Sepuluh malam terakhir Ramadan merupakan fasa yang paling kritikal dan berharga dalam kalendar ibadah seorang Muslim. Ia adalah waktu yang paling dicintai oleh baginda Nabi SAW kerana padanya terdapat lailatulqadar, malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan.
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam lailatulqadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam lailatulqadar itu? Malam lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan.”
“Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!” (Surah al-Qadr: 1-5)
Apabila masuk sahaja fasa sepuluh malam terakhir Ramadan ini, baginda melipatgandakan amal ibadah melebihi waktu-waktu yang lain. Amalan ini bukan sekadar rutin, tetapi merupakan satu “pecutan terakhir” untuk meraih keredaan Allah SWT dan memburu lailatulqadar.
Yang berikut adalah amalan-amalan utama Nabi SAW sepanjang tempoh tersebut:
1. Menghidupkan malam (Qiamullail)
Nabi SAW tidak menghabiskan malam-malam terakhir ini dengan tidur yang lama. Baginda berjaga dan menghidupkan malam dengan bersungguh-sungguh untuk beribadah seperti solat sunat, berzikir dan membaca al-Quran. Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa:
“Rasulullah SAW bersungguh-sungguh (dalam beribadah) pada sepuluh yang terakhir (daripada bulan Ramadan) melebihi ibadah baginda pada (hari-hari) selainnya.” (HR Muslim, 1175)
2. Mengejutkan ahli keluarga
Nabi SAW bukan seorang yang mementingkan diri dalam beribadah. Baginda memimpin dengan teladan dan memastikan ahli keluarganya tidak ketinggalan dalam meraih keberkatan.
Baginda mengejutkan isteri-isteri dan anak-anak untuk bangun bersolat dan berdoa. Daripada Aisyah r.a. beliau berkata:
“Nabi SAW apabila masuknya sepuluh hari terakhir (bulan Ramadan), baginda akan mengetatkan ikatan di pinggangnya, baginda menghidupkan malam harinya, dan baginda membangunkan ahli keluarganya (untuk beribadah).” (HR Bukhari, 2024)
Amalan ini mendidik kita bahawa tanggungjawab seorang ketua keluarga adalah untuk memimpin seluruh isi rumah ke arah keselamatan di akhirat, terutamanya pada malam-malam yang penuh rahmat ini.
3. Iktikaf
Iktikaf adalah amalan menetap di dalam masjid dengan niat ibadah, dan ia adalah sunnah muakkadah (sunnah yang sangat dituntut) yang dilakukan oleh Nabi SAW setiap tahun.
Diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar r.a. bahawa: “Rasulullah biasa beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan.” (HR Bukhari, 2025)
Di sana, fokus baginda adalah amal ibadah. Ini adalah cara terbaik untuk “memerangkap” keberkatan lailatulqadar kerana seseorang itu berada dalam keadaan beribadah secara berterusan sepanjang masa apabila berada di masjid.
4. Memperbanyak bacaan al-Quran
Pada bulan Ramadan, terdapat peristiwa agung iaitu peristiwa turunnya al-Quran yang menjadi sumber hidayah dan petunjuk buat sekalian umat manusia. Firman Allah SWT bermaksud:
“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” (Surah al-Baqarah: 185)
Melalui amalan membaca al-Quran, pahalanya dilipatgandakan oleh Allah SWT. Ia termasuk amal kebajikan pada bulan Ramadan, lebih-lebih lagi pada sepuluh malam akhirnya. Ayuh perbanyak bacaan al-Quran pada waktu ini bagi memberatkan neraca amalan kebaikan kita.
5. Memperbanyak zikir dan doa keampunan
Sepuluh malam terakhir Ramadan adalah waktu keemasan untuk memperbanyak zikir kepada Allah SWT. Andai lailatulqadar tiba, sudah pasti ganjarannya berlipat ganda.
Selain itu, strategi utama Nabi SAW dalam memburu lailatulqadar adalah dengan memohon keampunan. Baginda mengajarkan doa yang pendek namun sangat padat:
اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
“Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Engkau menyukai pengampunan, maka ampunilah aku.” (HR Ibnu Majah, 3850)
Doa ini boleh dibaca sepanjang bulan Ramadan, khususnya pada sepuluh malam terakhir untuk memburu lailatulqadar. Doa ini menekankan sifat Allah yang Maha Pemaaf (al-’Afuww), iaitu memaafkan sehingga seolah-olah dosa tersebut tidak pernah wujud dalam catatan amal.
6. Memperbanyak sedekah dan infak
Sedekah dan infak merupakan antara amalan yang paling menonjol dalam kehidupan Nabi SAW, namun pada bulan Ramadan, sifat pemurah baginda berubah menjadi sesuatu yang luar biasa. Ibnu Abbas r.a. menggambarkan kemurahan hati Nabi SAW dengan perumpamaan yang sangat indah:
“Rasulullah SAW adalah manusia yang paling pemurah, dan baginda menjadi paling pemurah pada bulan Ramadan… Sesungguhnya Rasulullah SAW lebih pemurah dalam melakukan kebaikan berbanding angin yang bertiup kencang.” (HR Bukhari, 3554)
Selain itu, Nabi SAW sangat menggalakkan umatnya memberi makan orang yang berpuasa. Baginda bersabda:
“Sesiapa yang memberi makan berbuka kepada orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa dikurangkan sedikit pun pahala orang yang berpuasa tersebut.” (HR Tirmidzi, 807, Sahih)
Walaupun Nabi SAW hidup dalam keadaan sederhana, baginda tetap mengutamakan orang lain. Sedekah dan infak dalam bentuk makanan ini bukan sahaja mengenyangkan fizikal, malah mengeratkan ukhuwah sesama Muslim.
Peluang terakhir?
Secara keseluruhannya, amalan Nabi SAW pada sepuluh malam terakhir adalah kombinasi antara kekuatan fizikal (berjaga malam), kecekalan mental (fokus iktikaf) dan kelembutan rohani (doa dan munajat).
Baginda mengajar kita bahawa penghujung Ramadan bukanlah masa untuk letih atau bersiap dengan persiapan raya semata-mata, tetapi ia adalah garisan penamat yang memerlukan usaha paling maksimum.
Ayuh manfaatkan 10 malam terakhir Ramadan kali ini dengan sebaik-baiknya untuk bertemu dengan malam lailatulqadar! Anggaplah ia sebagai peluang terakhir kerana kita tidak dapat menjamin akan bertemu lagi Ramadan yang akan datang.
Mohammad Hafizuddin Abdul Mukti
Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia




