Lawatan yang bertujuan memperkukuh hubungan dan kerjasama antara kedua-dua pihak disifatkan sebagai sangat bermakna selepas tetamu mendengar penjelasan panjang lebar daripada Naib Presiden IKRAM, Hj Zaid Kamaruddin berkenaan sejarah, keahlian, hala tuju serta sistem-sistem pengurusan yang diamalkan IKRAM dalam memacu usaha menjadikan Malaysia sebuah Negara Rahmah.
Selain Hj Zaid, kedatangan pasukan yang diketuai En Muzafar Abd Rahim itu disambut mesra Pengurus Komunikasi Korporat IKRAM Hj Kamarul Zaman Shaharul Anwar serta wakil-wakil dari Jabatan Media, Wanita, Belia dan Remaja serta IKRAM Siswa.
En Muzafar selaku Eksekutif Bahagian Penyelarasan NGO dan Antarabangsa YADIM ternyata gembira dan menyokong usaha-usaha yang dilakukan IKRAM sebagai sebuah NGO yang mempunyai wawasan serta perancangan yang jelas.
Kunjungan bermakna ini selari dengan misi IKRAM iaitu membina kekuatan umat dengan membudayakan pendekatan perkongsian dan permuafakatan. Hasil kunjungan tadi juga membayangkan akan wujud kerjasama seterusnya dalam penganjuran program-program yang dapat memajukan kepentingan umat Islam.