Kuil Haram: 5 Prinsip Tangani Isu Agama dan Kaum

kuil haram

Aidilfitri bukan sekadar perayaan kemenangan selepas Ramadan. Kemenangan ini ditandai pada hati yang lebih bersih yang terpancar pada kemuliaan akhlak setelah jiwa kembali kepada fitrah.

Jemputan jamuan rumah terbuka yang dihadiri oleh tetamu pelbagai etnik dan agama melambangkan perkongsiaan kegembiraan kemenangan merentasi batas bangsa dan kepercayaan. Rasa seronok berkongsi kegembiraan itu nikmat daripada Tuhan.

Tuhan memberikan nikmat kekuatan dan kepelbagaian apabila diciptakan macam-macam bangsa yang beraneka rupa dan bertutur pelbagai bahasa daripada beraneka budaya. Ia suatu keindahan tapi kadangkala bertukar rupa disebabkan kehodohan perangai manusia.

Di sinilah kita perlu kembali kepada prinsip yang diajar oleh Allah SWT:

“Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal (lita’arafu), bukan untuk saling bermusuhan.” (Surah al-Hujurat: 13)

Di sinilah indahnya Syawal, apabila perbezaan tidak menjadi jurang, tetapi jambatan yang mendekatkan. Ia tidak menjadi sekadar perayaan, tetapi ruang untuk membina kefahaman dan menyuburkan kasih sayang sesama insan.

Justeru, Syawal seharusnya menjadi titik memperkasakan harmoni bukan sekadar di meja jamuan, tetapi menyelesaikan perbezaan atau ketidakseragaman yang wujud dalam masyarakat  dengan hikmah dan bijaksana. 

Perbezaan bukan ancaman. Ia adalah asas untuk taaruf, saling memahami dan saling membantu. Mengapa perlu bergaduh jika boleh berbincang dengan santun dalam keadaan semua pihak ikhlas mencari keadilan dan kebenaran tanpa niat terselindung

Sering kali isu sensitif bermula kecil, sekadar pertikaian setempat atau kekeliruan pentadbiran. Namun, bak kata peribahasa “api kecil menjadi kawan, besar menjadi lawan”, apabila maklumat tidak jelas dan tindakan pihak berkuasa lewat, ia mudah membesar menjadi polemik kaum dan agama.

Hak diiringi tanggungjawab 

Perkara pertama yang perlu difahami ialah setiap hak mesti datang bersama tanggungjawab. Tiada pihak boleh melihat haknya secara terpisah daripada kesan terhadap orang lain.

Apabila sesuatu pihak menuntut hak, persoalan yang juga perlu ditanya ialah sama ada tuntutan itu memberi kesan kepada hak orang lain juga daripada pelbagai aspek seperti keselamatan, ketenteraman, keharmonian kejiranan atau sensitiviti masyarakat sekitar.

Prinsip ini penting kerana masyarakat hidup dalam ruang yang dikongsi bersama. Jalan raya, hospital, sekolah, kawasan perumahan dan pelbagai kemudahan awam digunakan secara bersama oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Oleh itu, sesuatu tuntutan tidak wajar dinilai daripada sudut satu pihak sahaja, sebaliknya perlu dipertimbangkan secara seimbang antara hak individu atau komuniti, tanggungjawab sosial serta kepentingan awam.

Mempertahankan kepentingan sendiri tidak boleh sampai menjejaskan maslahat yang lebih besar. Dalam isu sensitif, pendekatan yang adil ialah mengakui adanya hak, tetapi pada masa yang sama menilai tanggungjawab dan kesan terhadap orang lain dengan hati yang lebih besar.

Budaya semak dan elak terperangkap “pecah dan perintah”

Banyak pertikaian menjadi tegang apabila masyarakat bertindak tanpa semakan teliti lalu membuat kesimpulan berasaskan emosi, potongan maklumat media sosial atau dakwaan yang belum disahkan. Kekeliruan melebar, salah faham membesar dan isu yang sepatutnya boleh diselesaikan secara tenang akhirnya bertukar menjadi polemik.

Dalam isu yang melibatkan tanah, rumah ibadat, bangunan, penempatan atau kepentingan awam, fakta dan dokumen sah perlu menjadi rujukan utama.

