.my/premium/2020/09/4-2-juta-penduduk-belum-daftar-pemilih/

3. Tindak Malaysia adalah sebuah NGO yang memperjuangkan reformasi pilihanraya menggunakan data dan teknologi terkini. Maklumat lanjut boleh diakses di http://www.tindakmalaysia.org/

4. Berita Harian (2021). “Sikap punca ramai orang Melayu tidak daftar pemilih – SPR”. Diakses di https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/01/780467/sikap-punca-ramai-orangmelayu-tidak-daftar-pemilih-spr

5. Yahoo! News (2019). “Getting Malaysian youths into politics: Pundits suggest starting with political literacy lessons.” Diakses di https://malaysia.news.yahoo.com/getting-malaysianyouths-politics-pundits-225928928.html

6. Statista (2020). “Average time spent using online media in Malaysia in Q3 2019, by activity (in hours per day)”. Diakses di https://www.statista.com/statistics/803614/daily-time-spent-usingonline-media-by-activity-malaysia/

7. Malay Mail (2020). “MDA: Video conferencing platforms drive surge in online traffic volume during MCO”. Diakses di https://www.malaymail.com/news/malaysia/2020/04/01/mda-videoconferencing-platforms-drive-surge-in-online-traffic-volume-duri/1852423

8. Berita Harian (2020). “Pengundi 18, daftar pemilih automatik dilaksana Julai 2021”. Diakses di https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/11/749494/pengundi-18-daftar-pemilihautomatik-dilaksana-julai-2021

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia