Touristic Eastern Express, salah satu laluan kereta api tertua Turkiye (atau Turki) antara ibu kota Ankara dan wilayah timur laut Kars telah menyambung semula perkhidmatannya pada Rabu, 15 Disember lalu.
Laluan kereta api itu yang disambung semula selepas digantung akibat virus Covid-19 yang melanda, menawarkan perjalanan selama 25 jam dengan pemandangan memukau di sepanjang laluan tersebut.
Kereta api arah timur itu bergerak sejauh 1,310 kilometer (814 batu) di antara ibu kota Ankara dengan Kars, dengan melalui beberapa wilayah seperti Kirikkale, Sivas, Erzincan dan Erzurum.
Pengarah Kebudayaan dan Pelancongan Wilayah Kars, Hayrettin Cetin berkata, permintaan terhadap perjalanan kereta api itu telah melebihi jangkaan.
“Orang ramai menghadapi kesukaran untuk mendapatkan tiket sekarang,” tambahnya.
Pelancongan di Kars
Apabila kereta api tiba di perhentian terakhirnya, Kars, penumpang akan berpeluang melihat tempat-tempat bersejarah seperti Istana Kars dan Muzium Bersejarah Tentera Caucasus Front.
Manakala satu lagi mercu tanda yang tersohor ialah bandar purba Ani, yang telah dimasukkan dalam Senarai Warisan Dunia UNESCO pada 2016.
Turki telah banyak melabur untuk membangunkan bandar-bandar di timurnya sebagai destinasi musim sejuk buat para pelancong.
Yang terbaharu, Kementerian Industri dan Teknologi telah menjemput 37 orang duta pelbagai negara untuk menikmati pengalaman musim salji di pergunungan Sarikamis di Kars.
Akiyo Miyajima, duta Jepun ke Turki amat terpesona dengan pemandangan salji yang indah di situ.
“Ia benar-benar pemandangan yang indah memukau, namun barangkali ramai pelancong Asia tidak menyedarinya,” tambah beliau.
Pengunjung juga boleh memilih untuk berjalan kaki atau meluncur di atas Tasik Cildir yang beku, tasik kedua terbesar di timur Anatolia, yang terletak di antara wilayah Ardahan dan Kars.
Apabila ketebalan aisnya mencapai tahap tertentu, ia turut menarik minat kaki pancing yang berpeluang menikmati pengalaman ‘memancing ais’ seperti di Eskimo.
Pelancong juga boleh bermain ski di pusat ski Cebiltepe di daerah Sarikamis, Kars, atau di pusat ski Yalnizcam di Ardahan.
Menteri Industri dan Teknologi, Mustafa Varank berkata, pada tahun lalu mereka menjadi tuan rumah kepada lebih daripada 40 juta pelancong, akan tetapi kebanyakan mereka melawat Turkiye pada musim panas.
“Kami memiliki potensi besar dari sudut pelancongan dan kami perlu mempromosikan potensi tersebut, terutamanya sebagai destinasi pelancongan musim sejuk,” ujarnya.
Penjenamaan Turkiye
Nama ‘Turkiye’ akan digunakan dalam semua jenis aktiviti dan surat-menyurat, bukannya frasa seperti Turki, Turkei dan Turquie, menurut pekeliling yang dikeluarkan oleh Presiden Recep Tayyip Erdogan.
Presiden Recep Tayyip Erdogan mengeluarkan pekeliling berkenaan pada 3 Disember menjelaskan, keputusan itu bertujuan untuk memelihara nilai-nilai yang datang dari sejarah negara Turki yang berakar umbi, serta bertujuan mengukuhkan jenama negara.
“Frasa Turkiye mewakili dan memperlihatkan budaya, tamadun dan nilai negara Turki dengan cara terbaik,” katanya.
“Dalam konteks ini, frasa “Made in Turkiye” kini digunakan dan bukannya “Made in Turkey” pada produk eksport kami, yang menjadi kebanggaan negara dalam perdagangan antarabangsa.”
Jenama Turkiye mewakili beribu-ribu tahun pengalaman negara itu dalam setiap bidang. Pengarah Komunikasi Presiden, Fahrettin Altun memuji keputusan tersebut.
“Satu lagi langkah berharga telah diambil untuk mengukuhkan jenama Turkiye,” katanya dalam ciapan Twitter beliau.