Status tanah perlu disemak, kelulusan pembinaan diperiksa dan penjelasan pihak berkuasa dirujuk. Pendekatan berasaskan bukti ini bukan sekadar prosedur, tetapi asas kepada keputusan yang adil dan diterima semua pihak.

Lebih membimbangkan, ada pihak yang sengaja memanipulasi perbezaan untuk mengalih fokus daripada isu sebenar dengan menukar pertikaian pentadbiran atau setempat seolah-olah menjadi isu kaum atau agama.

Inilah taktik “pecah dan perintah” yang memecahbelahkan masyarakat sehingga konflik yang sepatutnya mudah diselesaikan menjadi berpanjangan dan membuka ruang kepada pihak tertentu mengejar kepentingan sendiri.

Pendekatan yang lebih bijaksana ialah kembali kepada fakta semakan dokumen dan saluran penyelesaian yang betul. Dengan cara ini, keharmonian dapat dipelihara dan nilai saling menghormati terus diperkukuh.

Jangan tunggu sampai isu meletup 

Banyak pertikaian menjadi rumit kerana tindakan diambil terlalu lewat. Apabila sesuatu isu kecil dibiarkan berlarutan, masyarakat mula menganggapnya sebagai perkara biasa atau tidak dipedulikan.

Apabila tindakan hanya diambil kemudian, setiap pihak datang dengan tafsiran, emosi dan kepentingan masing-masing. Pada ketika itu, isu yang sepatutnya boleh diselesaikan secara pentadbiran bertukar menjadi pertikaian awam yang sensitif.

Oleh sebab itu, pihak berkuasa terutamanya yang dipertanggungjawabkan memelihara perpaduan perlu bertindak lebih awal. Menjaga keharmonian bukan sekadar mengeluarkan kenyataan selepas keadaan tegang, tetapi memastikan isu ditangani sejak awal dengan penjelasan yang memuaskan hati, adil dan konsisten.

Penguatkuasaan perlu adil dan konsisten 

Dalam isu sensitif, penguatkuasaan yang tidak konsisten mudah menimbulkan rasa tidak puas hati. Jika sesuatu perkara dibiarkan terlalu lama tanpa tindakan, kemudian tiba-tiba mahu dikuatkuasakan apabila isu menjadi panas, masyarakat akan mempersoalkan keadilan proses tersebut.

Contohnya, peraturan yang berkaitan dengan tanah, bangunan, keselamatan dan kepentingan awam mesti dilaksanakan secara sama rata kepada semua pihak. Persepsi pilih kasih sangat berbahaya dalam masyarakat majmuk kerana ia boleh menimbulkan curiga antara komuniti. Ketegasan yang adil sejak awal jauh lebih baik daripada kelewatan yang akhirnya mencetuskan konflik.

Peranan NGO dan CSO sebagai jambatan komuniti” 

Dalam mengurus isu masyarakat, peranan pihak berkuasa sahaja tidak mencukupi. NGO dan CSO (pertubuhan masyarakat sivil) turut memainkan peranan penting sebagai jambatan antara komuniti. Hubungan rapat mereka dengan masyarakat membolehkan denyut nadi akar umbi difahami lebih cepat, sekali gus membantu meredakan ketegangan sebelum ia membesar.

Melalui dialog antara agama, program ziarah silang budaya dan pelbagai inisiatif komuniti, NGO serta CSO berupaya membuka ruang interaksi yang sihat serta membina kepercayaan antara masyarakat yang berbeza latar belakang. Pendekatan ini penting kerana banyak salah faham antara komuniti sebenarnya berpunca daripada kurangnya ruang pertemuan dan komunikasi yang telus.

Dalam masa yang sama, usaha memperkasakan Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (HARMONI) perlu digerakkan dengan lebih aktif. Jawatankuasa yang menghimpunkan pemimpin agama daripada pelbagai kepercayaan ini mampu berfungsi sebagai platform strategik untuk membina persefahaman, merangka pendekatan bersama serta menasihati kerajaan dalam menangani isu yang melibatkan sensitiviti agama.

Peranan tokoh agama sangat penting kerana mereka mempunyai pengaruh moral dan kepercayaan dalam kalangan pengikut masing-masing, sekali gus mampu menenangkan keadaan, menjelaskan kekeliruan serta menggalakkan penyelesaian yang berasaskan kebijaksanaan dan sikap saling menghormati.

Apabila Jawatankuasa HARMONI berfungsi secara aktif dan proaktif, ia bukan sahaja membantu menyelesaikan konflik yang timbul, tetapi juga menjadi mekanisme pencegahan awal melalui dialog berterusan, pendidikan masyarakat dan program kesedaran bersama.

Inilah pendekatan yang dapat memastikan perbezaan agama tidak dimanipulasi menjadi sumber pertikaian, sebaliknya menjadi asas kepada persefahaman dan keharmonian yang lebih kukuh dalam masyarakat majmuk.

Pendekatan Islam dalam mengurus perbezaan 

Dalam menghadapi isu sensitif dalam masyarakat, cara pendekatan sering menentukan sama ada sesuatu pertikaian dapat diselesaikan atau terus membesar. Islam bukan sekadar menekankan hukum, tetapi juga akhlak dalam mengurus perbezaan dan konflik. 

Prinsip yang diajar ialah jalan berhikmah iaitu usaha membaiki keadaan dengan meredakan ketegangan, menjelaskan kekeliruan dan mencari penyelesaian yang adil. Pendekatan ini menuntut sikap berhati-hati dan matang. Setiap isu tidak boleh dilihat secara terburu-buru atau diputuskan hanya berdasarkan emosi. 

Sebaliknya, ia perlu dinilai secara menyeluruh dengan meneliti fakta, memahami pihak yang terlibat dan mempertimbangkan kepentingan awam. Matlamatnya bukan untuk mencari siapa yang menang atau kalah, tetapi memastikan penyelesaian dicapai tanpa menimbulkan luka baharu dalam masyarakat.

Sejarah Islam memberikan contoh yang jelas melalui masyarakat Madinah yang dibina oleh Rasulullah SAW. Kota itu dihuni oleh pelbagai kabilah dan agama, namun kehidupan bersama dapat dipelihara melalui prinsip rahmah, keadilan dan peraturan yang jelas. Perbezaan tidak dijadikan alasan untuk bermusuhan, sebaliknya diurus dengan kebijaksanaan dan sikap saling menghormati.

Semangat inilah yang amat diperlukan dalam masyarakat hari ini. Perpaduan tidak akan terpelihara jika setiap isu ditangani dengan kemarahan atau retorik yang membakar emosi. Yang diperlukan ialah kesabaran untuk mendengar, kejelasan dalam melihat fakta dan keberanian untuk bercakap secara adil demi mencari penyelesaian yang membawa kebaikan bersama.

Panduan umum menangani isu sensitif 

Apabila berhadapan dengan isu seumpama ini, beberapa prinsip penting wajar dipegang. Pertama, akui bahawa setiap pihak mempunyai maruah dan hak yang perlu dihormati serta difahami dari sudut tanggungjawab sosial.

Kedua, semak semua fakta, dokumen dan rekod secara teliti sebelum membuat sebarang kesimpulan supaya keputusan dibuat berlandaskan kebenaran, bukan persepsi atau emosi.

Ketiga, pihak berkuasa mesti bertindak awal dan proaktif menangani isu sebelum ia menjadi tegang.

Keempat, laksanakan undang-undang dan peraturan secara adil dan konsisten bagi semua pihak bagi mengelakkan persepsi pilih kasih.

Kelima, elakkan pihak tertentu menunggang isu untuk kepentingan politik, kaum atau agama.

Keenam, galakkan rundingan, dialog dan penyelesaian yang menitikberatkan kepentingan awam serta keharmonian masyarakat.

Masyarakat tidak mendapat manfaat apabila isu sensitif dibesarkan tanpa panduan yang betul. Yang diperlukan bukan lebih banyak jeritan, tetapi lebih banyak kebijaksanaan. Yang diperlukan bukan lebih banyak tuduhan, tetapi lebih banyak kejelasan. Yang diperlukan bukan kemenangan emosi, tetapi penyelesaian yang adil dan bermaruah.

Haji Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia