50 sen, Lee Chong Wei dan kemerdekaan

Samah, lima kupang atau 50 sen merujuk kepada perkara yang sama. Loghat yang berbeza! Itulah jumlah yang penulis terima semasa terlibat dalam perbarisan kemerdekaan semasa di bangku sekolah rendah pada tahun 70-an.

 

Seawal itu kita telah didedahkan tentang materialisme dan habuan. Semuanya boleh dibeli dengan wang. Hatta menyambut kemerdekaan pun harus dibeli hati dan jiwa kanak-kanak yang tidak mengerti apa-apa.

 

Didikan itulah yang ditanam dalam sanubari anak-anak ketika itu. Wang bukanlah segala-galanya walaupun segala-galanya memerlukan wang.

 

Kita adalah apa yang kita dibentuk dengannya. Kemerdekaan adalah sesuatu yang sakral yang perlu dihayati sepenuh jiwa dan raga. Tapi apa ertinya jika sedari awal ditanam dengan materialisme sedangkan punca perpecahan, kuasa dan perbalahan adalah daripada harta.

 

Dalam salah satu babak filem Lee Chong Wei yang ditayangkan di Astro 25 pada Hari Malaysia 2021, badminton dijadikan alat pertaruhan untuk mendapatkan sedikit habuan kewangan.

 

Walaupun tiada sari kata, filem itu berjaya menonjolkan bahawa sukan dapat menyatukan rakyat pelbagai bangsa dan agama sama seperti filem Ola Ola Bola. Apa yang menarik di saat awal penglibatan Lee Chong Wei, ayah beliau menentang kerana terkenangkan sahabatnya Azmi yang mati kerana badminton.

 

Ramai yang mendakwa semangat kebangsaan telah pudar dewasa ini. Antara punca yang disebut ialah pendidikan yang didakwa telah gagal menghasilkan rakyat yang cintakan tanah air.

 

Pendidikan seharusnya membina perpaduan dan harmoni dalam kalangan rakyat sepertimana sukan yang menyatukan, mendamaikan dan memberi kegembiraan ketika menang dan kekecewaan secara bersama ketika kalah.

 

Covid-19 bagaimanapun menghambat pendidikan formal dan tidak formal yang diterima pelajar-pelajar di Malaysia, baik yang muda mahupun yang tua. Benteng pemisah juga terbina daripada pandemik yang tidak dijangka ini.

 

Benteng pemisah ini akhirnya menyuburkan prejudis dan prasangka yang akhirnya boleh memburukkan lagi keadaan dan melebarkan benteng pemisah sama ada etnik, agama, digital, kaya dan miskin.

 

Harapan masih ada untuk negara tercinta ini walaupun sentiasa berdepan dengan halangan dan rintangan. Usaha ke arah penambahbaikan hubungan antara kaum masih berterusan dan antaranya yang perlu dipuji ialah langkah yang diambil oleh Pertubuhan Ikram Malaysia.

 

Antara inisiatif yang diambil oleh pertubuhan bukan kerajaan ini ialah mengadakan Sambutan Bulan Kebangsaan 2021 yang bermula pada 15 Ogos 2021 dan berakhir pada 16 September yang lalu.

 

Pelbagai aktiviti telah disusun oleh Pertubuhan Ikram Malaysia sepanjang sebulan sambutan tersebut diadakan agar negara Malaysia baharu dibina dan perpaduan nasional berjaya dipupuk dalam kalangan rakyat.

 

Antara aktiviti yang disusun ialah Projek #MerdekaBersama iaitu memberi hadiah kepada jiran atau rakan berlainan kaum, video perpaduan, pertandingan bercerita kanak-kanak, permainan dalam talian untuk remaja, poster digital, Bicara Bina Negara dan juga penulisan artikel-artikel.

 

Apa yang menarik daripada aktiviti sebulan itu ialah pelancaran lagu patriotik oleh Pertubuhan Ikram Malaysia dengan kerjasama SampaiJadi Records. Dan lebih menarik lagi, lirik, lagu, muzik dan penyanyinya diusahakan oleh anak-anak muda yang cintakan tanah airnya bertajuk ‘Selamanya Malaysia’.

 

Malaysia bagaimanapun tidak boleh merdeka daripada bertunjangkan kepada agama Islam yang menjadi agama rasmi negara. Malaysia negara bertuah, dicipta untuk rakyat majoritinya berkongsi dengan rakyat minoriti lain yang tidak sama etnik, bangsa, bahasa, rupa kulit mahupun agama.

 

Sebagai negara yang bertunjangkan agama Islam sebagai agama rasmi negara, al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW mestilah menjadi rujukan utama dalam segala urusan kehidupan negara dari Istana, pejabat kerajaan Putrajaya, wisma-wisma negeri, bandar-bandar dan kampung-kampung, apatah lagi dalam kehidupan peribadi.

 

Antara inti al-Quran, merujuk kepada kehidupan bermasyarakat, beberapa sendi kehidupan disentuh. Antara yang terpenting ialah kehidupan dalam suasana rujuk merujuk, bincang membincang untuk membina undang-undang yang terbaik bagi negara tercinta.

 

Dalam kata lain, suasana bersyura hendaklah dilihat hidup, dilaksana dan dimuliakan agar rahmat Allah hadir dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Apatah lagi di saat negara berdepan dengan pandemik, buah fikiran pemegang taruh dalam negara haruslah digemblengkan dan solusi terbaik difikirkan.

 

Simbol syura meluas dilaksanakan dalam konteks negara ialah terlaksananya sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dengan memperuntukkan masa yang berpadanan untuk setiap isu yang melanda negara dan negeri. Ahli-ahli kedua-dua sidang juga hendaklah dalam kalangan mereka yang beradab, kompeten dan berintegriti.

 

Setelah lebih 60 tahun merdeka, sendi-sendi utama kehidupan bernegara yang dibina melalui kesepakatan hendaklah dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.

 

Mudah-mudahan dengan kesungguhan yang mengalir ke seluruh urat nadi masyarakat berbilang kaum di negara ini akan dapat meruntuhkan benteng pemisah di antara kita dan seterusnya membina negara Malaysia yang harmoni dan bersatu padu.

 

Kepentingan mengambil keputusan bersama-sama pemegang taruh dapat dilihat dalam salah satu babak filem Lee Chong Wei, keputusan secara bersama telah diambil sama ada untuk mengekalkan beliau mewakili negara ataupun tidak.

 

Datuk Misbun Sidek selaku jurulatih yang dilakonkan oleh artis ternama, Rosyam Noor memberi pandangan dalam mesyuarat sehingga kita menyaksikan lahirnya jaguh badminton negara yang terbilang.

 

Dr Ahmad Zainuddin Abdullah
Pengerusi Ahli Lembaga Koperasi Islah Malaysia Berhad

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia