Perhimpunan aman yang dianjurkan oleh gabungan 30 badan bukan kerajaan (NGO) itu mengajak rakyat negara ini berdiri teguh di belakang rakyat Syria yang menderita dibunuh dan diseksa sejak setahun lalu.
Gabungan NGO yang menggelarkan diri mereka Gabungan Selamatkan Syria (GSS) itu dianggotai antaranya oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN). Mereka adalah NGO utama yang menganjurkan perhimpunan aman ini.
Turut bersama adalah Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dan Persatuan Kebangsaan Islam Malaysia (PKPIM), Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Syrian Students Association, DACS Shah Alam, Global Peace Malaysia (GPM), World Assembly of Muslim Youth (WAMY) Malaysia, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS).
NGO lain adalah Era Consumer, Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM), Lawyers For Liberty (LFL), Community Action Network (CAN), Persatuan Masyarakat Wilayah Persekutuan dan Selangor (PERMAS), Tenaganita, Muslim Professional Forum (MPF), Persatuan Sahabat Wanita Selangor (PSWS), All Women Action Society (AWAM), Alliance for Media Independence (WAMI), Pusat Komunikasi Masyarakat (KOMAS), Malaysian Physicians for Social Responsibility (MPSR), Yayasan Kebajikan Nusantara (YAKIN), Aqsa Syarif, Malaysia Youth and Students Democratic Movement (DEMA) dan Pusat Pendidikan SRI-SMI Musleh (MUSLEH).
Perhimpunan bermula dengan solat Jumaat di surau Bangunan Tabung Haji yang penuh sesak. Sebaik sahaja doa selepas solat selesai dibacakan, laungan ‘Hidup, Hidup! Hidup Syria!’ bergema. Peserta demonstrasi kemudian bergerak penuh tertib menyusuri Jalan Tun Razak menuju ke bangunan Kedutaan Syria yang jaraknya 2.6 kilometer.
Perhimpunan yang telah mendapat permit polis itu didahului beberapa pemimpin IKRAM, ABIM dan HALUAN di barisan hadapan. Jeritan ‘Allahuakbar’, ‘Selamatkan Syria’, ‘Hancur Kezaliman’ dan lain-lain silih berganti dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Arab. Kira-kira 200 pemuda Syria turut menyertai perarakan ini dengan penuh semangat sambil membawa bendera besar Syria dan sepanduk-sepanduk lain. Mereka bukan sahaja melaungkan slogan dalam bahasa Arab tetapi juga menuturkan beberapa perkataan dalam bahasa Melayu seperti ‘Hidup’ dan ‘Terima Kasih’. Gendang turut dipalu di sepanjang perarakan tersebut.
Sebaik sahaja tiba di hadapan Kedutaan Syria, lima orang pimpinan GSS dipilih untuk menyerahkan memorandum kepada wakil Kedutaan. Mereka adalah Presiden IKRAM, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad; Timbalan Presiden IKRAM, Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom; Setiausaha Agung ABIM, Mohd Raimi Ab Rahim; Pengerusi Biro Relawan HALUAN, Ahmad Fisal Md Salleh dan Pengerusi GSS, Naim Jusri.
Memorandum berjaya diserahkan dan berita gembira itu disambut dengan laungan takbir peserta perhimpunan. Empat tuntutan yang terkandung dalam memorandum tersebut adalah:
1. Kerajaan Syria mesti menghentikan serta-merta segala bentuk kezaliman dan pembunuhan ke atas rakyatnya.
2. Kerajaan Syria mesti membenarkan bantuan kemanusiaan memasuki negaranya.
3. Kerajaan Syria mesti membebaskan segera semua tahanan politik.
4. Bashar al-Assad mesti meletakkan jawatan serta-merta.
Pengerusi GSS, Naim membacakan kembali isi memorandum yang diserahkan itu di hadapan wartawan. Menurutnya, GSS akan terus bermuzakarah membincangkan pelan tindakan seterusnya, malah mungkin akan menemui wakil Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang akan berkunjung ke negara ini tidak lama lagi.
Antara yang turut menyampaikan ucapan adalah Dr Mohd Parid, Jufitri Joha (Naib Presiden Antarabangsa ABIM) Dr Solehuddin (HALUAN) dan Wan Subki Wan Salleh (Pengerusi JK Antarabangsa IKRAM).
Dr Mohd Parid mengucapkan terima kasih kepada semua peserta sambil menyatakan empat tuntutan dalam memorandum yang baru sahaja diserahkan kepada wakil Kedutaan. Prof Dr Mohamed Hatta kemudiannya membacakan doa rabitah sebelum perhimpunan bersurai.
Sementara itu, seorang wakil warga Syria di Malaysia merakamkan ucapan terima kasih atas keprihatinan rakyat Malaysia membela rakyat Syria yang tertindas. Beliau berharap sokongan ini akan berterusan dalam apa jua bentuk kerana pada setiap hari pembunuhan demi pembunuhan berlaku di Syria, dan kebanyakan mangsanya adalah wanita dan kanak-kanak.
Keseluruhan perhimpunan berjalan lancar dan pihak polis juga memberikan kerjasama yang sangat baik.