KUALA LUMPUR – Program Gotong-Royong Perpaduan MADANI 2025 berlangsung meriah melibatkan lebih 200 peserta di Pangsapuri Awam Seri Perlis 2, Kampung Datuk Keramat di sini, pada Ahad, 28 September lalu.
Program yang dianjurkan Pertubuhan IKRAM Malaysia dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Perumahan Awam Seri Perlis 2 ini menyediakan pelbagai aktiviti bagi mengukuhkan perpaduan komuniti dan memupuk gaya hidup sihat.
Antara pengisian menarik termasuk gotong-royong membersihkan kawasan perumahan, pertandingan sukaneka, aktiviti memanah serta senamrobik yang disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat.
SWCorp Wilayah Persekutuan turut menjayakan program ini dengan penganjuran beberapa aktiviti berbentuk pendidikan dan kelestarian alam sekitar.
Antaranya ialah taklimat mengenai pengasingan sisa pepejal serta budaya kitar semula, di samping penganjuran Free Market dan pameran berkaitan.
Program gotong-royong ini turut diserikan dengan Treasure Hunt serta aktiviti Trash to Cash yang berjaya mengumpul sejumlah 376.5 kilogram sisa bernilai RM838.35.
Selain itu, pemeriksaan kesihatan percuma turut disediakan kepada para penduduk bagi menggalakkan gaya hidup sihat dan prihatin terhadap kesejahteraan diri.
Timbalan Pengarah SWCorp Wilayah Persekutuan, Puan Nik Nurbaini Jamaludin yang turut menyertai program ini menzahirkan penghargaan kepada komuniti PA Seri Perlis 2 kerana komitmen tinggi terhadap usaha penjagaan kebersihan dan kelestarian persekitaran.
Program Gotong-Royong Perpaduan MADANI 2025 dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Puan Delin Liet Blaun.
Turut hadir menyerikan program ialah Bendahari IKRAM, Hj. Ismail Yusuff Awang, Ahli JKP En. Mohammad Abdul Hamid, YDP IKRAM Kuala Lumpur, Hj. Zainal Adnan Abdul Halim dan YDP IKRAM Titiwangsa, Sdr. Zul Helmy Abdullah Suhaimi.
Menariknya, para tetamu turut dibawa melawat ke Dapur Digital dan Kedai Coklat komuniti, iaitu inisiatif penduduk setempat berteraskan digital dan keusahawanan tempatan yang kini semakin berkembang.
Program itu juga mendapat sokongan padu daripada rakan kerjasama seperti Pertubuhan Pemuda GEMA Kuala Lumpur, Persatuan Belia Harmoni Malaysia, SWCorp Malaysia, Jabatan Penerangan Kuala Lumpur, Persatuan Penduduk Pangsapuri Awam Seri Perlis 2 serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Gotong-Royong Perpaduan MADANI adalah sebahagian daripada program sempena Sambutan Bulan Kebangsaan (SBK 2025). Selain di Kuala Lumpur, program gotong-royong ini turut diadakan di PPR Jalan Kelochor, Kota Bharu (Kelantan) pada 13 September, Pangsapuri Temenggong, Kulai (Johor) pada 14 September dan juga di Kampung Baru, Bintulu (Sarawak) pada 15 September yang lalu.
Penganjuran gotong-royong ini membuktikan bahawa kerjasama antara NGO, agensi kerajaan dan komuniti setempat mampu membina keharmonian masyarakat, selain menanamkan kesedaran pentingnya gaya hidup sihat dan penjagaan alam sekitar.
Foto program:
PA Seri Perlis 2
PPR Jalan Kelochor
Pangsapuri Temenggong
Kampung Baru