Lawatan Kerja Kementerian Ugama, Pendidikan Brunei di IKRAM

Lawatan Kerja Kementerian Ugama, Pendidikan Brunei di IKRAM

SERI KEMBANGAN – Delegasi Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam membuat lawatan kerja ke Musleh Integrated Education Berhad (MIEB) di Ibu Pejabat Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) hari ini.

Rombongan pegawai daripada kedua-dua kementerian tersebut terdiri daripada tujuh orang yang diketuai oleh Pengarah Pengajian Islam, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar dan Pengarah Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan, Awang Ali Hamdani bin Haji Muhammad Diah.

Kunjungan ini bagi mengetahui peranan MIEB dan hubung kaitnya dengan sekolah dan madrasah yang menggunakan kurikulum agama di Malaysia. 

Di samping itu, lawatan ini turut membincangkan dan berkongsi tentang amalan terbaik mengenai pengurusan dan pembinaan kurikulum persekolahan rendah agama bersepadu. 

Terlebih dahulu, Presiden IKRAM, Hj Badlishah Sham Baharin dalam ucapan aluan-aluannya memperkenalkan IKRAM sebagai rakan strategik pembinaan negara. Beliau menyatakan, IKRAM sudah beberapa kali dijemput untuk terlibat dalam perbincangan berkaitan pembinaan polisi dan dasar negara.

Dalam usaha membina negara, IKRAM sangat mementingkan pembentukan generasi muda yang berkualiti yang bakal menjadi tonggak agama, nusa dan negara.

Atas kesedaran ini, wujudnya sistem pendidikan rangkaian sekolah IKRAM Musleh yang merupakan sistem pendidikan swasta kedua terbesar selepas Dong Zong. 

“Terdapat 63 buah sekolah rangkaian IKRAM MUSLEH dan 21 buah sekolah rakan IKRAM MUSLEH di seluruh negara yang disasarkan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan Islam serantau dan antarabangsa,”  ujar Pengerusi Lembaga Pengarah MIEB, Prof Dr Omar Yaakob ketika membentangkan tentang pendidikan IKRAM MUSLEH. 

Dalam usaha untuk merealisasikan pendidikan yang berteraskan sistem yang holistik, banyak perancangan dan usaha dibuat sejak dimulakan pada tahun 1985. 

Antara pencapaiannya yang membanggakan adalah apabila Kadet Remaja Sekolah (KRS) Musleh diwujudkan dan mendapat pengiktirafan Kementerian Pendidikan Malaysia. 

KRS Musleh adalah badan beruniform yang diwujudkan untuk melengkapkan keperluan pendidikan di luar ruang kelas. Semua sekolah swasta yang ingin mewujudkan program KRS di sekolah perlu menggunakan program KRS Musleh.

Ketua Unit Kurikulum dan Pentaksiran, Dr Hajah Kamaliah Noordin menekankan bahawa matlamat sistem pendidikan sekolah rangkaian IKRAM MUSLEH adalah untuk menghidupkan teori-teori sebagai amalan pelaksanaan di sekolah. 

“Ramai yang mempersoalkan tentang mengapa perlu menubuhkan sekolah baharu apabila sekolah yang sedia ada sudah banyak, “ katanya. Jelasnya, ini disebabkan matlamat penubuhan sekolah IKRAM MUSLEH berbeza daripada sekolah-sekolah yang sedia wujud.

Antara matlamat umum penubuhannya adalah untuk membentuk generasi rabbani yang mampu memartabatkan Islam sebagai rahmah untuk sekalian alam. 

Murid-murid disediakan untuk menjadi pemimpin dan pakar yang berupaya menangani cabaran kontemporari serta menawarkan penyelesaian dalam semua medan kehidupan dan terbina kerangka pemikiran yang menepati tasawwur Islam.

Pertemuan ini telah membangkitkan perbincangan dua hala dan potensi kerjasama pada masa hadapan.

Turut hadir dalam lawatan ini adalah Pengarah Eksekutif MIEB Ustaz Megat Mohamed Amin Megat Mohamed Nor, Timbalan Ketua Unit Kuritaksir Rohida Jamaludin, Bendahari MIEB Abdul Aziz Basri, CEO IEDB Education Services Mohd Tarmizi Munir dan Ahli Lembaga Pengarah IEDB Education Services, Wan Mohd Muzani Wan Muda.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia