Kursus Pentauliahan Pegawai Pengurusan KRS MUSLEH disertai oleh 11 orang yang terdiri daripada Pengetua, guru besar dan guru penolong kanan sekolah-sekolah SRI-SMI IKRAM-MUSLEH dan rakan IKRAM-MUSLEH iaitu Sekolah Islam ADNI dan Integrated Islamic School (IIS) Shah Alam.
Aktiviti outdoor juga diadakan bagi peserta di Lata Celak, Kg Iboi, Baling. Yang Dipertua IKRAM Kedah, Ustaz Rosli Yusuf yang juga Pengerusi LTS PPAI, turut memberi sokongan dengan mendermakan seekor pelanduk untuk makan tengahari peserta di lata ini.
Sekitar 40 orang kadet termasuk pelajar dan guru menyertai Kursus Kemahiran Kawad Kaki. Antara bentuk latihan adalah latihan memberi arahan, ujian amali dan latihan pertandingan kawad kaki. Selain itu, para kadet menyertai Kursus Kemahiran Asas Pertahanan Diri (BaSeD) dalam aspek saringan kemahiran sedia ada, latihan kemahiran, latihan pengajaran, amali dan latihan pertandingan BaSeD.
Uniknya para kadet belajar memahami konstruk dan nilai tarbiah dalam setiap kursus kemahiran tersebut supaya memberi pengajaran dan falsafah Islami daripada kemahiran tersebut. Para kadet juga menyertai Kursus Kemahiran Bantu Mula. Antara yang dipelajari adalah teori asas bantu mula, teori dan amali balutan, teori dan amali CPR. Ujian bertulis pula dibuat bagi mengukuhkan pemahaman.
Pengendali bagi Kursus Bantu Mula telah dikendali sendiri oleh Dr Zulkifli Yahaya , Ahli Lembaga Pengelola SRI Al-Islah yang juga seorang pakar bius di Hospital Sg Petani. Kursus ini juga dibantu oleh Pasukan perubatan Hospital Sg petani dan Pasukan CPR Hospital Sg Petani.
KRS MUSLEH adalah kumpulan pertama peringkat sekolah yang menerima khidmat latihan khas daripada pasukan ini. Pasukan CPR ini menggunakan standard Internasional Liason Committee of Resuscitation (ILCOR), American Heart Association (AHA) dan European Resuscitation Council.