Program Qiamullail yang dinamakan dengan “Operasi Sembahyang Malam” (OSEM) mengumpulkan beberapa kumpulan usrah belia berqiamullail kebiasaannya diadakan pada setiap Sabtu minggu kedua setiap bulan.
Namun, ditakdirkan Allah pada bulan ini, OSEM ditukarkan pada hari Rabu malam hingga pagi Khamis lalu di sini atas sebab-sebab tertentu.
Selepas solat Isyak sebelum kejadian, Belia IKRAM Shah Alam dan Jom Usrah! (JUS!) turut menganjurkan JUSTalk yang bertajuk “Hutang oh Hutang! Bila Nak Selesai!?” yang telah disampaikan oleh Prof Dr Mohd Nazari Ismail.
Berikut adalah catatan salah seorang daripada ahli kumpulan usrah belia tersebut:
“Malam 15/10/2014, saya dengan usrahmates ada usrah di Surau Mawaddah Seksyen 7 Shah Alam. Sekitar pukul 2.00 pagi (dah masuk 16/10/2014), kami pun prepare untuk tidur sebab sebelum Subuh nanti ada Qiamulail.
Waktu saya bentangkan bedding, saya terdengar suara tangisan bayi. Suara tu dekat sangat bunyinya. Terus terlintas di kepala, buang bayi?! Saya beritahu seorang usrahmate. Apabila kami periksa arah bunyi, SAH! Bayi ditinggalkan di pintu masuk surau bahagian depan.
Terus kami kejutkan kawan-kawan yg sudah melelapkan mata. Kami kembali ke tempat bayi yang dibalut dengan kain ‘gaun dalam wanita’ itu. Semuanya beristighfar, mengucap takbir. Salah seorang mengazankan bayi lelaki itu.
Tali pusat dan darah bersalin masih bersisa di tubuh bayi itu. Alhamdulillah bayi itu sihat, tiada luka. Alhamdulillah juga, salah seorang usrahmate saya adalah doktor di Hospital Klang. Segera dia mendapatkan medical kit di keretanya, sementara yang lain menelefon pihak polis, ambulans dan pihak surau.
Bayi itu kami alihkan dari balutan gaun dalam, kepada tuala kecil dan blanket milik usrahmates saya. Alhamdulillah, polis tiba dan mengambil keterangan ringkas. Beberapa foto diambil untuk dijadikan bahan bukti.
Selang beberapa ketika, pihak ambulans datang. Sementara ustaz bagi pihak surau berkata, “Kita namakan dia Abdullah Mawaddah.” Kemudian usrahmate saya sambung, “Abdullah Mawaddah Jalan Platinum.”
Apa-apa pun, ini first time saya berdepan dengan situasi sebegini. Daripada mengantuk nak tidur, jadi fresh. Malah, saya dan dua orang usrahmates pergi ke IPD Shah Alam untuk keterangan lanjut dan terperinci. Pukul 5.00 am barulah selesai segalanya.
Terima kasih kepada usrahmates saya yang pantas bertindak. Terima kasih pihak polis, pihak ambulans dan pihak surau yang menjalankan tugas dengan cekap. Paling utama terima kasih ALLAH (alhamdulillah) kerana mengizinkan Abdullah Mawaddah sempat diselamatkan.
Kawan-kawan, jauhilah zina. Saya merayu, jauhilah zina.”
Kini, bayi tersebut ditempatkan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan berada dalam keadaan yang stabil dan sihat. Alhamdulillah.
Sumber: http://on.fb.me/1olmlYy